Saturday, 13 October 2012
Tok guru serba tak tahu
“Saya tak tahu… dia orang bagi nasi sepinggan untuk saya makan dan sehelai kertas kosong untuk saya sain (tanda tangan).” Itulah alasan tok guru berikan berhubung kesilapannya menyerahkan projek bekalan air bersih kepada sebuah syarikat konsesi air, Thames Water kira-kira lebih 18 ke 15 tahun lalu.
Tok Janggut dapat rasakan keadaan tok guru masa tu. Sayu dan sedih bila dia kata dia tertipu sebenarnya dengan perjanjian penyerahan Jabatan Bekalan Air Kelantan (JBAK) kepada Thames Water. Rasa macam nak menitis air mata Tok Janggut lihat wajah tok guru masa tu. Dia dikerumuni puak media untuk dapatkan jawapan.
Memang ketika tu keduh (bermuka sedih) dan hiba sekali. Apa tidaknya, diawal pentadbirannya sebagai menteri besar pada tahun 1990, tok guru telah ‘diserang’ bertubi-tubi, habis-habisan oleh rakyat Kelantan kerana kegagalannya menangani masalah air.
Elok-elok air diurus dengan baik oleh kerajaan negeri (masa tu bawah pemerintahan BN), tok guru gatal tangan nak mengswastakannya. Kononnya kalau JBAK diswastakan, bekalan air kepada rakyat dapat ‘diuruskan’ dengan ‘lebih sistematik dan tersusun’.
Lagipun, kalau Kerajaan Pusat yang ditadbir oleh Tun Dr Mahathir ketika itu boleh sewenang-wenangnya mengswastakan beberapa agensi kerajaan menjadi syarikat konglomerat dan GLC, mengapa kerajaan Pas Kelantan tak boleh buat? Mana adilkan. “Kalu mu (pusat) boleh buat (swasta)… aku (Pas Kelantan) pun boleh (swasta) buat jugok.”
Iya… tok guru boleh buat. Tok guru boleh buat apa saja sebab tok guru kan dah jadi menteri besar. Segala kuasa ada di tangan tok guru. Cakap je… semua akan jadi. Tapi tok guru kena ingat. Sebelum Tun Mahathir nak swastakan beberapa agensi kerajaan menjadi syarikat konglomerat, Tun Mahathir guna semua kepakaran yang ada. Dia panggil semua pakar-pakar ekonomi. Dia panggil semua pakar-pakar pentadbir. Dia panggil semua pakar-pakar pengurusan duduk semeja, bincang.
Keputusan dalam perbincangan itu pulak bukan dicapai dalam satu hari dari meeting jam 9 pagi sampai jam 5 petang. Perbincangan itu mengambil masa. Semua pandangan, pendapat, nasihat, teguran diambil kira. Semua aspek dari atas sampai bawah. Dari kanan sampai ke kiri dikaji. Diselidik. Kemudian tengok apa kesan kalau buat begini… dan apa hasilnya kalau buat begitu.
Bukan Tun Mahathir kata, “Kun (jadilah) fayakun (maka jadilah)”. Semua yang dibuatnya menggunakan akal fikiran. Berusaha. Dicapai melalui mesyuarat. Perbincangan. Bukan macam tok guru. Diberikan kertas kosong sekeping dan sepinggan nasi, terus tanda tangan. Tanpa bertanya, kertas apa ni? Kosong. Kenapa tak ada apa-apa tulisan?
Esok, bila dapat tahu kertas kosong yang ditanda tangani itu rupanya dokumen perjanjian penyerahan JBAK kepada sebuah syarikat dari Britain, mulalah menyesal. Lebih-lebih lagi rakyat ditekan dan ditindas semahu-mahunya oleh syarikat itu.
Bila pengswastaan itu gagal, tok guru tak dapat buat apa-apa melainkan buat muka sedih… beri alasan, “Saya tak tahu”.
Kalau tok guru tak tahu, Tok Janggut nasihatkan tok guru berhenti saja jadi menteri besar. Beri kepada orang yang serba tahu. Sebab nak jadi menteri besar, tok guru kena tahu. Tanggungjawabnya amat besar dan dosa yang ditanggung pun amat besar juga. Semua urusan, baik dari segi pentadbiran, pengurusan, penyelarasan, penyelenggaraan, teknikal, komunikasi, teknologi, tok guru kena tahu. Matematik kena bijak. Geografi kena pandai. Sejarah kena peka. Sains kena cerdik. Kimia, Fizik, ilmu Perdagangan, ilmu Sastera pun tok guru kena mahir.
Tahu ceramah saja tak cukup. Hari-hari hentam. Siang malam maki hamun pihak lawan tak boleh membangun dan memajukan negeri. Itu tok guru kena tahu. Dan Tok Janggut pun yakin tok guru tahu. Tapi, mungkin tok guru sengaja buat-buat tak tahu, maka semua jenis jawapan atas kesilapan dan kegagalan yang tok guru lakukan, jawabnya, “Saya tak tau”. Tujuannya nak elak daripada dipersalahkan.
