Bila Tok Janggut duduk sorang-sorang, Tok Janggut tersenyum sinis fikirkan keletah, kerenah dan feel perangai tok guru sorang ni. Macam-macam dia buat hal, buat perangai... Sampaikan ada sesetengah hal tu tak masuk akal langsung.
Tapi itulah tok guru. Kata apa pun, dia tetap buat tak tau. Tetap dengan prinsipnya, pendiriannya… tabur janji palsu, keluar fatwa palsu dan bercakap hal-hal palsu. Semua tu sekadar nak legakan hati dia. Nak sedapkan hati rakyat.
Masa mula-mula
memerintah dulu, janji pertama tok guru, nak bina jambatan kedua lintas Sungai
Kelantan. Tapak jambatan itu sudah pun dikenal pasti. Dari Palekbang, Tumpat ke
Kampung Cina, Kota Bharu.
Rakyat dari kedua-dua
belah daerah bukan main gembira apabila tok guru tabur janji itu. Masing-masing
pasang angan-angan dan
buat perkiraan. Lepas ni mereka tak perlu lagi pergi ke
Kota Bharu atau Tumpat gunakan jambatan Sultan Yahya Petra yang sempit dan
sesak itu. Sebab jambatan baru di kampung mereka akan dibina.
Tok guru jemput
Tuanku Ismail Petra (ketika itu Sultan Kelantan) rasmi dan pecah tanah projek.
Batu asas pun sudah ditanam sebagai tanda jadi kerajaan pimpinan tok guru nak
bina jambatan kedua.
Hari ini sudah 16
tahun berlalu. Jambatan yang tok guru janji, rasmi dan pecahkan tanahnya belum
kelihatan lagi. Malah, batu asas yang ditanam di situ dulu dah dijadikan tunggul
oleh penduduk untuk tambat kambing dan lembu.
Sekarang kelau nak
masuk ke bekas tapak projek itu kena bawa parang atau sabit. Sebab dah dipenuhi
rumput sambau, lalang dan pokok-pokok hutan. Gamaknya kalau tok guru masuk ke
kawasan itu, tentu dia sesat tak jumpa cari jalan keluar. Padahal tika 16 tahun
lalu, dia pernah berada di situ, dikeliling rakyat yang termakan akan janji
palsunya.
Untuk makluman kaum
kerabat Tok Janggut. Projek pembinaan jambatan Palekbang – Kota Bharu ini adalah
antara sepuluh projek mega kerajaan negeri yang dijanjikan kepada rakyat sepanjang
22 tahun parti tok guru mengambil ahli Kelantan.
Projek mega lain yang
tok guru rasmi, pecah tanah dan letak batu asas ialah Pelabuhan Darat Kuala
Krai, Bandar Baru Pengkalan Kubor, Bandar Baru Rantau Panjang (Afta City),
Kubang Kerian Bandar Satelit, Pelabuhan Tumpat (pulau berbentuk wau bulan),
Koridor Depu (entah apa kejadah punya projek), Perumahan Rakyat, Stadium baru kononnya
nak ganti Stadium Sultan Muhammad Ke-IV dan terbaru sekali, yang masih
panas-panas lagi ialah pembinaan projek Lebuh Raya Rakyat dari Kota Bharu ke
Kuala Krai.
Maknanya setiap dua
tahun dua bulan sekali rakyat akan diulit dan dihidangkan dengan janji manis
tok guru dan anak-anak buahnya. Mereka masuk kampung canang sana sini nak bina
itu nak buat ini. Rakyat pun bersorak gembira. Bangganya mereka dapat tok guru
macam mursyidul am.
Hari ini, tok guru bersama
anak-anak buahnya hadir di Kampung Berangan Mek Nab, Machang. Rasmi dan pecah
tanah projek bina lebuh raya. Panjang lebuh raya ini 73 kilometer. Kosnya RM1.8
bilion. Lebuh raya ini bermula dari Kota Bharu ke Kuala Krai. Satu lagi projek
Kuala Krai selepas Pelabuhan Darat Kuala Krai.
Dengan lafaz
Bismillah…. maka sempurnalah upacara pecah tanah. ‘Tak lama lagi’ projek
pembinaan lebuh raya rakyat itu akan ‘bermula’. Kosnya sudah ada, tok guru memulakan
derma sebanyak RM5,000. Bakinya sebanyak RM1,000,000,000,799,995 lagi akan
didermakan oleh rakyat.
Rakyat Kelantan
sehingga kini berjumlah 1.6 juta termasuk yang berumur satu hari hingga 100
tahun. Kalau tiap seorang dermakan RM1, maknanya kerajaan negeri akan dapat RM1.6
juta. Kalau RM5 seorang akan dapat RM8 juta. Kalau RM10 seorang baru dapat
RM10.6 juta. Itu kalau semua lapisan umur dari umur satu hari hingga 100 tahun
pakat menderma.
