Friday, 14 September 2012

Kesibukan Pas dan PKR



KETIKA UMNO Bahagian Tumpat sibuk membuat persiapan hendak menyambut kedatangan pemimpin mereka, Pas juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menjadi tukang sibuk.

Ketika jentera UMNO Bahagian Tumpat sibuk memasang bendera parti dan kain rentang mengalu-alukan kedatangan pemimpin mereka. Pas pun turut tumpang sekaki buat-buat sibuk memasang bendera parti dan kain rentang pemimpin mereka.

Pendek kata, dalam dua tiga bulan ini, malah hampir setahun yang lalu, apatah lagi dalam keadaan yang semakin terdesak kerana pilihan raya umum ke-13 dijangka diumumkan tidak lama lagi ini, jentera kedua-dua parti boleh dikatakan agak sibuk.

Cuma bezanya kesibukan UMNO adalah realiti, manakala ‘kesibukan’ Pas lebih kepada bersifat menjerat, mengumpan dan memalsukan keperibadian pemimpin serta perjuangan parti mereka dengan memaparkan kejayaan dan jasa orang lain sebagai ‘kejayaan’ dan ‘jasa’ pemimpin mereka.

Pada Selasa 24 April lalu, penulis bertolak pulang ke Kelantan untuk urusan kerja rasmi dua hari di negeri kelahiran.  Sebaik melepasi jambatan Sultan Yahya Petra ke Pengkalan Kubor, Tumpat, penulis melihat beratus-ratus bendera UMNO dan Pas berkibar-kibar pada pagar pembahagi jalan dan yang dipacak dengan buluh di kiri kanan jalan.

Selain bendera parti yang berwarna merah (UMNO), biru (BN) hijau (Pas) dan warna kabur (PKR), mata penulis turut tertumpu pada kain rentang-kain rentang yang memaparkan wajah pemimpin parti masing-masing.

Kemeriahan perang bendera dan kain rentang daripada parti-parti politik ini melibatkan sepanjang jalan bermula dari Pasir Pekan ke Wakaf Bharu sebelum berakhir sekitar pekan Chabang Empat, Tumpat, iaitu tempat di mana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri program bersama rakyat.
Menurut sumber, kerja memasang bendera dan kain rentang oleh jentera Umno sepanjang laluan itu bermula seminggu sebelum tarikh program Timbalan Presiden Umno berlangsung di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat.

Pada masa itu, katanya, tidak ada sehelai pun atau seurat benang pun bendera-bendera Pas yang berlatarbelakangkan warna hijau dengan lambang kosong di tengahnya, dipasang. Begitu juga kehadiran beberapa helai bendera parti berlambangkan dua ‘bulan sabit bercantum’ iaitu simbolik kepada sebiji mata yang lebam ditumbuk.

Penulis difahamkan bendera warna hijau dan warna kabur itu dipasang dicelah-celah da deretan bendera merah dan biru sejak dua atau tiga hari lalu dan lebih ketara sehari sebelum kedatangan Tan Sri Muhyiddin ke Chabang Empat.

Pas juga turut memasang kain rentang dan papan tanda wakil rakyat DUN Wakaf Bharu dengan pelbagai latar belakang. Paling menarik ada satu papan tandanya berlatarbelakangkan lembu. Papan tanda ini dipasang di satu simpang di Wakaf Bharu.

Melihat papan tanda itu, penulis tertanya-tanya, apa kaitan lembu dengan ADUN Wakaf Bharu? Nak kata Wakaf Bharu pekan lembu, hanya sekitar Kampung Morak sahaja boleh dilihat seekor dua meragut rumput di bendang.

Nak kata rakyat atau penduduk DUN Wakaf Bharu menerima bantuan atau subsidi lembu, tidak pernah pun dilaporkan dalam mana-mana media, termasuk lidah rasmi parti itu. Kalau dulu… kira-kira 10 tahun lalu memang ada. Tetapi projek pengagihan lembu kepada rakyat miskin di enam jajahan di negeri ini dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), sebuah agensi Kerajaan Persekutuan.

Jadi, apa kaitan YB Wakaf Bharu dengan lembu? Kenapa dalam banyak-banyak haiwan yang ada di muka bumi ini, YB Wakaf Bharu pilih lembu untuk dijadikan latar pada papan tandanya? Adakah lembu itu salah satu daripada haiwan yang dijadikan umpan untuk memancing undi? Bolehkah YB Wakaf Bharu menjadikan lembu sebagai strateginya untuk meneruskan agenda ‘berkhidmat’ kepada rakyat di kawasan itu pada PRU 13 ini?