Ingatan kepada tok guru. Kalau selalu kata, “saya tak tau”, lama kelamaan diri akan jadi nyanyuk. Kalau diri dah nyanyuk, jangan salahkan sesiapa. Sebab Allah akan menjadikan seseorang itu sebagai nyanyuk kerana setiap hari kata, “saya tak tau”. Setiap kata-kata atau ucapan harian adalah berupa doa. Bila kata, “saya tak tahu…”, “saya tak tahu…”, “saya tak tahu…” maknanya seperti berdoa, minta pada Allah supaya menyanyukkan diri.
Begitu juga dalam kes pelaksanaan mata wang dinar (emas) dan mata wang dirham (perak). Elok-elok negara dah ada mata wang sendiri. Ringgit Malaysia. Tok guru nak jugak memperkenalkan mata wang sendiri untuk Kelantan. Dinamakan dinar dan dirham. Kononnya, guna dinar dan dirham nampak sikit Kelantan lebih Islamik banding negeri lain.
Tok guru ni macam tikus baiki labulah. Dapat jadi menteri besar, semua benda nak ditukarnya. Kononnya, semua yang ada di Kelantan sebelum ini tidak Islamik. Lalu nak diIslamikkan. Caranya ialah tukar papan-papan tanda bertulisan rumi kepada papan-papan tanda bertulisan Arab dan Jawi.
Tak cukup dengan itu, bumi Kelantan dipadang-pasirkan. Tanah-tanah yang subur dengan tanaman ditambun pasir. Tujuannya supaya nampak macam padang pasir. Nak mengarabkan lagi Kelantan, pokok-pokok kurma ditanam di beberapa kawasan strategic di Kota Bharu sehinggakan Kota Bharu sekarang dipanggil ‘Bandaraya Islam’.
Begitulah suasananya dalam tempoh dua tahun pertama pemerintahan kerajaan Pas. Unta-unta dari negara-negara eropah diimport masuk. Dijadikan haiwan korban pada Hari Raya Aidiladha. Menggantikan lembu, kerbau dan kambing. Maka berebut-rebutlah rakyat Kelantan jual beli unta.
Dulu boleh jual beli dalam Ringgit Malaysia. Sekarang dalam perancangan nak ditukar dalam bentuk dinar atau dirham. Apa maknanya semua ini? Maknanya nak nampakkan kepada umum bahawa Pas telah ‘mengIslamkan’ Kelantan iaitu sesuai dengan perjuangannya yang kononnya berlandaskan al-Quran dan Hadis.
Tak lama lagi, kalau dinar dan dirham dilaksanakan, Tok Janggut dapatlah merasai zaman lakunan Allahyarham Tan Sri p Ramlee. Dapat hidup macam ‘pak arab’ dalam filem Ahmad Albab dan Tiga Abdul. Dapat tengok lelongan hamba abdi di pasar-pasar pagi. Dengar pelelong melaung-laungkan harga hamba abdi yang nak dilelong, “Seratus dirham…. seratus dirham… seratus dirham…”
Tok guru boleh buat apa saja yang dia nak. Tok guru boleh didik rakyatnya memakai jubah, egar dan bercakap telor (loghat) arab. Tapi pada masa sama tok guru tak boleh kecewakan rakyatnya. Kalau nak laksanakan Islam, tok guru kena benar-benar laksanakannya. Bukan menunggu orang lain. Bukan mengharapkan orang lain buat.
Orang lain tak akan buat, sebab orang lain sudah anggap pentadbiran yang ada sekarang sudah lebih daripada Islam. Fardu kifayah dan fardu ain tidak pernah dilupakan. Tidak pernah ditinggalkan. Sentiasa ada dalam apa saja pengurusan dan pentadbiran. Cuma tidak keterlaluan seperti yang Pas lakukan di Kelantan.
Tok guru kena ingat. Dunia makin berubah. Semua orang mahu maju dan terus maju ke hadapan. Bukan mundur dan undur kebelakang. Nak buat Islam, boleh buat. Tetapi bukan dengan meniru atau mengambil gaya hidup di zaman jahiliah. Kita sudah bergelar bertamadun. Tok guru kenalah bertamadun. Bukan mundur dan terkebelakang.
Orang yang mundur dan terbelakang macam tok guru lah menyebabkan pelaksanaan mata wang dinar dan dirham jadi haru biru. Pengurusannya tidak betul. Wujud penyelewengan, penipuan dan helah muslihat. Apa tujuannya? Tujuannya kerana kepentingan diri.
Tok guru kena tahu anak buahnya bukan seorang yang boleh dibanggakan dalam hal ehwal ekonomi. Lebih-lebih lagi hal ehwal ekonomi Islam. Pakar ekonomi di zaman Nabi Muhammad SAW dahulu kalau nak buat sesuatu, mereka buat kerana Allah Taala. Mereka takut pada hukuman Allah. Mereka buat sesuatu tak ada unsur penipuan atau kepentingan diri. Mereka buat untuk Allah dan rakyat.
