Saturday, 13 October 2012

Letak papan peringatan atasi jalan rosak


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar…
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar…
Allahu Akbar Kabira walhamdulilahi kathira wasubhanallahi bukratan wa asila…

Selamat Hari Raya Aidilfitri Tok Janggut ucapkan kepada semua umat Islam di seluruh negara, terutama di negeri kelahiran Tok Janggut, Kelantan. Semoga semuanya berada dalam keadaan gembira dan sihat alfiat selalu.

Hari Raya Aidilfitri datang setahun sekali.  Bermakna sudah 48 kali Tok Janggut meraikannya dan 22 kali daripadanya diraikan dalam keadaan yang tidak berapa menyeronokkan. Kenapa? Biarlah ia menjadi kenangan Tok Janggut.

Tok Janggut selamat sampai di kampung halaman dua hari sebelum raya. Sengaja Tok Janggut cuti awal sebab dah lama tak bersama ahli keluarga buat persiapan raya.

Perjalanan pulang dari rumah Tok Janggut di Klang, Selangor melalui lebuh raya NKVE – Gombak – Karak – Bentong – Raub - Kuala Lipis - Merapoh dan Gua Musang agak lancar. Tak jem dan tak sesak sangat. Perjalanan hanya ambil masa enam jam sahaja.

Begitu juga ketika memasuki bandar Kuala Krai pada jam lebih kurang 9 malam. Keadaan agak tenang sehingga ke Machang – Kok Lanas dan Kota Bharu. Tok Janggut terlepas daripada fenomena kesesakan jalan raya yang teruk yang berlaku setiap kali musim perayaan kerana Tok Janggut mempunyai perancangan yang baik.

Sungguh pun perjalanan lancar, namun ada juga dua tiga perkara masalah yang berlaku, yang menunjukkan sikap dan sifat kebahalolan, ketololan dan kebodohan pihak yang bertanggungjawab dengan portfolio jalan raya.

Kebahalolannya - pihak ini seperti tidak peka langsung dengan keadaan jalan yang rosak. Ketololannya - ialah jalan yang rosak itu tidak dibaiki, tetapi diletakkan papan tanda sebagai peringatan, manakala kebodohannya - seperti tidak ada otak hendak berfikir bagaimana mahu mengatasi masalah berkenaan.

Jadi, kesimpulan atas kebahalolan, ketololan dan kebodohan pihak yang memegang portfolio jalan raya ini ialah sikapnya mengambil jalan mudah melepaskan tangan jika berdepan dengan masalah.

Misalnya di depan pasar Pasir Mas yang hampir runtuh dan buruk itu, ada satu lubang sebesar kawah di tengah-tengah jalan. Kewujudan lubang ini menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk kerana jalan yang sebelum ini dua lorong menjadi satu lorong. Kereta terpaksa bergerak secara bergilir-gilir.

Dalam keadaan tertekan begini, kerana terperangkap kesesakan yang hanya berpunca daripada satu lubang, Tok Janggut terfikir juga, kalaulah pihak yang memegang portfolio jalan raya ini ada akal dan otak, sudah tentu masalah kesesakan dapat diatasi. Caranya bukan perlukan khidmat jurutera pun. Hanya tambun antara tiga atau lima baldi tar sahaja ke dalam lubang itu, gerenti terkambus dan permukaan jalan menjadi rata.

Tetapi pihak berkenaan tidak buat demikian. Mereka hanya letakkan papan tanda yang member peringatan kepada pengguna jalan raya, “Awas! jalan rosak. Hati-hati”. Itulah jalan penyelesaian yang diambil oleh seorang ‘ah lil mesyuarat tingkap’ kerajaan negeri yang berportfoliokan jalan raya ini.

Papan tanda ini diletak dalam lubang di tengah-tengah jalan itu, sebagai tanda peringatan. Nampak sangat ‘ah lil mesyuarat tingkap’ kerajaan negeri tidak ada otak dan pemalas. Lima baldi tar rasanya tak sampai pun RM20. Itu pun kedekut nak keluarkan peruntukan untuk menyenangkan pengguna jalan raya. Dia lebih letakkan papan tanda, “Awas! Jalan rosak. Hati-hati”.

Sehingga hikayat ini ditulis, papan tanda itu masih lagi ada terpacak di tengah lubang berkenaan. Jika melalui di depan pasar itu, kenderaan mesti bergilir-gilir untuk gunakan lorong. Kalaulah hal ini dilihat oleh pelancong, tentu mereka ketawa geli hati lihat cara dan kaedah ‘ah lil mesyuarat tingkap’ kerajaan negeri Kelantan tangani atau ‘selesaikan’ masalah.

Sedih Tok Janggut mikirkan nasib rakyat Kelantan yang mempunyai wakil rakyat dan exco yang langsung tak tahu buat kerja. Setiap masa dan ketika, ada-ada saja masalah yang membelenggu rakyat. Kalau masalah sekecil lubang jalan di depan pasar Pasir Mas ini pun tidak boleh diselesaikan. Apatah lagi masalah bekalan air yang sering terputus sejak dua tiga bulan lalu, yang sehingga kini belum dapat diatasinya.