Bagaimanapun, penulis percaya YB Wakaf Bharu ada strategi tersendiri, yang hanya beliau sahaja tahu kenapa daripada banyak-banyak binatang yang ada, lembu juga dipilihnya. Bahkan bersetuju pula dengan lakaran grafik yang meletakkan lembu di atas gambarnya, manakala gambarnya berada di bawah lembu. Dan simbolik papan tanda itu yang dilihat oleh ribuan manusia yang menggunakan jalan raya itu setiap hari meninggalkan seribu satu tanda tanya.

Inilah antara papan tanda yang dipasang jentera dan pemimpin Pas serta PKR bagi mengalu-alukan, menyambut dan memeriahkan kedatangan atau kunjungan Timbalan Perdana Menteri ke SMK Chabang Empat pada Selasa lalu.

Walaupun ada sesetengah pihak menganggap Pas/PKR sebagai pengacau. Tetapi secara peribadi, penulis tidak pernah menganggap demikian. Bagi penulis, tidak salah jentera Pas/PKR memasang bendera dan kain rentang mereka berdekatan bendera dan kain rentang Umno/BN, kerana apa yang dilakukan Pas/PKR itu tidak lebih sebagai tanda sokongan.

Dalam sesetengah hal, kita boleh menganggap Pas/PKR sebagai pengacau, pengganggu dan penyemak bagi sesetengah program dianjurkan Umno/BN. Tetapi dalam bab menumpang pasang bendera dan kain rentang bersama bendera dan kain rentang Umno/BN/ adalah perbuatan yang sihat. Ibarat irama dan lagu. Umno/BN irama, Pas/PKR lagu.

Perjalanan pulang penulis dengan memandu kereta persendirian dari Shah Alam, Selangor ke Tumpat, Kelantan mengambil masa kira-kira lapan jam, kadang-kadang pernah terbabas sehingga sembilan ke 10 jam.
Itu adalah jangkamasa biasa yang diambil oleh penulis dan sesiapa sahaja dari kalangan anak Kelantan yang bergelar perantau jika pulang ke kampung halaman setiap minggu, setiap bulan dan setiap musim perayaan. Nak singkatkan masa pemanduan daripada lapan kepada lima jam tidak boleh sebab jalan ke Kelantan selepas Kuala Lipis, Pahang agak tidak stabil dan terlalu sempit.

Walaupun pada satu-satu masa hanya ada lapan atau 10 kenderaan bergerak sehala, ia cukup untuk menyumbang kepada ‘kesesakan’, dan inilah antara faktor kenapa perjalanan pulang ke kampung mengambil masa agak lama.

Tidak seperti rakyat Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Mereka ada lebuh raya yang cukup selesa. Ada tempat Rehat dan Rawat. Kalau hendak memandu perlahan boleh guna lorong sebelah kiri. Jika sederhana laju boleh guna laluan tengah dan kalau mahu memecut macam pelesit boleh guna lorong kanan.

Sekurang-kurangnya, mereka tidak perlu memikirkan risiko kalau hendak pulang kerana kerajaan mereka mampu menyediakan lebuh raya tiga lorong yang bersambung dari negeri ke negeri. Tetapi malangnya, apabila hendak pulang ke Kelantan, kerajaan negeri tidak mampu menyediakan lebuh raya tiga lorong.
Yang kerajaan negeri Kelantan boleh buat untuk memberi ‘keselesaan’ kepada rakyatnya berulang alik ke Kuala Lumpur ialah menampal tar di jalan-jalan berlubang atau menambun batu kerikil di bahu jalan bagi mengelak kenderaan tergelincir.

Sebab itu menurut sesetengah mekanik, kereta dari Kelantan paling banyak masuk bengkel berbanding kereta dari negeri-negeri yang ada lebuh raya dan jalan raya-jalan raya yang bersistematik. Antaranya kereta penulis.

Kerana acap berulang alik dari Shah Alam ke Kelantan, dan apabila masuk saja sempadan Kelantan di Gua Musang, pemanduannya seperti menunggang kuda di kawasan bukit dan berperahu di tengah lautan –berlekuk-lekak dan berolang aling. Punca dan sebabnya kerana jalan berlubang sana berlubang sini, tertampal sana tertampal sini, terserpih sana terserpih sini dan macam-macam keadaan lagi, selain sempit. - Oleh Manzaidi Mohd Amin (27 April 2012)

No comments:

Post a Comment