Bila Tok Janggut lihat, perhati dan pantau perangai tok guru Tok Janggut ni. Tok Janggut dapat rasakan makin hari orang tua ni makin teruk. Makin menjadi-jadi. Tak padan langsung dengan imejnya sebagai tok guru.
Kalau
setakat mengaku dirinya ulamak, dirinyalah teralim, terwarak, terlebai dan
terbijak dalam hal-hal agama, Tok Janggut tak kisahlah. Itu dia punya pasallah.
Sebab itu yang dia cari dalam politik pun.
Tapi
kalau dia campur adukkan politik dengan agama sehingga agama menjadi huru hara,
kucar kacir dan dipandang rendah oleh orang-orang bukan Islam, yang ni Tok
Janggut tak boleh terimalah.
Nak
jadi orang teralim, orang terwarak, orang terlebai dan orang terbijak, jadilah.
Tok Janggut peduli apa. Tapi janganlah sampai menyusahkan orang lain. Jangan
sampai orang Islam terkeliru dengan hukum hakam agama yang mereka anuti sejak
zaman datuk nenek mereka lagi.
Dahlah
kita ni Islam keturunan, bukan Islam yang dianuti atau dipeluk. Islam keturunan
ni ilmunya tak berapa banyak sangat. Mereka tidak serajin orang bukan Islam
yang memeluk Islam. Golongan mualaf, saudara baru dan muslim lebih banyak
ilmunya kerana mereka belajar dan mendalaminya.
Mereka
kenal Islam melalui belajar. Kita yang dari keturunan ni tak belajar seperinci
mereka. Kita lahir sudah beragama Islam. Kalau belajar pun setakat sekolah
rendah dan menengah. Kalau hadir kuliah pun ilmu yang diajar bercampur dengan
politik. Tak setulen ilmu yang ditimba golongan mualaf, saudara baru dan
muslim.
Oleh
itu, hasil kajian mendapati, antara orang Islam yang terpengaruh dengan agama
ajaran Pas ialah orang Islam yang berketurunan. Mualaf, saudara baru dan muslim
tak mudah terpengaruh kerana ilmu agama yang mereka belajar adalah ajaran yang
betul.
Cuba
tanya mualaf, saudara baru dan muslim, boleh atau tidak yang haram dihalalkan.
Yang halal diharamkan. Sudah tentu mereka kata dalam pengajian mereka, yang
haram tetap haram sampai ke kiamat. Yang halal tetap halal sampai ke kiamat.
Tetapi
kalau tanya kepada kita yang beragama Islam dari keturunan, kita akan jawab,
boleh. Semuanya boleh. Kalau tok guru kata haram, kita mengiyakan, haram.
Kemudian tok guru kata yang haram dulu dah boleh halal semula, kita juga
mengiyakan, halal. Pendirian kita sama tak tetap.
Sedarlah
wahai kaum kerabat Tok Janggut. Islam itu agama yang mudah dan sederhana. Tapi
kerana ajaran orang yang terwarak, teralim dan terlebih lebai terpesong, maka
Islam menjadi sebuah agama yang menakutkan. Agama yang sekejap boleh, sekejap
tak boleh. Sedangkan, kalau sesuatu perkara yang tidak disukai Allah itu haram,
maka haramlah sampai ke kiamat. Bukan hari ini haram, esok halal. Dibolehkan.
Sejahil-jahil
Tok Janggut pun, Tok Janggut tahu dan dapat menilai mana haram, mana halal. Tok
Janggut tak pernah jadikan janggut sejemput yang tumbuh di dagu ini sebagai
umpan untuk tunjuk warak, alim dan lebai. Tok Janggut pun pakai serban. Pakai
jubah, pakai kain pelikat. Tapi Tok Janggut tak gunakan imej itu untuk pengaruhi
jiran-jiran supaya panggil Tok Janggut dengan panggilan tok guru, tuan guru
atau ustaz.
Tok
Janggut bukan macam tu. Tok Janggut tak mahu jadi macam tu. Takut nanti bukan
pahala yang Tok Janggut dapat, tapi dosa yang datang bertimbun-timbun. Letih
Tok Janggut nak minta ampun dan bertaubat pada Allah SWT.
Tok
Janggut dah lama hidup. Banyak asam garam Tok Janggut makan. Tok Janggut tahu
dan pandai menilai, yang mana tok guru tulen, yang mana tok guru palsu. Yang
mana tok guru tidak main politik dengan tok guru yang siang malam berpolitik.
Ayah
Tok Janggut pun orang Islam juga. Malah atuk Tok Janggut pun terkenal di
kampung suatu ketika dahulu sebagai guru mengaji Quran. Tapi mereka tak suka
menunjuk-nunjuk. Mereka ajar Tok Janggut jangan sekali riak dan suka
menunjuk-nunjuk dalam beramal ibadat. Tok Janggut bersolat secara senyap-senyap
kerana solat Tok Janggut hanya kerana Allah SWT. Orang lain tak perlu tahu dan
Tok Janggut tak perlu nak menunjuk-nunjuk.
Ketika
nak bersolat, Tok Janggut bersihkan diri. Pakai pakaian yang kemas dan cantik-cantik.
Kemudian titiskan setitik minyak atar. Kalau nak solat di masjid, surau atau
madrasah, Tok Janggut pastikan tempat itu bersih. Tak ada sampah atau habuk.
Barulah Tok Janggut bersolat dengan khusyuk, tanpa diganggu oleh orang ramai
yang datang melihat.
