Hari Raya Aidilfitri dah tak lama lagi dah. Ada
lagi dua minggu lebih kurang. Tok Janggut dan seluruh warganegara Kelantan yang
berada di perantauan dah mula rancang nak balik kampung. Walaupun balik berperingkat-peringkat,
kalau lebih 5 juta pakat balik, tentu jalan raya tersumbat.
Lima juta perantau ni bukan berada di Kuala Lumpur
saja. Mereka berada di mana-mana negeri yang menjanjikan rezeki. Ada yang
bekerja di Perlis. Ada yang mencari rezeki di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Melaka,
Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Terengganu. Malah bekerja di Sabah dan
Sarawak pun ada.
Mereka ini semua dah pakat rancang nak balik
beraya di kampung. Nak cium tangan mak, ayah. Nak bagi hadiah pada adik, abang,
kakak, buah hati, sahabat taulan dan jiran tetangga. Ada yang balik nak jenguk
tanah kubur ahli keluarga. Nak sedekah bacaan Al-Fatihah dan Yaasin. Nak cabut
rumput dan lalang sekeliling ‘belindan’.
Tok guru jangan ingat warganegaranya ini yang dulu
pergi merantau ke ibu kota dan negeri-negeri lain dengan bas atau kereta api,
akan balik dengan pengangkutan sama. Itu dulu tok guru wehh. Sejak bekerja di
luar, mereka dah dapat kumpul duit. Yang mampu sikit, beli kereta. Yang kurang
mampu, beli motosikal. Kalau berada di Kelantan, jangan harap mereka dapat
merasakan ini semua. Kerja 10 tahun pun belum tentu dapat beli motosikal,
apatah lagi berangan nak beli kereta.
Dengan kereta dan motosikal inilah mereka akan
jadikan kenderaan untuk balik kampung. Mereka nak tunjuk pada adik beradik,
buah hati, sahabat taulan dan jiran bekerja di luar gajinya lumayan. Dapat sara
keluarga. Minda dan otak pun aktif dan segar sikit berbanding tinggal di
Kelantan yang diserapkan dengan politik kotor pemerintah.
Untuk pengetahuan tok guru, yang balik kampung naik
kereta api dan bas kebanyakannya anak-anak muda yang cuti sekolah dan
universiti. Mereka bukan lagi golongan dewasa macam Tok Janggut. Kalau tok guru
tak percaya, cuba pergi ke stesen kereta api Wakaf Bharu dan Tumpat serta stesen
bas SKMK Kota Bharu, Pasir Puteh dan Jeli.
Tok guru boleh tengok yang turun dari dua
pengangkutan itu semuanya anak-anak muda. Kalau ada pun seorang dua orang tua
yang sama baya dengan tok guru, yang takut naik kereta atau kapal terbang. Ke
mana perginya orang-orang dewasa yang suatu ketika dahulu berebut-rebut naik
bas dan kereta api nak ke ibu kota cari pekerjaan? Mereka semua balik melalui jalan
raya dari Gua Musang, Gerik dan Pasir Puteh.
Mereka akan melalui jalan raya yang sempit selepas
masuk sempadan Gua Musang. Mereka akan melalui jalan raya yang bengkang bengkok
selepas berada di sempadan Batu Melintang, Jeli dan mereka akan melalui jalan
raya yang berlubang-lubang selepas memasuki Pasir Puteh. Hatta orang buta yang
menumpang kereta pun, bila merasakan badannya mula tergolek kiri kanan,
punggungnya terhenjut-henjut, boleh
mengagak dia sudah masuk ke sempadan
Kelantan.
Inilah fenomena luar biasa yang berlaku setiap
kali musim perayaan, yang tok guru kena ambil tahu. Kena ambil berat. Kena cari
jalan macam mana nak bantu lancarkan perjalanan rakyat. Jangan ingat, perantau yang
duduk kat luar hanya bekerja kilang, bekerja sebagai pembantu restoran, sebagai
pekerja am di pasar raya-pasar raya tak mampu beli kenderaan. Mereka, apabila
sampai di ibu kota, bukan lagi macam katak di bawah tempurung.
Tok guru tak boleh tengok perkara ini dengan
pandangan kosong. Atau mengambil
kesempatan memasang banner, kain rentang di segenap ceruk jalan dengan
kata-kata, “Selamat Hari Raya Aidilfitri Kepada Perantau”. “Hati-hati Memandu,
Biar Lambat Asalkan Selamat”. “Sayangilah Keluarga Anda”. Jika Hendak Tengok
Mak Ayah Anak Isteri, Pandulah Dengan Berhati-Hati”. “Kami Doakan Anda Selamat
Dalam Perjalanan”. Dan macam-macam ayat lagi untuk mengingatkan pemandu.
Seolah-olah jika berlaku kemalangan, pemandulah
yang salah sebab memandu tak berhati-hati. Siapa suruh pandu lanju-laju? Tok
guru langsung tak ambil kira faktor jalan raya yang sempit dan
berlubang-lubang. Inilah punca berlaku kemalangan, walaupun memandu dalam beringat
dan lambat macam kura-kura.
Tok guru kata, biar lambat asalkan selamat. Lambat
macam mana lagi yang tok guru nak? Cermat macam mana lagi yang tok guru
mahukan. Tok guru tahu ke tidak, perjalanan balik dari Kuala Lumpur ke Kelantan
kalau pada hari biasa hanya enam ke tujuh jam sahaja. Itu pun sudah lengguh dan
penat.
Ini pula musim perayaan. Perjalanannya mencecah mengambil
masa antara 13 jam hingga 15 jam. Dua kali ganda. Mahu badan tidak penat dan letih.
