Saturday, 15 September 2012

Bukan tak nak bina projek-projek lama


Kesian kerajaan Tok Janggut di Kelantan. Terpaksa tunggu 22 tahun baru nak buka mulut beri penjelasan sejelas-jelasnya kepada rakyat, kenapa tok guru terpaksa tangguhkan 15 projek mega yang tok guru umumkan sejak menjadi menteri besar pada tahun 1990.


Betapa kuat dan kukuhnya kesabaran serta keimanan seorang tok guru ini.

Bayangkan, dalam tempoh 22 tahun, bersamaan dengan 8,030 hari tok guru berdepan dengan 999,999 ‘desakan, kata nista, caci maki dan fitnah’ daripada pemimpin Umno, ahli Umno dan penyokong Umno berhubung projek-projek yang tok guru janjikan sebelum ini, tetapi tergendala, tertangguh, terbengkalai dan tidak dibuat itu, tok guru tetap tenang dan sabar.

Seperti tok guru tak pernah buat dosa kepada rakyat Kelantan.

Hari ini, selepas 22 tahun, kalau tidak disebabkan perbuatan lebih 300  orang ‘upahan Umno’ berkumpul di depan bangunan Kota Darul Naim nak serahkan memorandum berhubung pembinaan lebuh raya rakyat Kota Bharu – Kuala Krai, dah tentu tok guru masih ‘berdiam diri’, ‘masih bersabar’ dan ‘tak akan buka mulut lagi’.

Tetapi, sekali tok guru buka mulut, beri penjelasan kenapa dalam banyak-banyak 16 projek (tambah satu lagi – projek lebuh raya rakyat KB-KK), tok guru hanya nak ‘laksanakan’ satu daripadanya, semua rakyat Kelantan terutama pemimpin Umno, ahli Umno dan penyokong Umno terlopong, terngangga.

Tok guru adalah seorang wali pada pandangan, firasat dan tanggapan ahli serta penyokongnya. Apa saja yang tok guru cakap, bagi ahli dan penyokongnya, itu adalah benar dan betul. Oleh itu rakyat kena akur. Pemimpin Umno, ahli Umno dan penyokong Umno kena dengar. Jangan sekali-kali nak derhaka. Nak perli-perli. Nak sindir-sindir tok guru. Tak baik. Nanti masuk neraka.

Lagipun, projek pembinaan jambatan Palekbang, Tumpat ke Kampung Cina, Kota Bharu bukan terbengkalai pun atau bukannya kerajaan negeri tak ada duit nak bina, tapi tok guru dah fikir masak-masak, buat apa nak bina jambatan baru banyak-banyak, kalau jambatan sedia ada pun dah banyak.

Daripada membazir buat jambatan baru, lebih baik simpan duit tu untuk ‘buat’ projek yang lebih berfaedah macam lebuh raya rakyat Kota Bharu ke Kuala Krai. Bina jambatan banyak-banyak pun bukan rakyat nak guna sangat pun.  

Rakyat Pasir Mas nak jambatan? Kan dah ada dua. Jambatan Tendong dan Jambatan Pasir Mas-Salor. Untuk rakyat Tanah Merah dan Jeli pun dah ada Jambatan Kusial di Tanah Merah. Nak bina jambatan baru kat mana lagi? Siapa nak guna? Betullah apa yang tok guru katakan tu.

Begitu juga dengan projek Bandar Perikanan di Tok Bali. Projek Agro Tourism Pergau di Jeli dan projek Bandar Baru Pengkalan Kubor di Tumpat. Buat apa nak berhabis duit RM800 juta di Tok Bali, RM250 juta di Jeli dan RM1 bilion di Tumpat?

Rakyat nak makan ikan, takkan nak pergi ke Tok Bali. Di pasar Siti Khadijah beratus-ratus tong ikan segar ada. Rakyat nak tengok agro pelancongan, takkan kena pergi ke Jeli. Di pusat bandar Kota Bharu berlambak-lambak ada. Begitu juga Bandar Baru Pengkalan Kubor. Berapa banyak bandar baru daaa nak dibina. Bukan boleh dijadikan sumber ekonomi pun, sebab yang datang ke Tumpat hanya transit saja untuk ke Tak Bai, Thailand.

