Friday, 14 September 2012

Kelantan ada potensi, pelabur enggan masuk

Persoalan utama terlintas difikiran apabila bercakap mengenai kemunduran dan kemiskinan di Kelantan ialah puncanya sudah pasti berkaitan dengan kurangnya pelaburan asing yang mengalir masuk ke negeri bergelar Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah ini.

Apakah benar rumusan itu? Tidakkah ada sumber lain sebagai pilihan supaya ekonomi negeri tidak terlalu bergantung kepada pelaburan asing, sebaliknya menggunakan sumber kekayaan negeri yang juga turut dikenali sebagai Tanah Serendah Sekebun Bunga untuk menjana ekonomi.

Namun, berdasarkan konsep, prinsip dan amalan ekonomi semasa, rasanya pelaburan asing masih menjadi satu daripada antara penjana utama membangun sesebuah negeri seperti dilakukan negeri-negeri lain di Malaysia.

Kerajaan PAS Kelantan, bawah pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu menerima hakikat ini kerana kegagalan membawa pelabur asing ke negeri berslogankan ‘Membangun Bersama Islam’ ini menyebabkan hampir 1.5 juta rakyatnya merana disebabkan kurangnya peluang pekerjaan.

Jika ada pun peluang pekerjaan itu, ia hanya sekadar menjadi nelayan, penanam tembakau, peniaga kecil-kecilan menjual produk hasil mahsul serta kreativiti warga Thailand, penarik beca, pemandu prebet sapu dan peraih ikan yang pendapatannya tidak seberapa.

Apabila sebuah hotel di Kota Bharu menawarkan peluang kerja baru, beribu-ribu anak muda Kelantan berkelulusan ijazah dan diploma berasak-asak dengan pemuda lepasan SPM untuk merebut jawatan pelayan dan pencuci pinggan mangkuk di hotel itu.

Akibatnya, majoriti rakyat terpaksa berhijrah mencari pekerjaan di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Perak, malah ada yang sanggup bekerja di Singapura dalam bidang korporat, perkilangan, pembinaan kapal, membuka perniagaan, jadi pemandu bas ekspres, perkeranian, malah tukang sapu dan buruh binaan.

Bukannya sektor sama tidak ditawarkan di negeri ini, Cuma gajinya rendah dan kurang daya saing, manakala peluang menikmati kehidupan lebih selesa masih kurang.

Kegagalan Nik Abdul Aziz dan barisan kepemimpinannya menerajui Kelantan menyediakan peluang pekerjaan untuk mengimarahkan negeri ini dengan perancangan teliti hingga negeri maju atau setidak-tidaknya terus membangun menyebabkan majoriti rakyat menegur kelemahan kepimpinan Mursyidul Am PAS itu.

Malah, Naib Presiden PPP, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof sendiri mengakui bahawa rakyat dan bumi Kelantan mempunyai segala rempah ratus untuk menjadi negeri maju.

“Rakyatnya ramai, rajin, buminya subur dan luas. Kemudahan yang ada dengan dasar yang baik sudah disediakan, Cuma hendak dicantum dan dipetik saja suis pelaksanaannya,” katanya kepada DetikPerubahan.com.

Ada kebenarannya apa yang diperkatakan oleh Pengerusi PPP Kelantan itu. Katanya, prasarana di Kelantan tidak kondusif kepada pelabur, dan kalau ada pun tenaga mahir, mereka tidak berada di Kelantan kerana merantau ke negeri orang mencari rezeki serta terpaksa mencurahkan kemahiran yang ada untuk dinikmati negeri lain.

“Jika pun ada insentif, galakan yang diberikan tidak seperti di negeri lain, contohnya, Kuala Lumpur dan Selangor yang tawarannya lebih hebat, menyenangkan pelabur dan seterusnya membawa keuntungan besar kepada mereka serta emakmuran negeri,” katanya.

Apa kurangnya orang Kelantan. Di mana jua kita berada, pasti ada saja orang Kelantan, lebih-lebih lagi kumpulan yang berjaya hingga keupayaan mereka dicemburui orang negeri lain.

Namun, sembang-sembang kedai kopi di Lembah Klang, ada kedengaran ramai dalam kalangan profesional yang bekerja di pelbagai sektor di ibu kota enggan balik ke negeri Kelantan untuk menabur bakti kerana peluang pekerjaan mereka agak terhad.

Ada juga yang berpendapatan sederhana, yang menjadi perantauan di Kuala Lumpur turut memberi maklum balas yang sama - tidak mahu pulang kerana tidak mahu menjadi penganggur terhormat.