Mata makin mengantuk. Bulan puasa pula tu. Itu belum diambil kira kesesakan di
Lebuh Raya Karak-Bentong, kemudian masuk Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh.
Pendek kata, pemandu yang imannya tebal bagai
kulit kura-kura pun akan hilang sabar. Nak memotong kereta depan, jalan sempit.
Satu lorong sahaja. Terpaksalah jalan berdikit-dikit. Paling menakutkan bila
sampai di Gua Musang atau Jeli atau Pasir Puteh. Semua laluan sudah penuh dan
tersumbat. Belum lagi keadaan di Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Pasir Mas,
Tumpat dan Kota Bharu.
Apa yang tok guru buat untuk sekurang-kurangnya menyingkatkan
tempoh terperangkap dalam kesesakan? Tak ada apa-apa pun. Melainkan tok guru
melarikan diri dari memikirkan keadaan ini. Atau kalau nak lepaskan tengkoknya,
tok guru akan salahkan kerajaan pusat kerana tak bina lebuh raya. Itulah yang
tok guru tahu. Tuding tuding dan terus menuding jari kepada orang lain.
Langsung tidak mahu mempersalahkan diri sendiri.
Patutlah dapat pegang menteri besar sampai ke tua. Dan mungkin sampai ke liang
lahad. Insya-Allah. Kerjanya menyalahkan orang lain dalam semua hal. Dalam
semua bentuk pentadbiran, pengurusan dan penyelenggaraan kerajaan.
Seolah-olah sepanjang pemerintahan 22 tahun, tok
guru tak pernah buat silap. Tak ada pembangunan pun tok guru salahkan kerajaan
pusat. Jalan raya sempit pun tok guru salahkan kerajaan pusat. Berlaku
kesesakan lalu lintas sehingga perantau terpaksa tidur dalam kereta pun
kerajaan pusat dipersalahkan. Hatta, sekecil-kecil isu seperti tandas kotor pun,
tok guru salahkan kerajaan pusat.
Ini, rakyat sedang menunggu projek pembinaan Lebuh
Raya Rakyat menghubungkan Kuala Krai ke Kota Bharu yang dijanjikan tok guru. Batu
asas dah hampir tiga bulan tok guru tanam di Kampung Berangan Mek Nab, Machang.
Harap-harap projek ni bukan projek angan-angan.
Tok Janggut sentuh pasal lebuh raya rakyat ni
sebab Tok Janggut dapat rasakan tok guru dan geng-gengnya cuba menyembunyikan
daripada rakyat. Tok guru tak mahu rakyat bangkit isu lebuh raya bila dekat
dengan musim perayaan. Sebab itu tok guru main isu tuntutan royalti petroleum.
Sebut pasal isu royalti, Tok Janggut ada baca
kenyataan tok guru dua tiga hari lepas yang mengingatkan kepada pemimpin Umno
supaya jangan bercakap bohong pasal isu itu. Lebih-lebih lagi ketika bulan
Ramadan sekarang ini.
Kata tok guru lagi, “berkatalah sesuatu yang benar
di bulan Ramadan.” Wahh… bukan main alim dan warak lagi tok guru di bulan
Ramadan ni. Pada tok guru, kalau nak berbohong dan menipu, buatlah macam tok
guru berbohong dan menipu pada bulan lain selain Ramadan.
Pada orang lain, semua tok guru anggap cakap
bohong dan menipu. Hanya tok guru saja yang maksum, tak pernah berbohong dan
menipu. Tok guru tak tunaikan janji pun dikatakan bukan berbohong dan menipu. Tok
guru berdolak dalih pasal projek pembangunan pun tak dikatakan bohong atau
menipu.
Kalau orang lain tunai janji melalui KR1M, BR1M, KWAPM,
bonus setengah bulan gaji, bayar dividen kepada peneroka dan macam-macam
bantuan lagi dihulurkan, dikatakan menipu dan berbohong. Memang tok guru Tok
Janggut ni dah benar-benar tua dan dah ada tanda-tanda diserang penyakit nyanyuk.
Busuk hati.
Sebagai tok guru dan ketua kepada kerajaan negeri
Kelantan, bila dah dekat musim perayaan sekurang-kurangnya bila perantau nak
balik, tok guru kenalah fikirkan sesuatu yang baik untuk rakyat. Kalau berlaku
kesesakan jalan raya yang teruk tahun lepas, sekurang-kurangnya tahun ini dapat
dikurangkan. Sekurang-kurangnya ada beberapa jalan alternatif disediakan bagi
melancarkan perjalanan pulang perantau.
Takkan tok guru tak nak sumbat dalam kepala otak
tok guru atau tak nak guna otak dengan idea-idea atau kaedah-kaedah terbaik
untuk mengatasi masalah ini. Kalau tok guru dah rasa otak tu tak boleh nak
digunakan sangat, tok guru boleh minta tolong anak-anak buah fikirkan. Takkan
sejak Abby Abadi masuk Pas, semua anak-anak buah tok guru lara dan hanyut dalam
mimpi memperisterikan Abby.
Fikirkanlah. Fikir bagaimana nak beri keselesaan
kepada rakyat yang jarang-jarang sekali balik kampung. Jangan terus bebankan mereka
dengan benda-benda macam ni. Dahlah di ibu kota mereka penat bekerja. Balik
raya nak bersuka ria, tetiba bertukar jadi murung atau pemarah sebab lama
sangat terperangkap dalam jem. - Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 21 Julai 2012)





kalau tak silap lebuh raya ni dah siap dah pun. nik aziz yg mula2 sekali guna lebuh raya ni.
ReplyDelete