Friday, 14 September 2012

POJOK: Jangan Cakap Tak Serupa Bikin



TOK JANGGUT
Hari ni Tok Janggut nak kupas pasal isu terbaru yang dibangkitkan Pas. Isunya agak mengejutkan Tok Janggut - Pas ajak Umno bermuzakarah. Mengikut fahaman Tok Janggut, muzakarah ni tak lebih sebagai retorik dan satu lagi helah Pas untuk tarik sokongan rakyat.

Pada hemah Tok Janggut, muzakarah ni bagus kalau ia betul-betul menjadi kenyataan. Dengan muzakarah, Pas dan Umno dapat cari jalan dan capai kata sepakat serta rumusan. Melalui kata sepakat dan rumusan itu juga, mereka akan dapat hasilnya untuk dilaksanakan. Hasilnya itu nanti, kalau Pas benar-benar ikhlas dan jujur sebagaimana Umno ikhlas dan jujur akan memberi kebaikan kepada orang Melayu dan Islam.

Kebaikan inilah yang orang Islam nak. Kebaikan inilah yang orang Melayu harapkan dari dulu lagi. Mereka dah bosan hidup bermasam muka sesama sendiri, sesama bangsa, sesama agama dan sesama darah daging. Islam tak pernah anjur perkara-perkara yang Allah larang, benci dan kutuk. Perlembagaan Melayu juga tak menggalakkan bangsanya berpecah belah.

Allah melantik seseorang itu menjadi khalifah di muka bumi ini supaya mereka mengajak bangsa dan umatnya ke arah kebaikan, keharmonian dan kesejahteraan. Bukan menggunakan darjat dan pangkat yang dianugerahkan Allah itu untuk berbuat kejahatan, hasad dengki, tindas menindas, memaki hamun dan sebagainya. Itulah yang Tok Janggut faham.

Tok Janggut sentiasa berpegang pada apa yang mak dan ayah Tok Janggut ajar dan didik. Tok Janggut yakin dan percaya ajaran dan didikan mereka ini berpandukan kepada al-Quran dan Hadis. Bukan mengajar dan mendidik anak-anak mengikut firasat atau kata hati mereka. Sebab itu jiwa Tok Janggut jiwa pendamai, bukan jiwa pendendam.

Tok Janggut terpanggil nak kupas isu muzakarah ni kerana pada satu malam yang masih muda, Tok Janggut sedang menonton berita televisyen. Dalam berita itu, ada sebut ‘Pas ajak Umno bermuzakarah’. Kerana tak yakin dengan pendengaran telinga akan berita itu, yang terus hilang di angin lalu, maka pagi-pagi lagi keesokan harinya Tok Janggut pergi ke sebuah stesen minyak, beli surat khabar.

Tok Janggut beli Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tok Janggut berbelanja RM3 pagi tu kerana semata-mata nak tengok dan nak baca ada ke tidak berita yang Tok Janggut dengar dalam televisyen malam tadi - Pas ajak Umno muzakarah. Manalah tahu takut-takut telinga Tok Janggut tersilap dengar atau takut-takut pada malam yang masih muda tu Tok Janggut mamai. Manalah tau kan. Bila dah tua macam-macam boleh berlaku pada pancaindera kita. 

Bila Tok Janggut belek-belek muka surat kedua-dua surat khabar arus perdana itu, memang ada terpapar tajuk berita yang Tok Janggut harap-harapkan tu. Tajuknya lebih kurang beginilah: “Nik Aziz ajak Umno bermuzakarah demi masa depan Islam dan bangsa Melayu.

Ahh!..macam tak percaya pula. Terharu pun ada. Seorang tok guru yang Tok Janggut kenal sebagai seorang yang keras pedal tetiba ajak Umno bermuzakarah. Entah apa mimpi dan gerangan yang membuka pintu hati tok guru untuk membuat kenyataan demikian.

Setahu Tok Janggut, tok guru Nik Aziz ni seorang yang anti tahap gila kalau sebut pasal Umno, apatlah lagi kalau nak berbaik-baik dengan parti majoriti orang Melayu/Islam itu.

Sebelum inikan diakan pernah tegur presidennya, tuan guru Haji Hadi dan ustaz Nasharudin Isa kerana kedua-duanya tunjuk minat dengan Perpaduan Nasional yang dianjurkanUmno. Tuan guru Haji Hadi dan ustaz Nasha kurang popular dan kurang dapat sokongan daripada ahli-ahlinya kerana nak berbaik-baik dengan Umno lah.

Tapi hari ni tok guru sendiri yang ajak Umno muzakarah. Bukan tuan guru Haji Hadi atau ustaz Nasha. Apapun mereka berdua tak boleh nak kata apalah. Sebab yang nak mulakan muzakarah ni tok guru. Tentunya mereka berdua ni gembira, walaupun Tok Janggut percaya dalam hati mereka ada simpan sikit rasa marah dan dendam kerana… “dulu aku ajak Umno bersatu, aku kena marah, kena kutuk, kena sindir. Tok guru sisihkan aku. Tapi hari ni dia pulak ajak Umno muzakarah. Boleh pulak, tak ada siapa pun nak marah, nak kutuk, apatah lagi sindir dan sisihnya”.

Apapun Tok Janggut nak nasihatkan pada tuan guru Haji Hadi dan ustaz Nasha, “Bersabarlah dengan kerenah tok guru… diakan ketua parti dan ketua ahli-ahlinya yang beragama Islam. Mursyid pulak tu. Sebagai anak buah, walaupun berjawatan presiden dan timbalan presiden, kenalah akur dengan kata putus seorang Mursyid”.