Hampir dua tahun dinar emas dan dirham perak diperkenalkan. Tok guru dikatakan langsung tidak tahu dalam pelaksanaan itu ada unsur penipuan. Sehinggalah ia didedahkan oleh seorang blogger yang mengatakan wujud skandal dalam pengeluaran dirham dan dinar emas Kelantan. Blogger berkenaan, Syed Azidi mengemukakan 10 soalan itu untuk mengetahui masalah yang berlaku dalam syarikat yang diberi tanggungjawab mengeluarkan dinar dan dirham itu.
Bagaimanapun, setiap kali timbul masalah dalam pentadbirannya, tok guru kata dia tidak tahu masalah yang berlaku. Katanya, dia tak pernah diberikan sebarang maklumat mengenai berlaku penyelewangan dalam pengeluaran dirham dan dinar emas Kelantan itu.
Tak perlulah Tok Janggut kemukakan apa 10 soalan yang diberikan Syed Azidi kepada tok guru, tetapi tok guru kena ambil seriuslah akan persoalan itu kerana semuanya berkaitan ekonomi Islam yang Pas canang-canangkan.
Nasib baiklah Tok Janggut tak mudah terpengaruh dengan apa saja program ‘Islam’ yang Pas Kelantan anjur dan laksanakan. Tok Janggut bukan budak baru. Bukan budak hingusan dalam mengenali politik Pas Kelantan. Apa saja yang dilakukan, hanya 0.005 peratus sahaja untuk rakyat. Selebihnya untuk kepentingan pemimpinnya.
Hudud Pas, kaca yang direkabentuk seperti permata
Nasib baik
puak-puak kafir dalam Barisan Nasional (BN) turut mengeluarkan kenyataan tidak
menyokong hukum hudud ciptaan Pas, kalau tidak sudah tentu pucuk kepemimpinan
parti itu berada dalam keadaan panik dan cemas memikirkan alasan terbaik untuk mempertahankan
sahabat karibnya, Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
Dari mula
bergabung lagi, Pas berikrar akan membela, menyokong dan berpihak kepada pucuk
kepemimpinan DAP walau dalam keadaan apa sekali pun, termasuklah jika
pemimpinnya menghina Islam, menolak hukum Islam, mengutuk dan memaki hamun Pas
yang berusaha hendak membentuk negara Islam.
Sebab itu
kalau kita lihat reaksi, tindak tanduk dan kenyataan berbaur sensitiviti kaum
oleh Karpal, Kit Siang dan Guan Eng terhadap orang Melayu dan Islam, pucuk
kepemimpinan Pas tidak pernah melenting, apatah lagi berusaha untuk menegur
kepemimpinan DAP supaya tidak mengulangi perbuatan yang boleh menyentuh
perasaan umat Islam dan bangsa Melayu.
Sebaliknya, kebanyakan
pemimpin Pas yang membuat kenyataan balas memberi alasan dalam nada yang lunak
dan lembut, menyusun kata-kata manis dan sedap didengar bagaikan si ibu mendendangkan
lagu mendodoi bayinya yang sedang tidur.
Ini terbukti
apabila Nik Abdul Aziz dalam kenyataannya dua tiga hari lalu menyifatkan
kenyataan Karpal yang mempertikaikan keupayaan hukum hudud untuk mengatasi
jenayah sama sekali tidak menggugat hubungan baik antara Pas dengan DAP.
Kata Menteri
Besar Kelantan itu, meskipun pemerintahan secara Islam termasuk hudud menjadi
dasar perjuangan politik Pas, ia bukan bawah undang-undang Pas, sebaliknya
hukum Islam yang dilaksanakan di beberapa negara termasuk Arab Saudi yang jelas
dapat dilihat berjaya mengurangkan kadar kenayah di negara itu.
Itulah
kenyataan yang paling lembut dari pucuk kepemimpinan Pas terhadap kenyataan
keras dan tegas Karpal kepada mereka. Nampak sangat Pas tidak berani bercakap kasar
dengan DAP kerana bimbang kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat (PR) boleh terancam.
Pas tahu DAP
boleh berbuat apa sahaja ke atas rakan-rakan gabungannya kerana kuasa dan suara
majoriti dalam PR ialah DAP, bukan PKR atau Pas.
Kalau Pas
disingkirkan daripada PR, lenyaplah segala impian dan cita-cita para pemimpinnya
selama ini yang berangan-angan hendak menjadi menteri dan timbalan menteri.
Pudarlah harapan mereka hendak merasai kerusi empuk dan mengetuai kementerian serta
jabatan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
Pas tahu
sejak ditubuhkan tahun 1951, parti itu tidak pernah beroleh kemenangan besar di
peringkat nasional, melainkan hanya dapat menawan Kelantan, Kedah dan
Terengganu untuk seketika. Untuk menguasai Malaysia, Pas tidak ada kudrat dan
upaya.
Justeru, apabila
Anwar Ibrahim dipecat dari Umno dan menubuhkan PKR, parti pembangkang termasuk
DAP bersetuju bekerjasama dalam satu gabungan yang dinamakan Pakatan Rakyat.
Pakatan ini menggabungkan PKR, DAP dan Pas. Parti pembangkang lain yang
kecil-kecil seperti PSM dan KITA hanya melukut di tepi gantang.