Itulah yang difikirkan oleh seorang tok guru yang ‘inovatif’, ‘inovasi’, ‘kreatif’, ‘pintar’, lagi cerdik. Fikirannya adalah fikiran jangka panjang. Untuk masa depan yang cemerlang, gemilang dan terbilang konon. “Demi mu parti, aku rela memperdaya rakyat.”

Sebab itu dan tidak hairanlah kalau 16 projek mega termasuk satu projek maharaja mega - lebuh raya Kota Bharu – Kuala Krai hanya akan tinggal kenangan di papan tanda piagam Kerajaan Pas Kelantan di pintu masuk Bangunan Pentadbiran Kota Darul Naim.

Semuanya omong kosong. Penjelasan demi penjelasan yang dibuat oleh tok guru dan anak-anak buahnya tidak lain dengan motif dan tujuan untuk mengelak daripada dituduh oleh rakyat sebagai tok guru munafik dan fasik.

Semua projek mega termasuk maharaja mega yang tok guru dan anak-anak buahnya berpakat membohongi rakyat bernilai ratusan juga dan bilion ringgit. Tidak ada satu pun daripada projek mega dan maharaja mega itu bernilai RM200 juta ke bawah. Semuanya RM300 juta ke atas. Hebat sungguh tok guru Tok Janggut.

Tak percaya? Tengok ni: Projek Pelancongan di Danau Tok Uban kosnya RM350 juta, Bandar Peranginan Danau Tok Uban, Pasir Mas (RM885 juta), Pembinaan Terminal Bas Bersepadu di Kubang Kerian (RM328 juta), Projek Industri Petrokimia di Pantai Senok, Bachok (RM2 bilion), Pelabuhan Pantai Sri Tujoh Tumpat (RM360 juta) dan Pusat Peranginan Tasik Kwong, Rantau Panjang (RM1.5 bilion).

Mana ada projek berharga RM200 juta ke bawah? Projek Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu – Kuala Krai pun paling ‘debek’ telan belanja RM1.8 bilion. Kurang RM200 juta dari kos Projek Industri Petrokimia. Hebatkan kerajaan pimpinan tok guru Tok Janggut. Kerajaan negeri yang kaya raya. Kaya dengan putar belit dan kaya dengan memperdaya rakyat.

Nasib baiklah ada budak-budak dari badan bukan kerajaan (NGO) yang sedar dan sudah bosan dengan janji-janji manis Pas serta dolak dalik tok guru. Terfikir jugak oleh mereka-mereka ini nak dermakan kereta sorong, cok cangkul, siko (penyodok) dan batang penyapu kepada tok guru untuk tolong tok guru siapkan projek angan-angannya nak buat lebuh raya rakyat dari Kota Bharu ke Kuala Krai.

Tok Janggut harapkan dengan adanya kereta sorong, cok cangkul, siko dan batang penyapu itu dapatlah ringankan usaha tok guru nak cari penderma lain lagi. Setakat sebut nak buat projek sepanjang 73 kilometer tu, rasa Tok Janggut, peralatan yang didermakan oleh kira-kira 300 rakyat Kelantan tu dah lebih dari mencukupi. 

Bukan tok guru nak guna semuanya pun. Lagipun, kos untuk pecah tanah dan tanam batu asas dah ada. Dah siap pun majlis tu minggu lalu. Tunggu rumput dan lalang naik saja lagi. Cuma yang Tok Janggut puji akan kecerdikan tok guru ialah, dia tak seperti orang tamak lain, “dengar guruh di langit, air di tempayan dicuahkan.”

Kalau tok guru jenis macam itu, alamaknya habislah jalan raya Machang ke Kuala Krai yang sedia ada ditutup kepada semua lalu lintas kerana nak galakkan pengguna jalan raya guna lebuh raya dua lorong sehala yang tok guru bina.  

Di sepanjang lebuh raya rakyat itu nanti, tak perlulah tok guru letak papan tanda, “Subhanallah”, “Alhamdulillah”, Allahuakbar” lagi. Tok guru boleh ganti dan letakkan papan tanda baru yang bertulis, “Kerajaan Batu Asas”, “Selesai Air Dulu” dan “Manisnya Janjimu”. - Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 07 Jun 2012)

No comments:

Post a Comment