Mengikut
kepercayaan agama yang Tok Janggut anuti, bersolat bukan perbuatan yang boleh
dijadikan bahan untuk tontonan umum. Lainlah kalau nak ajar dan mendidik
anak-anak bagaimana nak bersolat.
Kalau
nak solat di rumah, Tok Janggut sediakan satu ruang yang selesa dan nyaman. Tok
Janggut tak turun ke tanah atau ke padang nak bersolat. Tok Janggut tak panggil
orang ramai atau jiran-jiran supaya datang kelilingi dan tengok Tok Janggut nak
solat. Itu perbuatan riak.
Anak-anak
Tok Janggut pun – walaupun mereka juga jahil macam Tok Janggut – mereka tak
pernah nak solat di kawasan tanah atau padang berumput. Kalau mereka musafir
pun mereka akan berhenti di stesen minyak atau sekurang-kurangnya cari wakaf untuk
bersolat.
Ini
tidak, baru digelar anak tok guru, sudah berlagak sombong dan ego. Padahal ilmu
baru panjang sekelingking. Belajar pula hanya di sebuah universiti di India.
Bukan di Mesir. Tapi sudah berlagak seolah-olah ada ilmu seluas lautan.
Tok
Janggut benci orang macam ini. Tok Janggut tak suka pada orang macam ini. Pada
Tok Janggut orang macam ini tak patut dipanggil tok guru. Dia suka ambil
kesempatan atas kebodohan rakyatnya untuk dia berlagak pandai, berlagak bijak.
Paling
jijik bila Tok Janggut tengok rakyat beriya-iya nak pergi tengok tok guru mereka
datang ke tempat mereka, walaupun hanya 10 atau 20 tahun sekali. Taksubnya mereka
ini macam taksub nak tengok fosil telur dinasor. Ada yang berebut-rebut pakat nak
letakkan botol air tawar ketika tok guru solat sunat. Kononnya air liur dan
ludah tok guru berkat.
Air
memang dah tawar dari azali lagi. Untuk apa nak ditawarkan lagi. Kalau nak
jadikan penerang hati, baik baca sendiri dan tiup. Baca saja Surah Yasin dan Ayatul
Qursi dan tiup sampai tiga kali. Itu lebih afdal kerana ia beserta dengan niat
kita. Allah lebih menerima doa kita sendiri daripada doa yang diwakilkan kepada
orang lain.
Berbalik
kepada kenyataan terbaru tok guru pasal penyertaan qariah dalam Tilawah
al-Quran. Katanya, tahun depan qariah Kelantan dah dibenarkan sertai. Selama
ni, dah lebih 20 tahun tok guru keluarkan ‘fatwa’ haram. Hari ini boleh pula.
Alasan
tok guru ketika mengharamkan qariah sertai tilawah kerana wanita Kelantan masa
itu jahil tukir. Tak faham erti sebenar aurat menyebabkan kerajaan negeri pimpinan
tok guru bertindak melarang mereka menyertainya.
Tok
Janggut kebinggungan dan kehairanan. Binggung dan hairan sebab tok guru kata larangan
itu dibuatnya setelah tok guru dapati rakyat Kelantan pada masa itu masih tidak
memahami Islam dengan mendalam.
"Waktu
kita (PAS) pegang Kelantan dulu, tak ada beza lelaki dan perempuan. Rambut
terbuka (tidak bertudung), kedai-kedai kerinting rambut banyak di Kota Bharu.
Masing-masing nak tunjuk badan. Ini haram dalam Islam, bukan dalam PAS (sahaja).
Itu aurat," kata tok guru.
Aik!!!
apa kaitan rambut terbuka, rambut kerinting dan tunjuk badan dengan pengharaman
qariah dalam tilawah? Adakah qariah itu yang tak pakai tudung dan buka badan? Kalau
tok guru nak kaitkan dengan keadaan rakyat Kelantan yang jahil pada masa itu,
kenapa disabitkan dengan qariah? Kenapa tidak haramkan semua wanita daripada
bekerja, berniaga dan berkeliaran di luar rumah?
Ini
yang Tok Janggut berasa binggung, hairan dan pelik. Nampak sangat tok guru ni
tak cerdik. Marahkan nyamuk, kelambu dibakarnya. Marahkan menantu dan anak,
rakyat jadi mangsa. Marahkan orang perempuan tak pakai tudung, qariah jadi
habuannya. Sepatutnya kalau tok guru cerdik, nak sangat laksanakan hukum Islam,
kuatkuasakanlah kaum wanita wajib pakai tudung kalau nak keluar dari rumah atau
wanita dan lelaki wajib pakai baju yang menutup aurat, tak boleh dedah-dedah.
Tak boleh nampak lurah atau bulu dada.
Beginilah
jadinya kalau politik dicampuadukkan dengan agama. Zaman Nabi Muhammad SAW
dulu, walaupun Baginda SAW mencampuradukkan agama dengan politik, bukan begini
kaedah yang Baginda bawa.
Baginda
tak haramkan sesuatu yang halal mengikut perkiraan hati dan perasaannya.
Baginda menunggu wahyu dari Allah. Sebab itu, Islam yang Baginda SAW bawa sudah
lengkap selengkap-lengkapnya. Cuma ia dilonggar dan dihuru harakan oleh
golongan yang nak menunjuk pandai. Macam tikus baiki labu. - Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 19 Jun 2012)




No comments:
Post a Comment