Seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap kali Ramadan, selain tiga
perempat puasa dihabiskan di Kuala Lumpur, mahu juga satu perempat daripadanya
Tok Janggut berpuasa bersama-sama ahli keluarga di kampung-kampung di Kelantan.
Untuk genapkan satu perempat puasa di Kelantan, selalunya
Tok Janggut akan berulang alik setiap minggu. Maknanya tiga kali ulang alik
iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad setiap bulan, cukuplah haul puasa Tok Janggut yang
dijadikan amalan sejak menjadi perantau.
Tapi entahlah. Kenapa Ramadan tahun ini Tok Janggut rasa tak
seronok balik kampung. Rasa macam berada di tanah kering di Afrika. Semua ahli
keluarga Tok Janggut sugul dan murung. Balik rumah mak ayah di Pasir Mas,
mereka murung. Singgah rumah kakak di Tanah Merah, mereka sekeluarga juga
murung. Pergi ke rumah abang dan adik di Tumpat dan Kota Bharu, mereka pun
nampak sayu dan sedih juga.
Apa sudah jadi ni? Adakah mereka sudah benci pada Tok Janggut?
Atau mereka rasa kehadiran atau kepulangan Tok Janggut sebagai beban? Semuanya
tidak ceria. Tidak seperti Ramadan pada tahun-tahun sebelumnya? Itulah tanda
tanya yang bermain dalam fikiran Tok Janggut.
Sebelum ini, kalau ahli keluarga, terutama mak ayah dengar
Tok Janggut nak balik buka puasa di rumah, mereka nampak ceria dan gembira. Mak
ayah panggil semua anak-anak berkumpul, buka puasa beramai-ramai. Kemudian
solat Maghrib dan Isyak berjemaah. Selepas itu ke masjid solat sunat Tarawih.
Lepas solat sunat Tarawih, laman rumah mak ayah nampak macam
siang hari. Penuh dengan lampu-lampu. Anak-anak saudara Tok Janggut termasuk
anak-anak Tok Janggut ‘gege gegok’ bermain lari-lari, kejar-kejar dan bunga
api. Meriahnya macam ‘hari puja umur’. Kenangan itulah yang bermain dalam kepala Tok Janggut
sepanjang memandu balik ke kampung.
Anak-anak di tempat duduk belakang sudah
membuat perkiraan dan perancangan nak pergi rumah sepupu mereka. Nak tunjuk
bunga api yang dibeli di Kuala Lumpur. Nak bagitau kepada sepupu-sepupunya yang
mereka dah 16 hari puasa. Tak tinggal sehari pun lagi. Tok Janggut hanya
tersenyum, sambil menumpukan kepada pemanduan. Biar lambat asalkan selamat.
Tok Janggut sampai di rumah mak ayah pukul 7.20 malam. Lagi
10 minit waktu berbuka puasa. Juadah berbuka sudah tersedia atas meja. Hari Tok
Janggut sampai, mak ayah tak sempat nak jemput anak-anak yang lain. Sebab
dirancang keesokan hari untuk berbuka puasa ramai-ramai.
Sebaik sampai rumah.Selepas semua barang-barang keperluan di
bawa naik ke rumah, Tok Janggut nak masuk ke bilik air. Tiba-tiba mak ayah yang
sudah kelihatan tak ceria, beritahu, “air tak ada tu… dah seminggu air tak
ada.”
Langkah Tok Janggut tiba-tiba terhenti. Kira-kira lima meter
lagi melangkah masuk ke bilik air. “Tak ada air…??? Tanya Tok Janggut. “Habis
tu, cik ayah mandi, ambil air sembahyang, masak dengan apa…???
“Ayah mu punggah dari rumah Kak Sah… ambil air dari
telaganya…” kata Cik sedih.