Merasakan
gabungan ini dapat menewaskan BN pada PRU-13, DAP, PKR dan Pas masing-masing cuba
memainkan isu berbaur sentimen rakyat untuk menarik sokongan dan pada masa sama
menanam rasa benci rakyat kepada BN khususnya Umno, MCA dan MIC.
DAP
memainkan sentimen bangsa untuk menarik sokongan dan undi orang-orang Cina. DAP
mendakwa dan mencanang ke pelosok mengatakan kononnya hanya parti itu yang
berjuang membela serta dapat menentukan masa depan masyarakat Cina.
PKR pula dengan
strategi serampang dua matanya. Mendakwa Cina, India dan Melayu adalah serumpun
dan mempunyai satu bapa, manakala Pas tetap dengan isu hudud ciptaannya. Semua
isu itu dimainkan untuk menjatuhkan BN pada PRU 13 ini.
Pas Nampak
seronok dan ghairah hendak ke Putrajaya sehingga sanggup memperalatkan agama
semata-mata mahu menang. Hakikatnya Pas lupa, PKR dan DAP bukan kawan mereka
yang sejati. PKR dan DAP adalah kawan yang boleh bertukar menjadi lawan dalam
sekelip mata.
Jika Pakatan
Rakyat menang (sebenarnya Pakatan Rakyat tidak akan menang), Pas hanya
dijadikan rakan gabungan untuk tempoh enam bulan atau setahun selepas
penguasaan mereka di Parlimen.
Selepas itu khidmat
dan kehadiran Pas tidak lagi diperlukan oleh PKR dan DAP. Malah kedua-dua parti
ini melihat Pas bukan lagi sebagai rakan yang baik, rakan yang boleh dipercayai.
Sebaliknya, mereka melihat Pas sebagai rakan yang mengancam kedudukan mereka
selagi Pas tidak meninggalkan ideologi Islamismenya.
Dari situ
Pas akan ditendang keluar dari Pakatan Rakyat sebagaimana ‘cowboy’ mabuk ditendang
keluar dari bar.
Umum tahu,
PKR pada dasarnya cukup anti dengan Islam, tetapi untuk mengelak daripada
prasangka rakyat, PKR terpaksa menunjukkan sikap seolah perjuangannya membela
Islam, mempertahankan kesucian Islam. Walaupun hakikatnya ketika berada di negara
luar, di negara-negara yang majoriti dikuasai Yahudi dan Zionis, PKR mengecam
habis-habis agama Islam dan menunjukkan antinya kepada Islam.
Penolakan
pelaksanaan hukum hudud oleh DAP bukan datang daripada mulut pemimpin parti
itu, tetapi telah diberikan skrip oleh PKR secara diam-diam tanpa pengetahuan
Pas. Dengan skrip itu DAP menghafal dan mengulangi ‘pendiriannya’ setiap kali
isu hukum hudud dibangkitkan.
Sebab itu
kita lihat Karpal, Kit Siang dan Guan Eng begitu berani mempersoalkan dan
mempertikaikan cadangan melaksanakan negara Islam dan hukum hudud. Mereka tanpa
rasa takut kepada umat Islam menentang habis-habisan.
Kenapa?
Kerana PKR ada di belakangnya. Kerana DAP tahu Pas tidak akan memarahinya
disebabkan Pas takut kepada PKR dan kecut telur kepada DAP. Dengan itu, sama
ada umat Islam sedar atau tidak, Islam sebenarnya telah dipermain-mainkan oleh
orang kafir (DAP), pengamal ajaran songsang (PKR) dan orang Islam sendiri (Pas).
Hukum hudud
Pas tidak akan ke mana. Ia hanya dijadikan tangkal azimat untuk mendapatkan
sokongan orang Islam. Tangkal itu sebenarnya tidak ada apa-apa fungsi kerana tidak
‘disyiffakan’. Begitulah dengan hudud Pas, tidak ada isi dan kosong semata-mata.
Ia hanya sebentuk kaca yang direkabentuk seperti permata. Nampak berkilau, tapi
kilauannya pudar.
Sebab itu,
kalau kita minta Pas laksanakan ‘hudud’ yang dilaung-laungkannya itu di
Kelantan dan Kedah, pemimpinnya berdolak dalik dan memberi seribu satu alasan. Mereka
bertegas mahu ‘hudud’ dilaksanakan di peringkat negara, bukan di dua negeri
sahaja.
Inilah
sandiwara yang dimainkan oleh Pas dan termakan oleh umat Islam yang cetek ilmu
dan kefahamannya mengenai Islam. Pas hanya menggunakan hudud untuk kepentingan
partinya, DAP dan PKR demi menjadikan impiannya menawan Putrajaya sebagai
kenyataan.
Letak papan peringatan atasi jalan rosak
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar…
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar…
Allahu Akbar Kabira walhamdulilahi kathira wasubhanallahi bukratan
wa asila…
Hari Raya Aidilfitri datang setahun sekali. Bermakna sudah 48 kali Tok Janggut meraikannya dan 22 kali daripadanya diraikan dalam keadaan yang tidak berapa menyeronokkan. Kenapa? Biarlah ia menjadi kenangan Tok Janggut.
