Friday, 14 September 2012

PAS pasang angan-angan lamar Ku Li

Sebaik sahaja Tengku Razaleigh Hamzah membuat kenyataan akan bertanding atas tiket Bebas sekiranya beliau tidak dipilih oleh pucuk pimpinan UMNO sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 ini, maka kedengaranlah suara-suara dari pembangkang yang bersedia menerimanya.

Bagaikan ikan lapam bawah jamban. Belum pun objek yang hendak dibuang itu jatuh ke dalam air, ikan itu sudah menunggu dengan penuh ghairah untuk menyambarnya. Demikianlah PAS, sebuah parti terdesak yang akan menerima sesiapa sahaja, asalkan dari UMNO yang ada rancangan atau cadangan mahu melompat keluar.

Padahal, apa yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Gua Musang itu bukan kenyataan rasmi pun. Ia hanya jawapan selamba bagi menjawab pertanyaan wartawan “andainya beliau tidak dicalonkan pada PRU 13 ini, adakah beliau akan menyertai Pakatan Rakyat (PR)”. Itu saja. 

Saya kenal Ku Li. Beliau seorang pemimpin yang berprinsip. Sekali beliau bersama pembangkang dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada tahun 1988 dan kecewa dengan sikap tamak rakan gabungannya – PAS - beliau tidak akan mengulangi lagi kesilapan untuk kali kedua.

Sekiranya Ku Li mengesahkan kenyataannya itu benar, sudah tentu beliau akan memanggil sidang media dan membuat kenyataan rasmi. Tetapi selagi beliau menjawab persoalan wartawan pada majlis-majlis biasa, itu bukan kenyataan rasminya.

Kepada PAS Kelantan, tidak perlu memasang angan-angan untuk menerima masuk Ku Li ke dalam parti itu, sebab Ku Li tidak akan berbuat demikian. Cukup dengan sumpahnya di hadapan Bangunan UMNO Negeri pada tahun 1996 untuk tidak lagi bersama PAS.

Sumpahnya tidak lagi akan bersama PAS juga memberi makna Ku Li tidak akan lagi menyertai mana-mana parti pembangkang, baik PKR mahupun DAP. Itu pandangan penulis berdasarkan keperitannya yang pernah melayari kehidupan bersama PAS Kelantan selama lapan tahun.

Ketika itu Ku Li mengetuai Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang ditubuhnya pada tahun 1988 setelah permohonannya untuk menjadi semula ahli UMNO ditolak oleh Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad (sekarang mantan presiden).

Sehubungan itu, kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS III, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah yang menyatakan kononnya parti itu sedia membuka sebarang bentuk perbincangan dengan Ku Li sekiranya ahli veteran UMNO itu mahu lompat parti, adalah sebuah kenyataan retorik. Kenyataan berbentuk persenda dan bersifat peribadi.

Nampak jelas, PAS semakin terdesak dan sokongan rakyat terhadap parti itu semakin merosot. Justeru, mereka bersedia menerima sesiapa sahaja menyertai parti itu, termasuk Ku Li, asalkan pada mereka, mata rakyat melihat PAS sebuah parti yang masih kuat dan kukuh. Walhal, keadaannya ketika ini bagaikan indah khabar dari rupa.

Sekurang-kurangnya jika benar PAS mahu menerima Ku Li masuk parti itu, jawatan apa yang paling sesuai hendak diberikan kepada bekas Menteri Kewangan itu? Pesuruhjaya PAS Kelantan? Atau Mursyidul Am PAS?
Mahukah Datuk Nik Abdul Aziz melepaskan salah satu daripada jawatan yang dipegangnya itu kepada Ku Li? 

Sedangkan jawatan Menteri Besar yang dipegang Nik Abdul Aziz sejak tahun 1990 tidak dilepaskan dan mahu memegangnya sehingga ke akhir hayat?

Banyak persoalan bermain dalam kepala pemimpin kanan PAS dan tidak sedikit pertelingkahan akan tercetus jika benar Ku Li menyertai parti itu. Yang jelas, Ku Li tetap bersama UMNO sehingga nyawa dikandung badan. Itulah ‘style’ Ku Li yang rakyat Kelantan kenal.

Kepada PAS Kelantan, adalah lebih baik mereka melupakan saja hasrat untuk meminang Ku Li, sebab Ku Li tidak akan bertemu jodoh dengan parti itu. Cukup sekali mereka hidup bersama dan diceraikan dengan talak tiga, kali ini Ku Li tidak mahu di ‘Cina butakan’.

Dakwaan Nik Amar kononnya pendirian Ku Li mengenai royalty minyak adalah sama dengan perjuangan PAS hanya gimik politik pemimpin itu untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat yang semakin terhakis kepada parti itu.

Sedangkan, Ku Li pun tahu Kerajaan Pusat sudah menyerahkan wang royalty minyak itu kepada Kelantan setiap tahun kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), yang kemudian dicairkan dalam bentuk bantuan KWAMP untuk murid miskin, membantu keluarga tidak berkemampuan dan sebagainya.

Kerajaan PAS Kelantan pun tahu hal ini, tetapi demi kelangsungan politik yang berbelit-belit, mereka sanggup membelakangkan ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW dengan membohongi rakyat. Mereka desak bertubi-tubi Kerajaan Pusat supaya ‘menyerahkan’ wang royalty minyak dengan tujuan supaya rakyat membenci kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

PAS akan melakukan apa saja dalam tempoh sesingkat ini. Pada mereka PRU 13 sudah dekat. Sudah terlalu dekat. Tidak sampai pun sepenggal persekolahan. Maknanya sudah terlalu dekat sangat-sangat. Oleh itu, usaha menyebarkan fitnah perlu dan sedang dipertingkatkan, termasuk memprovokasikan kenyataan terbaru Ku Li mengenai akan bertanding atas tiket Bebas sekiranya tidak dicalonkan UMNO pada PRU 13 ini. - Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 07 Mac 2012)


No comments:

Post a Comment