Kak Sah adalah satu-satunya jiran yang ada telaga. Sejak masalah
ketiadaan bekalan air bersih berlaku telaga rumah Kak Sah menjadi tumpuan
jiran-jiran. Banyak pahala yang Kak Sah dapat membekalkan air yang menjadi
sumber penting keperluan manusia.
Tok Janggut hanya gunakan segelas air untuk ceduk air dalam
baldi yang ada dalam bilik air untuk basuh tangan Tok Janggut dan anak-anak
kerana waktu berbuka tinggal beberapa puluh saat sahaja lagi. Tangan yang basah
itu Tok Janggut sapukan pada muka. Ahh…segar sikit. Kemudian waktu berbuka pun tiba.
Lepas berbuka, Tok Janggut dan anak-anak yang besar sikit pergi
ke telaga rumah Kak Sah. Selepas minta izin, kami punggah dalam tujuh lapan
baldi untuk keperluan seisi keluarga. Takkan nak biarkan ayah yang berusia 72
tahun punggah air. Tak tergamak tengok mak yang dah berusia 67 tahun bimbit baldi
air yang letaknya 200 meter dari rumah.
Tok Janggut punggah tujuh lapan baldi pun dah rasa penat. Dua
tiga kali berhenti dari telaga ke rumah. Tangan dah rasa pedih-pedih pegang
tangkai baldi.
Pergi rumah kakak, abang dan adik di Tumpat dan Tanah Merah
pun macam tu jugak. Mereka lagi malang. Tak ada satu telaga pun di sekitar
perumahan rumah mereka. Yang ada hanya tali air. Itu pun terletak satu
kilometer paling dekat dari rumah.
“Dah berates kali buat aduan di AKSB… tak ada apa-apa
tindakan pun diambil,” kata kakak.
“Kelmarin Datuk Ibrahim Ali bersama penduduk buat
demonstrasi desak kerajaan negeri selesaikan masalah ketiadaan air,” kata
abang. “Tak tahulah Nik Aziz dengar ke tidak,” katanya lagi. Kecewa dan sedih.
Tak sangka. Sungguh tak sangka, kerajaan negeri yang
dipimpin oleh ‘Amir al-Mukminin’ sanggup membiarkan rakyatnya menderita dengan
masalah air. Bukan satu hari tak ada air. Dah hampir seminggu paip keluar
angin.
Rupanya, itulah punca mak, ayah, kakak, abang dan adik tak
ceria. Tok Janggut ingatkan mereka tak suka Tok Janggut balik kampung. Habiskan
beras mereka. Rupanya mereka diseksa dengan masalah ketiadaan bekalan air.
Lebih parah, adik beradik Tok Janggut terpaksa dapatkan sumber air dari tali
air. Air itulah digunakan untuk mandi, berwuduk, memasak, membasuh dan kegunaan-kegunaan
lain.
Apa tindakan pemimpin ‘Amir al-Mukminin’? Apa mereka buat
untuk selesaikan masalah air ini? Berceramah politik di padang-padang sekolah?
Atau ‘selesaikan’ melalui maki hamun orang lain di kuliah agama pagi Jumaat di
Jalan Doktor, Kota Bharu?
‘Amir al-Mukminin’ kah pemimpin Kelantan ini? Sehinggakan
masalah kecil seperti air pun tak boleh selesai? Tidakkan pemimpin ‘Amir
al-Mukminin’ ini terfikir, rakyat akan menanggung dosa kerana tinggal solat? Macam
mana nak solat kalau suami isteri dalam keadaan berhadas besar? Mereka nak
mensuci dengan apa? Air? Mana ada air? Nak bertayamum? Tahukah segelintir
daripada mereka akan cara bertayamum untuk sucikan hadas besar?
Nak mandi guna air mineral atau air minuman dalam botol
plastik? Mampukah mereka membelinya? Lainlah kalau pemimpin ‘Amir al-Mukminin’
memberi subsidi. ‘Amir al-Mukminin’ kah membiarkan rakyat hidup menderita dan
menanggung azab ketiadaan air? Ini bukan zaman purba atau zaman batu, minum air
lopak pun boleh.