Tok Janggut sendiri pun macam tuan guru Haji Hadi dan ustaz Nasha lah, masih binggung dan tertanya-tanya. Mimpi apa agaknya tok guru Nik Aziz nak ajak Umno bermuzakarah? Adakah kerana tok guru Nik Aziz nak alih perhatian masyarakat pada isu perhimpunan haram Bersih 3.0, skandal seks lelaki mirip Mohamed Azmin Ali, privasi S. Ambiga diganggu dan kecamannya terhadap Majlis Fatwa Kebangsaan serta Mufti Perak , Tan Sri Harussani Zakaria?

Ada beberapa faktor kebenaran yang Tok Janggut rasakan pada kemungkinan itu. Pertamanya, selepas tragedi demonstrasi haram Bersih 3.0 pada 28 April lalu, Pas, PKR dan DAP menerima kecaman majoriti rakyat yang cintakan keamanan dan kebersihan. Saban hari televisyen, media sosial menyiarkan klik video bagaimana perusuh haram tajaan pembangkang dan NGI propembangkang merosakkan harta benda awam dan mencederakan anggota polis serta wartawan yang bertugas. Ini sedikit sebanyak mengurangkan sokongan masyarakat kepada mereka.

Lalu, bagi menamatkan halwa mata dan telinga rakyat daripada berterusan dihidangkan dan membicarakan huru hara serta kacau bilau yang dicetuskan parti pembangkang itu, tok guru cuba menayangkan isu baru, iaitu ajak Umno bermuzakarah.

Harapannya, dengan isu itu rakyat akan lupa seketika pasal perhimpunan haram, pasal skandal seks lelaki mirip Mohamed Azmin Ali dan tegurannya terhadap Majlis Fatwa Kebangsaan serta Tan Sri Harussani Zakaria.

Keduanya, Tok Janggut rasa, selepas tragedi itu, Pas mula sedar sokongan rakyat terhadap parti itu semakin berkurangan. Ramai yang marah dan tidak senang dengan ‘fatwa wajib’ yang dikeluarkan tok guru menggalakkan rakyat menghadiri beramai-ramai ke perhimpunan haram Bersih 3.0 itu.

Ketiganya, pada firasat Tok Janggut, mungkin tok guru mula sedar dan berasa bersalah atas tindakannya melarang beberapa pemimpin kanan Pas daripada menganjurkan Perpaduan Melayu dan Perpaduan Nasional dengan Umno. Tok Janggut fikir, tok guru takut dituduh sebagai seorang yang tidak berperikemanusiaan.
 Atau ada kemungkinannya juga anggapan Tok Janggut lagi, tok guru sengaja nak cari helah nak tutup isu privasi S. Ambiga yang dicabul sekumpulan peniaga kecil menjual burger dan sekumpulan bekas komando askar mengadakan senamrobik gelek punggung di depan rumah wanita India itu?

Ataupun pada Tok Janggut lah, mungkin  tok guru anggap dengan sengaja mencetuskan isu mengajak Umno bermuzakarah, isu dia mengecam Majlis Fatwa Kebangsaan dan memperkecil-kecilkan taraf Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, akan dilupai rakyat?

Semuanya itu ada kemungkinannya. Namun apapun, Tok Janggut tetap berpegang pada kepercayaan diri sendiri, bahawa tok guru adalah seorang yang cerdik dan pintar dalam berpolitik. Sungguhpun usianya kini sudah mencecah 80-an, tapi otaknya tetap masih bergeliga.

Dan yang penting sekali Tok Janggut berharap tok guru masih mampu lagi menjadi menteri besar atau wakil rakyat untuk tempoh dua atau tiga penggal akan datang atau sehingga kiamat. Insya-Allah.

Dengan ajakan ini, Timbalan Perdana Menteri Tok Janggut, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan balas. Katanya, Umno sedia bermuzakarah dengan Pas bila-bila masa dan di mana-mana saja asalkan untuk kepentingan orang Melayu dan Islam.

Mantan Perdana Menteri Tok Janggut, Tun Dr Mahathir Mohamad pun memberi jawapan positif atas ajakan itu. Katanya, jangan ada sesiapa cuba ganggu muzakarah kali ini. Biar ia benar-benar jadi kenyataan.
Sekaranng terpulang pada tok guru, sama ada nak teruskan ajakannya itu atau berdolak dalik lagi pada saat-saat akhir sebagaimana yang tok guru lakukan sebelum ini. Dia ajak, jemput dan pelawa, tapi dia juga yang tolak ajakan dan cadangannya itu. Tidakkah itu pelik namanya.

Pada Tok Janggut lah yang sudah berusia separuh abad ini, kalau Pas, DAP atau PKR nak ajak Umno, MCA atau MIC bermuzakarah, janganlah cakap tak serupa bikin. Ajakan tu mestilah iklhas dan pastikan jadi kenyataan. Rakyat di bawah dah lama tunggu pemimpin mereka bersatu hati, bekerjasama dan bersefahaman. Jangan biarkan rakyat bosan dengan sikap dolak dalik kita lagi.

Sebenarnya bukan rakyat tak tahu sikap dan sifat tok guru. Mereka macam Tok Janggut juga, tahu sangat-sangat. Cuma malas nak terlibat dalam sesi kutuk mengutuk ni. Malas kutip dosa kering. Sedang rakyat boleh sangat-sangat nak suarakan rasa tak puas hati pada tok guru, tapi mereka tak mahu dilihat sebagai menderhaka kepada orang tua, bukan menderhaka kepada orang alim, ulamak, tok guru mahupun tokoh agama. - Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 22 Mei 2012)

No comments:

Post a Comment