Tok Janggut selamat sampai di kampung halaman dua hari
sebelum raya. Sengaja Tok Janggut cuti awal sebab dah lama tak bersama ahli
keluarga buat persiapan raya.
Perjalanan pulang dari rumah Tok Janggut di Klang, Selangor melalui
lebuh raya NKVE – Gombak – Karak – Bentong – Raub - Kuala Lipis - Merapoh dan
Gua Musang agak lancar. Tak jem dan tak sesak sangat. Perjalanan hanya ambil
masa enam jam sahaja.
Begitu juga ketika memasuki bandar Kuala Krai pada jam lebih
kurang 9 malam. Keadaan agak tenang sehingga ke Machang – Kok Lanas dan Kota Bharu.
Tok Janggut terlepas daripada fenomena kesesakan jalan raya yang teruk yang
berlaku setiap kali musim perayaan kerana Tok Janggut mempunyai perancangan
yang baik.
Sungguh pun perjalanan lancar, namun ada juga dua tiga
perkara masalah yang berlaku, yang menunjukkan sikap dan sifat kebahalolan, ketololan
dan kebodohan pihak yang bertanggungjawab dengan portfolio jalan raya.
Kebahalolannya - pihak ini seperti tidak peka langsung dengan
keadaan jalan yang rosak. Ketololannya - ialah jalan yang rosak itu tidak dibaiki,
tetapi diletakkan papan tanda sebagai peringatan, manakala kebodohannya - seperti
tidak ada otak hendak berfikir bagaimana mahu mengatasi masalah berkenaan.
Jadi, kesimpulan atas kebahalolan, ketololan dan kebodohan pihak
yang memegang portfolio jalan raya ini ialah sikapnya mengambil jalan mudah
melepaskan tangan jika berdepan dengan masalah.
Misalnya di depan pasar Pasir Mas yang hampir runtuh dan
buruk itu, ada satu lubang sebesar kawah di tengah-tengah jalan. Kewujudan lubang
ini menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk kerana jalan yang
sebelum ini dua lorong menjadi satu lorong. Kereta terpaksa bergerak secara
bergilir-gilir.
Dalam keadaan tertekan begini, kerana terperangkap kesesakan
yang hanya berpunca daripada satu lubang, Tok Janggut terfikir juga, kalaulah pihak
yang memegang portfolio jalan raya ini ada akal dan otak, sudah tentu masalah kesesakan
dapat diatasi. Caranya bukan perlukan khidmat jurutera pun. Hanya tambun antara
tiga atau lima baldi tar sahaja ke dalam lubang itu, gerenti terkambus dan permukaan
jalan menjadi rata.
Tetapi pihak berkenaan tidak buat demikian. Mereka hanya
letakkan papan tanda yang member peringatan kepada pengguna jalan raya, “Awas!
jalan rosak. Hati-hati”. Itulah jalan penyelesaian yang diambil oleh seorang ‘ah
lil mesyuarat tingkap’ kerajaan negeri yang berportfoliokan jalan raya ini.
Papan tanda ini diletak dalam lubang di tengah-tengah jalan
itu, sebagai tanda peringatan. Nampak sangat ‘ah lil mesyuarat tingkap’ kerajaan
negeri tidak ada otak dan pemalas. Lima baldi tar rasanya tak sampai pun RM20.
Itu pun kedekut nak keluarkan peruntukan untuk menyenangkan pengguna jalan
raya. Dia lebih letakkan papan tanda, “Awas! Jalan rosak. Hati-hati”.
Sehingga hikayat ini ditulis, papan tanda itu masih lagi ada
terpacak di tengah lubang berkenaan. Jika melalui di depan pasar itu, kenderaan
mesti bergilir-gilir untuk gunakan lorong. Kalaulah hal ini dilihat oleh
pelancong, tentu mereka ketawa geli hati lihat cara dan kaedah ‘ah lil
mesyuarat tingkap’ kerajaan negeri Kelantan tangani atau ‘selesaikan’ masalah.
Sedih Tok Janggut mikirkan nasib rakyat Kelantan yang mempunyai
wakil rakyat dan exco yang langsung tak tahu buat kerja. Setiap masa dan
ketika, ada-ada saja masalah yang membelenggu rakyat. Kalau masalah sekecil lubang
jalan di depan pasar Pasir Mas ini pun tidak boleh diselesaikan. Apatah lagi
masalah bekalan air yang sering terputus sejak dua tiga bulan lalu, yang
sehingga kini belum dapat diatasinya.
Dalam bab masalah air, apa yang Tok Janggut nak maklumkan
ialah sebaik sahaja pemimpin Umno iaitu Tok Pa campur tangan, masalah yang
berlarutan sejak sekian lama di bawah kepimpinan Pas tiba-tiba saja boleh diatasi
sepenuhnya oleh Umno dalam tempuh satu hari.
Pelik bin ajaib. Bawah kepimpinan Pas, masalah air yang berlaku
di beberapa buah kampung di Tumpat gagal diatasi, tetapi sebaik Tok Pa tahu,
beliau bawa alat penapis air dan gali telaga, masalah itu dapat diselesaikan.