Ini zaman tamadun. Zaman Sains dan Teknologi. Semua yang
susah boleh diselesaikan. Kalau asyik bercakap pasal hukum hakam, mati
kebulurlah rakyat Kelantan. Hukum hakam bukan boleh dibuat mandi, dibuat untuk
berwuduk dan memasak. Hukum hakam adalah undang-undang untuk manusia berjalan
pada landasan yang diredhai Allah. Bukan untuk keperluan makan minum.
Pemimpin ‘Amir al-Mukminin’ Kelantan patut celik mata.
Jangan asyik berdolak dalik menyalahkan orang lain. Apa hukum kalau ‘Amir
al-Mukminin’ gagal mensejahterakan rakyatnya? Gagal menyediakan kemudahan
kepada rakyatnya? Dan apakah hukum bagi ‘Amir al-Mukminin’ yang tidak pandai
mentadbir memerintah?
Takkan ‘Amir al-Mukminin’ Kelantan, Nik Aziz Nik Mat nak
terus berdiam diri dan hanya menyerahkan kepada Allah semata-mata untuk
menyelesaikan masalah sekecil zarah ini? Sebagai ketua pemerintah, Nik Aziz
yang diangkat sebagai ‘Amir al-Mukminin’ oleh para penyokong tegarnya harus proaktif
dan aktif. Bukan menutup otaknya dengan memalsukan hukum hakam Islam.
Cubalah Nik Aziz turun padang. Jangan asyik duduk dalam
kereta mewah dan pejabat berhawa dingin saja. Turun dan lihat sendiri bagaimana
azab dan deritanya rakyat di bawah. Berdepan dengan masalah ketiadaan air
berminggu-minggu lamanya. Hinggakan ada di sesetengah kawasan sudah sebulan tidak
menyentuh air.
Peniaga yang mencari rezeki dengan air, tidak dapat menyara
keluarga kerana tiada air. Suami isteri bergaduh sesama sendiri kerana air. Sanggupkah
Nik Aziz melihat rakyat bercakaran dan berebut-rebut sehingga sanggup berbunuh
hanya kerana air?
Atau sanggupkah Nik Aziz melihat rakyatnya seorang demi
seorang mati kebuluran kerana tiada air? Kesihatan rakyat terjejas kerana air? Rakyat
ditimpa pelbagai penyakit kerana tiada air? Rakyat Kelantan jadi pengotor
kerana nak boleh basuh berak dan kencing. Berminggu-minggu tidak mandi dan gigi
tidak bergosok?
Kalau keadaan ini berterusan lagi, Tok Janggut nak ajak mak
ayah, kakak abang dan adik datang ke Kuala Lumpur. Biar mereka tinggal di sini
untuk sementara waktu. Mereka tidak balik mengundi pemimpin ‘Amir al-Mukminin’
pun tak apa, sebab pemimpin berhatikan haiwan ini tidak patut dipilih. Mereka langsung
tidak ada perasaan untuk memikirkan masalah dihadapi rakyat.
Kerja pemimpin ‘Amir al-Mukminin’ ini asyik menuntut ‘hak’
mereka. Tuntut royalti minyak selepas semua balak habis dikebas. Selepas semua
sumber-sumber dalam tanah habis dibedal. Dapat duit banyak-banyak pun bukannya
pemimpin ‘Amir al-Mukminin’ nak gunakan untuk selesaikan masalah rakyat atau
sediakan kemudahan rakyat.
Mereka tuntut royalti minyak bukan untuk selesaikan masalah
air pun. Mereka tuntut sebab nak mengkayakan diri mereka. Rakyat hidup susah
tak apa, asalkan mereka dan anak beranak mereka kaya raya. Beginikah pemimpin
Kelantan yang menggelarkan diri mereka ‘Amir al-Mukminin’?



No comments:
Post a Comment