Pada mereka, jika pulang ke kampung halaman, apa jenis pekerjaan yang disediakan? Sekadar menjadi pembantu di kompleks membeli belah dan kios-kios, tidak memadai dengan pendapatan antara RM350 hingga RM450 sebulan, tanpa ada caruman KWSP.

Hendak menjalankan perniagaan kecil-kecilan di pasar Wakaf Che Yeh dan pasar Siti Khadijah? Semua ruang sudah dipenuhi oleh peniaga-peniaga dari negara jiran, Thailand. Habis, apa bentuk pekerjaan yang ada untuk mereka?

Begitu juga kepada yang mempunyai kepakaran profesional, mereka tidak mempunyai ruang untuk memberikan khidmat nasihat dalam bidang berkaitan kerana syarikat atau agensi seumpamanya tidak wujud di Kelantan, sebaliknya hanya ada di Lembah Klang dan bandar-bandar besar lain.

Bagi mengatasi masalah ini Nik Abdul Aziz dan barisan kepemimpinan PAS Kelantan seharusnya ringan tangan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi kepentingan sosial sambil mengetepikan fahaman politik.

Ini tidak berlaku, kerajaan PAS Kelantan lebih suka menunjukkan sikap ego mereka dan bermusuh dengan Kerajaan Pusat. Walhal, Nik Abdul Aziz bersama barisan kepemimpinan PAS sama sekali gagal mentadbir Negeri Serambi Mekah. Mereka hanya suka berpolitik daripada memikirkan bagaimana untuk meningkatkan taraf hidup dan sosio-ekonomi rakyat.

PAS Kelantan sepatutnya ada rasa malu atau perasaan malu terhadap negeri jiran, Terengganu dan Pahang. Dengan kelahiran ramai anak Kelantan yang berjaya di luar, Tanah Serendah Sekebun Bunga ini sepatutnya sudah seiring dengan kedua-dua negeri itu sebagai kelompok negeri Pantai Timur, tidak seperti di Pantai Barat apabila hampir semua negeri berjajaran dengannya mampu menunjukkan kehebatan dalam membangunkan negeri masing-masing.

Adakah ia berpunca daripada tawaran insentifnya yang kurang inovatif? Apa kurangnya dengan Kelantan? Mengikut perkiraan mudah, Nik Sapeia berpendapat dengan keupayaan menawarkan perkhidmatan serba murah, sama ada tenaga kerja dan sumber asas, Kelantan dengan mudah diyakini mampu menarik pelabur sekurang-kurangnya dari China dan Indonesia, walaupun agak sukar untuk menarik Jepun, Taiwan dan Singapura.

Soal Kerajaan Pusat membuat sekatan, sebenarnya tidak timbul sama sekali kerana sebagai pelabur, mereka pastinya melakukan penyelidikan dan pembangunan. Dan jika betul pun Kelantan berpotensi, kalau benar pelabur berpendapat negeri ini sesuai, walaupun ‘dihalang’ Kerajaan Pusat, pasti mereka tetap melabur.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berpendapat, mereka ini (pelabur) bukan hendak sangat mendengar masalah antara negeri dengan Pusat. Yang penting bagi mereka ialah keuntungan semaksimum mungkin.

Oleh itu, katanya, jika ada ‘halangan’ pun, jika mereka mendapati Kelantan berpotensi membawa laba lumayan, mereka tetap melabur.

“Kalau disenaraikan tiga soalan berlainan kepada pelabur, mereka tetap menjawab lokasi sebagai faktor kepada ketiga-tiga soalan bagi menggambarkan ia menjadi kriteria utama untuk mereka membuat keputusan.

“Begitu juga kepada orang yang bermain saham. Tiga jawapan kepada tiga soalan itu ialah masa yang sesuai,” katanya.

Meminjam kata-kata Datuk Seri Annuar Musa: “Potensi Kelantan menarik minat pelabur tetap ada dan tidak berbangkit sama sekali Kerajaan Pusat menghalang kerana melabur di mana-mana negeri pun, ia tetap dalam Malaysia dan itulah matlamat kita (UMNO),” katanya.

Penyelesaian terbaik kepada masalah itu ialah kerajaan PAS Kelantan perlu berbincang dengan Kerajaan Pusat untuk mencari kaedah terbaik menarik masuk pelaburan ke negeri ini. Bukan berpolitik siang malam, mencaci maki pemimpin Pusat dan memperlekehkan apa yang negeri bawah kepimpinan BN buat.

Nik Abdul Aziz seharusnya muhasabah diri. Mencari dan menilai kelemahan yang ada padanya sebagai menteri besar untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat. – Manzaidi Mohd Amin (Siaran 05 April 2012)

No comments:

Post a Comment