Satu hari pula tu, bukan lima bulan, bukan tujuh bulan atau bukan perlu tunggu
sehingga tahun 2017 untuk atasinya.
Apa Exco kerajaan negeri berportfolio air buat? Takkan tak
ada otak nak fikirkan semua ini. Dua bulan. Tiga bulan. Empat bulan berlalu. Masalah
air tetap membelenggu rakyat Kelantan. Tak ada satu pun usaha mengatasinya
dilakukan, melainkan meminta tok gurunya buat kenyataan menyalahkan takdir
kerana kemarau menyebabkan kerajaan negeri tidak dapat sediakan bekalan air
mencukupi.
Beginilah nasib rakyat Kelantan yang berkepemimpinan pemimpin
tidak berotak. Segala kaedah nak atasi masalah, rakyat sendiri yang kena
fikirkan. Selesaikan. Kalau pemimpin Umno yang campur tangan dan selesaikan,
pemimpin Pas yang busuk hati ini kata, mereka dah nak buat, tetapi Umno kacau
daun.
Inilah alasan orang yang berhati busuk. 20 tahun menjadi
pemimpin. Pegang portfolio jalan raya dan air, langsung tak terfikir nak gali
telaga, sediakan penapis air sebagai langkah untuk mengatasi masalah ketiadaan
bekalan air. Kaedahnya cukup senang. Sumber air datangnya dari bawah tanah. Nak
dapatkannya, kena gali bukan mengharapkan air terpancut keluar sendiri.
Rasanya dah banyak kali Tok Janggut cadangkan benda ini
dalam penulisan Tok Janggut sejak tahun 1990 sampai ke hari ini. Dari bekalan
air Jabatan Bekalan Air Kelantan (JBAK) sehingga nak diswastakan kepada syarikat
dari Britain, Thame Water lagi Tok Janggut dah cadangkan kepada kerajaan negeri
supaya nasihatkan penduduk gali telaga sebagai langkah bersiap sedia sekiranya
mutu dan kualiti air disediakan Thame Water tidak menepati piawaian.
Tetapi kerajaan negeri tak keluarkan arahan itu. Kerajaan
negeri takut kalau rakyat dengar dan ikut cadangan Tok Janggut, rakyat tak akan
melanggan air dari Thame Water (sekarang AKSB) lagi. Mereka takut menanggung kerugian
kerana tidak akan ada pengguna bayar bil bulanan. Nampak sangat kerajaan negeri
tamak haloba. Lapar duit rakyat dengan cara menipu dan memperdaya rakyat.
Air adalah antara sumber keperluan manusia, selain makanan,
pakaian dan tempat tinggal. Pemimpin kerajaan negeri tidak akan dan tidak
pernah berdepan dengan masalah-masalah ini kerana kediaman mereka akan
dipastikan mendapat bekalan mencukupi. Tangki air di rumah mereka akan
dipastikan tidak akan kering.
Kapasiti air ke tangki ini sentiasa dipantau, dikawal dan
dijaga supaya pemimpin berkenaan tidak mengalami masalah keputusan air atau
ketiadaan air. Jadi, walaupun rakyat menderita hidup tanpa air, ia tidak
memberi kesan kepada pemimpin berkenaan. Mereka tidak dapat menyelami penderitaan
yang ditanggung oleh rakyat sebab mereka tidak tahu apa itu penderitaan dan
kesengsaraan.
Kalau ada penyokong tegar mereka kata, si anu dan si polan
adalah pemimpin berjiwa rakyat. Itu hanyalah kata-kata pembohongan yang
digunakan untuk memikat dan menjerat rakyat semata-mata supaya memberi
sokongan. Walhal, pemimpin itu bukan berjiwa rakyat. Malah tidak ada sedikitpun
roh jiwa dalam diri mereka terhadap rakyat.
Siang malam selama 22 tahun rakyat Kelantan ditipu. Mata
rakyat ditutup. Minda rakyat dikaburi dengan imej serban serta berkopiah
pemimpin kerajaan negeri. Rakyat dibohongi hidup-hidup oleh pemimpin-pemimpin ini
yang menjadikan agama sebagai alat untuk menakut-nakutkan mereka.
Apabila rakyat takut dengan hukum hakam yang dicipta sendiri
oleh pakar putar belit agama ini, mudah bagi mereka menggugut rakyat dengan dosa
pahala, syurga neraka. Pemutar belit agama ini bercakap mengenai agama seolah-olah
dosa pahala, syurga neraka di tangan mereka dan hanya mereka yang
menentukannya.
Kerajaan negeri patut fikir jalan alternatif elak kesesakan jalan raya
Selamat Hari Raya Aidilfitri Tok Janggut ucapkan kepada sahabat
taulan masa zaman persekolahan, masa zaman membesar di kampung, masa zaman dalam
pekerjaan dan masa zaman pencen sekarang. Tok Janggut nak sebut nama, terlalu
ramai. Mungkin cecah ribuan orang. Jadi, memadailah dengan Tok Janggut ucapkan
secara umum.