Dalam bab masalah air, apa yang Tok Janggut nak maklumkan ialah sebaik sahaja pemimpin Umno iaitu Tok Pa campur tangan, masalah yang berlarutan sejak sekian lama di bawah kepimpinan Pas tiba-tiba saja boleh diatasi sepenuhnya oleh Umno dalam tempuh satu hari.  

Pelik bin ajaib. Bawah kepimpinan Pas, masalah air yang berlaku di beberapa buah kampung di Tumpat gagal diatasi, tetapi sebaik Tok Pa tahu, beliau bawa alat penapis air dan gali telaga, masalah itu dapat diselesaikan. Satu hari pula tu, bukan lima bulan, bukan tujuh bulan atau bukan perlu tunggu sehingga tahun 2017 untuk atasinya.

Apa Exco kerajaan negeri berportfolio air buat? Takkan tak ada otak nak fikirkan semua ini. Dua bulan. Tiga bulan. Empat bulan berlalu. Masalah air tetap membelenggu rakyat Kelantan. Tak ada satu pun usaha mengatasinya dilakukan, melainkan meminta tok gurunya buat kenyataan menyalahkan takdir kerana kemarau menyebabkan kerajaan negeri tidak dapat sediakan bekalan air mencukupi.

Beginilah nasib rakyat Kelantan yang berkepemimpinan pemimpin tidak berotak. Segala kaedah nak atasi masalah, rakyat sendiri yang kena fikirkan. Selesaikan. Kalau pemimpin Umno yang campur tangan dan selesaikan, pemimpin Pas yang busuk hati ini kata, mereka dah nak buat, tetapi Umno kacau daun.

Inilah alasan orang yang berhati busuk. 20 tahun menjadi pemimpin. Pegang portfolio jalan raya dan air, langsung tak terfikir nak gali telaga, sediakan penapis air sebagai langkah untuk mengatasi masalah ketiadaan bekalan air. Kaedahnya cukup senang. Sumber air datangnya dari bawah tanah. Nak dapatkannya, kena gali bukan mengharapkan air terpancut keluar sendiri.

Rasanya dah banyak kali Tok Janggut cadangkan benda ini dalam penulisan Tok Janggut sejak tahun 1990 sampai ke hari ini. Dari bekalan air Jabatan Bekalan Air Kelantan (JBAK) sehingga nak diswastakan kepada syarikat dari Britain, Thame Water lagi Tok Janggut dah cadangkan kepada kerajaan negeri supaya nasihatkan penduduk gali telaga sebagai langkah bersiap sedia sekiranya mutu dan kualiti air disediakan Thame Water tidak menepati piawaian.

Tetapi kerajaan negeri tak keluarkan arahan itu. Kerajaan negeri takut kalau rakyat dengar dan ikut cadangan Tok Janggut, rakyat tak akan melanggan air dari Thame Water (sekarang AKSB) lagi. Mereka takut menanggung kerugian kerana tidak akan ada pengguna bayar bil bulanan. Nampak sangat kerajaan negeri tamak haloba. Lapar duit rakyat dengan cara menipu dan memperdaya rakyat.

Air adalah antara sumber keperluan manusia, selain makanan, pakaian dan tempat tinggal. Pemimpin kerajaan negeri tidak akan dan tidak pernah berdepan dengan masalah-masalah ini kerana kediaman mereka akan dipastikan mendapat bekalan mencukupi. Tangki air di rumah mereka akan dipastikan tidak akan kering.

Kapasiti air ke tangki ini sentiasa dipantau, dikawal dan dijaga supaya pemimpin berkenaan tidak mengalami masalah keputusan air atau ketiadaan air. Jadi, walaupun rakyat menderita hidup tanpa air, ia tidak memberi kesan kepada pemimpin berkenaan. Mereka tidak dapat menyelami penderitaan yang ditanggung oleh rakyat sebab mereka tidak tahu apa itu penderitaan dan kesengsaraan.

Kalau ada penyokong tegar mereka kata, si anu dan si polan adalah pemimpin berjiwa rakyat. Itu hanyalah kata-kata pembohongan yang digunakan untuk memikat dan menjerat rakyat semata-mata supaya memberi sokongan. Walhal, pemimpin itu bukan berjiwa rakyat. Malah tidak ada sedikitpun roh jiwa dalam diri mereka terhadap rakyat.

Siang malam selama 22 tahun rakyat Kelantan ditipu. Mata rakyat ditutup. Minda rakyat dikaburi dengan imej serban serta berkopiah pemimpin kerajaan negeri. Rakyat dibohongi hidup-hidup oleh pemimpin-pemimpin ini yang menjadikan agama sebagai alat untuk menakut-nakutkan mereka.

Apabila rakyat takut dengan hukum hakam yang dicipta sendiri oleh pakar putar belit agama ini, mudah bagi mereka menggugut rakyat dengan dosa pahala, syurga neraka. Pemutar belit agama ini bercakap mengenai agama seolah-olah dosa pahala, syurga neraka di tangan mereka dan hanya mereka yang menentukannya.

No comments:

Post a Comment