Selamat Hari Raya Aidilfitri Tok Janggut ucapkan kepada sahabat
taulan masa zaman persekolahan, masa zaman membesar di kampung, masa zaman dalam
pekerjaan dan masa zaman pencen sekarang. Tok Janggut nak sebut nama, terlalu
ramai. Mungkin cecah ribuan orang. Jadi, memadailah dengan Tok Janggut ucapkan
secara umum.
Yang penting Tok Janggut masih ingat pada kalian, baik yang
masih bernyawa mahupun yang sudah dijemput Allah SWT. Macam nilah cara Tok
Janggut nak memperingati rakan taulan, waris warah dan sahabat handai. Tok
Janggut nak bagi duit zakat, Tok Janggut bukan ahli perniagaan. Zakat fitrah
pun hari kedua nak raya baru Tok Janggut sempat langsaikan.
Sekarang ni Tok Janggut tengah buat perkiraan, nak balik
kampung atau tidak pada hari raya ni. Kalau tak balik, nanti apa kata
anak-anak, mak, ayah, adik, abang dan kakak. Kalau balik, Tok Janggut tak dapat
lupakan pengalaman balik raya tahun lalu. Jalan jem.
Nak bertolak balik sekarang, banyak lagi tugasan belum
selesai. Walaupun Tok Janggut dah pencen, tapi kerja tu tetap ada. Kalau tak
ada kerja, macam mana Tok Janggut nak ‘pera’ anak bini. Makan minum mereka nak
kena cukup. Kalau tak cukup, nanti mereka kebulur. Kurus kering macam rakyat
Somalia.
Inilah yang bermain dalam benak fikiran Tok Janggut. Hari
nak raya dah makin hampir. Pihak-pihak yang mewakili konsesi lebuh raya dah
umum jadual perjalanan pulang. Polis, JPJ dan bomba dah tempatkan anggotanya
sepanjang jalan dari Kuala Lumpur ke Kelantan. Dalam facebook pun ramai sahabat
taulan paparkan gambar kesesakan lalu lintas. Perjalanan yang sepatutnya ambil
masa tujuh jam, lanjut ke 12 hingga 15 jam. Semua ini menakutkan Tok Janggut.
Yang paling menggerunkan bila sampai di Gua Musang. Jalan
nak masuk ke pekan baru dan pekan lama bandar itu tentu ‘sumbat barak’. Belum
lagi masuk bandar Kuala Krai, Machang dan Kota Bharu. Kereta Tok Janggut
bukannya baru. Usianya dah cecah 10 tahun. Enjinnya bunyi macam orang hidap
penyakit lelah. Terhenjut-henjut.
Setakat ni hanya kerajaan Pahang yang umumkan beberapa jalan
alternatif kepada rakyat Kelantan yang balik kampung untuk elakkan kesesakan.
Kerajaan Kelantan belum bersuara apa-apa lagi. Belum ada sebarang pengumuman
mengenai perancangan mereka nak elak jalan ‘sumbat barak’. Seolah-olah semua dah
pakat lari daripada berdepan dengan masalah ini.
Kalau begitulah keadaannya, nampaknya perantau macam Tok
Janggut ni tidak ada pilihanlah bila dah sampai di Kuala Krai nanti. Terpaksalah
berdepan dengan jalan yang jem. Tak boleh nak bayangkan kalau kereta yang
terperangkap dalam jem itu tak ada ‘air-con’. Lagi parah kalau dalam kereta itu
ada anak kecil. Tentu bercampur baur irama yang masuk ke telinga. Antara tangisan
anak-anak, hon kereta dan suara dengusan pemandu.
Kesian perantau. Masa di Kuala Lumpur, bukan main gembira lagi
dapat balik kampung. Tapi sebaik masuk ke sempadan Kelantan, belum lagi ke sempadan
kampung, mereka dah menangis, menjerit dan menyumpah seranah kerana jalan jem. Nak
salahkan siapa? Pemandu atau kerajaan negeri?
Di hari baik bulan baik ini kalau boleh Tok Janggut tak
naklah menyumpah seranah kepimpinan kerajaan negeri. Kalau boleh Tok Janggut
nak berprasangka baik ‘sokmo-sokmo’. Tapi apakan daya, kalau hati dah panas.
Kereta pula langsung tak bergerak, sedangkan enjin makin panas, minyak dalam
tangki makin susut, hati mana mampu tahan senyum sokmo.
Sebagai rakyat Kelantan, sama seperti yang 400,000 perantau
yang lain, Tok Janggut ada hak nak hamburkan maki hamun kepada kerajaan negeri.
Itu hak Tok Janggut sebagai rakyat. Rasanya tak berdosa kalau setakat tegur
atau maki hamun kerajaan negeri yang tak ‘reti’ buat kerja, hanya reti
berceramah saja siang malam.
Hati mana tak sakit, kalau sudah 22 tahun memerintah, satu
jalan alternatif pun tak ada? Tak dibuatnya? Seolah-olah Kelantan ni sebuah
negeri maju lagi membangun sehinggakan tak ada sedikit pun tanah rizab nak
digazetkan sebagai jalan alternatif? Jalan yang boleh sekurang-kurangnya
mengurangkan kadar kesesakan terutama pada musim perayaan.
Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baru Cina
dan Deepavali bukan hanya disambut tahun ini saja. Dah beratas-ratus tahun
musim perayaan ini disambut. Takkan dalam masa 22 tahun kerajaan negeri tak
reti nak fikirkan bagaimana kaedah nak tangani atau selesaikan masalah ini?
Takkan asyik berada di takuk lama saja dan menyalahkan takdir atas apa yang
berlaku.
Inilah antara faktor kenapa Tok Janggut fikir sampai lima
belas kali nak balik kampung tiap kali tiba musim perayaan. Nak beraya di Kuala
Lumpur, bukannya Tok Janggut ada ahli keluarga, waris warah dan sahabat taulan.
Kalau semua pakat balik kampung, dengan siapa Tok Janggut nak beraya? Dengan
masyarakat Cina dan India? Mereka pun tumpang sekaki dengan cuti panjang ni nak
balik kampung.
Tok Janggut nak ‘sound’ pada kerajaan negeri, tak cukup
dengan tampal dan ikat kain rentang atau kain banner sepanjang jalan untuk beri
peringatan kepada perantau yang balik kampung. Kain rentang atau banner tu
bukannya ‘jalan alternatif’ boleh kurangkan kesesakan jalan raya. Sudah-sudahlah
membazir duit rakyat cetak kain rentang dan banner besar-besar untuk ikat tepi
jalan. Tak ada faedahnya.
Kalau nak ucap Selamat Hari Raya, cukup dengan kerajaan
negeri sediakan laluan alternatif bagi melancarkan perjalanan pulang perantau
ke kampung. Tak perlu nak tunjuk kerajaan negeri ni baik hati dengan ‘ambil
berat’ atau ‘ambil kisah’ keselamatan perantau dengan ucapan tak berfaedah pada
kain-kain rentang dan kain-kain banner.
Cubalah tunjuk satu contoh perjuangan Islam yang
dilaung-laungkan. Jangan asyik bercakap saja mengenai Islam, kalau buat dan
amalnya tidak. Sebagai rakyat Kelantan, terasa juga oleh Tok Janggut nak tengok
kerajaan negerinya betul-betul memperjuangkan Islam melalui perbuatan, bukan
percakapan.
Anak-anak Tok Janggut yang bekerja dan cari makan di Kuala
Lumpur dah sepakat nak balik kampung dengan bas atau kereta api. Mereka nak
tinggalkan kereta di rumah sewa di Kuala Lumpur. Katanya, mereka tak nak balik
dengan kereta sebab tak sanggup berdepan dengan jem. Mereka kata, di pusat
bandar ‘Kota Bharu Bandaraya Islam’ tu, kalau ada 100 biji kereta pun jalan dah
jem dan ‘trafiknya slow’, belum lagi ratusan ribu kereta akan berarak masuk
pada musim perayaan ini.
Betul jugak kata mereka tu. Tapi Tok Janggut tak ada pilihan.
Tok Janggut terpaksa juga balik dengan kereta. Sebab nanti, kalau balik dengan
bas atau kereta api, macam mana Tok Janggut nak ziarah sanak saudara? Takkan Tok
Janggut nak berjalan kaki atau naik beca roda tiga? Kalau zaman P Ramlee tak
apalah.
Pening kepala Tok Janggut pikirkan masalah ni. Mengalahkan
wakil rakyat Pas pula tolong fikirkan kaedah nak kurangkan atau elakkan
kesesakan jalan raya. Ligat dalam kepala Tok Janggut pikirkan jalan yang sesuai
nak balik kampung. Nak balik ikut Jeli? Kena masuk Ipoh dulu. Nak balik ikut
Rantau Panjang? Kena masuk Perlis kemudian Hadyai, Naratiwat dan Golok dulu. Nak
balik ikut Pasir Puteh? Kena masuk Kuantan dan Terengganu dulu. Kalau petrol tu
free, bolehlah.
Paling menyedihkan, bila Tok Janggut cakap pasal jalan raya,
pasal kemudahan prasarana, kerajaan negeri terus tuding jari kepada Kerajaan
Persekutuan. Mereka kata, tanggungjawab sediakan jalan raya ni bawah Kerajaan
Pusat, bukan kerajaan negeri. Mudahnya kerajaan negeri elak masalah. Kalau
semuanya bawah Kerajaan Pusat, habis tu! apa tanggungjawab kerajaan negeri? Apa
yang mereka buat selama 22 tahun menjadi kerajaan? Goyang ‘telur’?
Mungkin kerajaan negeri fikir, “ahh… tak apa jalan sesak
sumbat barak pun, paling lama lima hari je. Lepas ni pakat balik KL lah tu...” Kalau
inilah yang mereka fikir dan pegang selama 22 tahun memerintah. Tak buat
apa-apa untuk senangkan rakyat, jawablah di muka pengadilan di Padang Mashyar
nanti. Tok Janggut dah lama dah beri nasihat, tolong beri petunjuk macam mana
nak selesaikan masalah rakyat, tapi kalau tak nak dengar juga, bersedialah
kamu.
Pada hari pengadilan juga, Tok Janggut sebagai rakyat, Tok
Janggut akan pertahankan hak Tok Janggut yang tidak pernah menikmati, apatah
lagi mengecapi pembangunan yang kerajaan negeri sediakan. Di situ nanti
bolehlah Tok Janggut tuding jari kepada kerajaan negeri. Selamat Hari Raya
Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.




No comments:
Post a Comment