Yang penting Tok Janggut masih ingat pada kalian, baik yang
masih bernyawa mahupun yang sudah dijemput Allah SWT. Macam nilah cara Tok
Janggut nak memperingati rakan taulan, waris warah dan sahabat handai. Tok
Janggut nak bagi duit zakat, Tok Janggut bukan ahli perniagaan. Zakat fitrah
pun hari kedua nak raya baru Tok Janggut sempat langsaikan.
Sekarang ni Tok Janggut tengah buat perkiraan, nak balik
kampung atau tidak pada hari raya ni. Kalau tak balik, nanti apa kata
anak-anak, mak, ayah, adik, abang dan kakak. Kalau balik, Tok Janggut tak dapat
lupakan pengalaman balik raya tahun lalu. Jalan jem.
Nak bertolak balik sekarang, banyak lagi tugasan belum
selesai. Walaupun Tok Janggut dah pencen, tapi kerja tu tetap ada. Kalau tak
ada kerja, macam mana Tok Janggut nak ‘pera’ anak bini. Makan minum mereka nak
kena cukup. Kalau tak cukup, nanti mereka kebulur. Kurus kering macam rakyat
Somalia.
Inilah yang bermain dalam benak fikiran Tok Janggut. Hari
nak raya dah makin hampir. Pihak-pihak yang mewakili konsesi lebuh raya dah
umum jadual perjalanan pulang. Polis, JPJ dan bomba dah tempatkan anggotanya
sepanjang jalan dari Kuala Lumpur ke Kelantan. Dalam facebook pun ramai sahabat
taulan paparkan gambar kesesakan lalu lintas. Perjalanan yang sepatutnya ambil
masa tujuh jam, lanjut ke 12 hingga 15 jam. Semua ini menakutkan Tok Janggut.
Yang paling menggerunkan bila sampai di Gua Musang. Jalan
nak masuk ke pekan baru dan pekan lama bandar itu tentu ‘sumbat barak’. Belum
lagi masuk bandar Kuala Krai, Machang dan Kota Bharu. Kereta Tok Janggut
bukannya baru. Usianya dah cecah 10 tahun. Enjinnya bunyi macam orang hidap
penyakit lelah. Terhenjut-henjut.
Setakat ni hanya kerajaan Pahang yang umumkan beberapa jalan
alternatif kepada rakyat Kelantan yang balik kampung untuk elakkan kesesakan.
Kerajaan Kelantan belum bersuara apa-apa lagi. Belum ada sebarang pengumuman
mengenai perancangan mereka nak elak jalan ‘sumbat barak’. Seolah-olah semua dah
pakat lari daripada berdepan dengan masalah ini.
Kalau begitulah keadaannya, nampaknya perantau macam Tok
Janggut ni tidak ada pilihanlah bila dah sampai di Kuala Krai nanti. Terpaksalah
berdepan dengan jalan yang jem. Tak boleh nak bayangkan kalau kereta yang
terperangkap dalam jem itu tak ada ‘air-con’. Lagi parah kalau dalam kereta itu
ada anak kecil. Tentu bercampur baur irama yang masuk ke telinga. Antara tangisan
anak-anak, hon kereta dan suara dengusan pemandu.
Kesian perantau. Masa di Kuala Lumpur, bukan main gembira lagi
dapat balik kampung. Tapi sebaik masuk ke sempadan Kelantan, belum lagi ke sempadan
kampung, mereka dah menangis, menjerit dan menyumpah seranah kerana jalan jem. Nak
salahkan siapa? Pemandu atau kerajaan negeri?
Di hari baik bulan baik ini kalau boleh Tok Janggut tak
naklah menyumpah seranah kepimpinan kerajaan negeri. Kalau boleh Tok Janggut
nak berprasangka baik ‘sokmo-sokmo’. Tapi apakan daya, kalau hati dah panas.
Kereta pula langsung tak bergerak, sedangkan enjin makin panas, minyak dalam
tangki makin susut, hati mana mampu tahan senyum sokmo.
Sebagai rakyat Kelantan, sama seperti yang 400,000 perantau
yang lain, Tok Janggut ada hak nak hamburkan maki hamun kepada kerajaan negeri.
Itu hak Tok Janggut sebagai rakyat. Rasanya tak berdosa kalau setakat tegur
atau maki hamun kerajaan negeri yang tak ‘reti’ buat kerja, hanya reti
berceramah saja siang malam.
Hati mana tak sakit, kalau sudah 22 tahun memerintah, satu
jalan alternatif pun tak ada? Tak dibuatnya? Seolah-olah Kelantan ni sebuah
negeri maju lagi membangun sehinggakan tak ada sedikit pun tanah rizab nak
digazetkan sebagai jalan alternatif? Jalan yang boleh sekurang-kurangnya
mengurangkan kadar kesesakan terutama pada musim perayaan.
Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baru Cina
dan Deepavali bukan hanya disambut tahun ini saja. Dah beratas-ratus tahun
musim perayaan ini disambut. Takkan dalam masa 22 tahun kerajaan negeri tak
reti nak fikirkan bagaimana kaedah nak tangani atau selesaikan masalah ini?
Takkan asyik berada di takuk lama saja dan menyalahkan takdir atas apa yang
berlaku.
Inilah antara faktor kenapa Tok Janggut fikir sampai lima
belas kali nak balik kampung tiap kali tiba musim perayaan. Nak beraya di Kuala
Lumpur, bukannya Tok Janggut ada ahli keluarga, waris warah dan sahabat taulan.
Kalau semua pakat balik kampung, dengan siapa Tok Janggut nak beraya? Dengan
masyarakat Cina dan India? Mereka pun tumpang sekaki dengan cuti panjang ni nak
balik kampung.
Tok Janggut nak ‘sound’ pada kerajaan negeri, tak cukup
dengan tampal dan ikat kain rentang atau kain banner sepanjang jalan untuk beri
peringatan kepada perantau yang balik kampung. Kain rentang atau banner tu
bukannya ‘jalan alternatif’ boleh kurangkan kesesakan jalan raya. Sudah-sudahlah
membazir duit rakyat cetak kain rentang dan banner besar-besar untuk ikat tepi
jalan. Tak ada faedahnya.
Kalau nak ucap Selamat Hari Raya, cukup dengan kerajaan
negeri sediakan laluan alternatif bagi melancarkan perjalanan pulang perantau
ke kampung. Tak perlu nak tunjuk kerajaan negeri ni baik hati dengan ‘ambil
berat’ atau ‘ambil kisah’ keselamatan perantau dengan ucapan tak berfaedah pada
kain-kain rentang dan kain-kain banner.
Cubalah tunjuk satu contoh perjuangan Islam yang
dilaung-laungkan. Jangan asyik bercakap saja mengenai Islam, kalau buat dan
amalnya tidak. Sebagai rakyat Kelantan, terasa juga oleh Tok Janggut nak tengok
kerajaan negerinya betul-betul memperjuangkan Islam melalui perbuatan, bukan
percakapan.
Anak-anak Tok Janggut yang bekerja dan cari makan di Kuala
Lumpur dah sepakat nak balik kampung dengan bas atau kereta api. Mereka nak
tinggalkan kereta di rumah sewa di Kuala Lumpur. Katanya, mereka tak nak balik
dengan kereta sebab tak sanggup berdepan dengan jem. Mereka kata, di pusat
bandar ‘Kota Bharu Bandaraya Islam’ tu, kalau ada 100 biji kereta pun jalan dah
jem dan ‘trafiknya slow’, belum lagi ratusan ribu kereta akan berarak masuk
pada musim perayaan ini.
Betul jugak kata mereka tu. Tapi Tok Janggut tak ada pilihan.
Tok Janggut terpaksa juga balik dengan kereta. Sebab nanti, kalau balik dengan
bas atau kereta api, macam mana Tok Janggut nak ziarah sanak saudara? Takkan Tok
Janggut nak berjalan kaki atau naik beca roda tiga? Kalau zaman P Ramlee tak
apalah.
Pening kepala Tok Janggut pikirkan masalah ni. Mengalahkan
wakil rakyat Pas pula tolong fikirkan kaedah nak kurangkan atau elakkan
kesesakan jalan raya. Ligat dalam kepala Tok Janggut pikirkan jalan yang sesuai
nak balik kampung. Nak balik ikut Jeli? Kena masuk Ipoh dulu. Nak balik ikut
Rantau Panjang? Kena masuk Perlis kemudian Hadyai, Naratiwat dan Golok dulu. Nak
balik ikut Pasir Puteh? Kena masuk Kuantan dan Terengganu dulu. Kalau petrol tu
free, bolehlah.
Paling menyedihkan, bila Tok Janggut cakap pasal jalan raya,
pasal kemudahan prasarana, kerajaan negeri terus tuding jari kepada Kerajaan
Persekutuan. Mereka kata, tanggungjawab sediakan jalan raya ni bawah Kerajaan
Pusat, bukan kerajaan negeri. Mudahnya kerajaan negeri elak masalah. Kalau
semuanya bawah Kerajaan Pusat, habis tu! apa tanggungjawab kerajaan negeri? Apa
yang mereka buat selama 22 tahun menjadi kerajaan? Goyang ‘telur’?
Mungkin kerajaan negeri fikir, “ahh… tak apa jalan sesak
sumbat barak pun, paling lama lima hari je. Lepas ni pakat balik KL lah tu...” Kalau
inilah yang mereka fikir dan pegang selama 22 tahun memerintah. Tak buat
apa-apa untuk senangkan rakyat, jawablah di muka pengadilan di Padang Mashyar
nanti. Tok Janggut dah lama dah beri nasihat, tolong beri petunjuk macam mana
nak selesaikan masalah rakyat, tapi kalau tak nak dengar juga, bersedialah
kamu.
Pada hari pengadilan juga, Tok Janggut sebagai rakyat, Tok
Janggut akan pertahankan hak Tok Janggut yang tidak pernah menikmati, apatah
lagi mengecapi pembangunan yang kerajaan negeri sediakan. Di situ nanti
bolehlah Tok Janggut tuding jari kepada kerajaan negeri. Selamat Hari Raya
Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.
Subscribe to:
Comments (Atom)