Jadi pada pandangan
Tok Janggut, ada sebab untuk Datuk Ibrahim Ali ketawa dengan hasrat kerajaan
negeri pimpinan tok guru nak bina lebuh raya berharga RM1.8 bilion dengan kutip
duit dari rakyat.
Elok sangatlah tu,
projek yang bernilai RM1.8 bilion… DI ULANGI… Satu Perpuluhan Lapan Bilion
Ringgit Malaysia, bukan Satu Ringgit Lapan Puluh Sen (RM1.80 sen), dipilih permulaan
kerjanya di sebuah kampung bernama berangan.
Berangan adalah ayat
yang sangat-sangat sesuai dan sinonim dengan slogan kerajaan Pas Kelantan pimpinan
tok guru sejak dari dulu sampai sekarang. Berangan dan cakap kosong. Kerja tok
guru pun sejak 22 tahun menjadi menteri besar hanya rasmi, pecah tanah, terbiar.
Rasmi, pecah tanah, terbiar. Hasil yang nampak hanya tinggalan batu asas saja.
Tok Janggut bukan nak
perlekehkan tok guru. Cuma Tok Janggut kesian pada tok guru. Nampak sangat tok
guru ni telah diperbodohkan oleh anak-anak buahnya. Sepatutnya tok guru berasa
malu nak pergi rasmi projek baru, sebab projek lama yang dijanjikan dulu pun belum
ditunaikan.
Kalaulah Tok Janggut
jadi menteri besar. Ambil tempat tok guru sekejap. Tok Janggut akan panggil semua
anak-anak buah Tok Janggut. Mana-mana wakil rakyat yang hanya pandai cakap,
tapi tak pandai nak tunai janji, Tok Janggut akan senaraihitamkan. Tok Janggut
akan sekeh kepalanya dan amaran.
Tok Janggut akan
bertegas kepada mereka ini. Tok Janggut akan kata dan beri kata putus kepada
mereka ketika mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, “Jangan sekali-kali jemput
saya untuk rasmi projek itu projek ini kalau projek itu hanya sekadar janji
palsu. Kalau tak malu pada diri sendiri, malulah kepada saya sebagai tok guru
di negeri ini. Kalau nak jemput saya juga, pastikan projek dulu sudah
terlaksana, bukan tinggal batu asas saja..”
Itu kalau Tok Janggut
jadi menteri besar. Rasanya tidak susah untuk jadi menteri besar yang beramanah
dan bertanggungjawab kalau ikut formula Tok Janggut. Tak susah jadi pemimpin
yang diredhai Allah SWT dan disayangi rakyat khususnya kalau benar-benar ikut
al-Quran dan Hadis.
Tok Janggut nak tanya
kaum kerabat Tok Janggut. Logikkah nak bina sebuah lebuh raya yang dinamakan
lebuh raya rakyat dengan kosnya nak kutipan derma daripada rakyat. Mahukah rakyat
nak bergolok bergadai, jual barang kemas, jual tanah, ayam, itik, kambing,
biri-biri, lembu dan kerbau semata-mata pakat nak tampung kos bina lebuh raya?
Dengan permulaan
peruntukan sebanyak RM5,000 apa nak buat dan apa yang dapat dibuat? Nak sewa jentolak
untuk bersihkan hutan, ratakan bukit pun kena jutaan ringgit. Nak tambun tanah,
batu kerikil, nak beli besi, simen, pasir dan nak upah tenaga kerja pun kena puluhan
jutaan ringgit lagi.
Itu belum kos nak
bina jambatan panjang dan pendek kalau-kalau kebetulan laluan itu ada sungai,
paya atau tali air.
Itu yang Tok Janggut
nak ketawa macam Datuk Ibrahim Ali ketawa. Sebab ianya lucu. Tak masuk akal. Sembilan
projek mega yang telan belanja jutaan dan puluhan juta ringgit dengan tender
terbuka pun tak terlaksana. Inikan pula projek rakyat bernilai RM1.8 bilion.
Kerajaan Pusat yang
kaya raya nak bina lebuh raya bernilai berbilion ringgit pun ambil masa tiga
hingga lima tahun. Inikan pula kerajaan negeri pimpinan tok guru, yang selalu
kerajaan negeri kata tak ada duit, nak bina lebuh raya berharga RM1.8 bilion.
Untuk makluman tok
guru, jumlah RM1.8 bilion tu tersangatlah banyaknya. Bukan RM1.80 sen.
Apapun, Tok Janggut
tak sabar nak tunggu pertengahan 2015, tiga tahun dari sekarang. Sebab tok guru
beri jaminan projek pembinaan lebuh raya rakyat itu akan siap mengikut jadual.
Kalau mengikut
jadual, pembinaannya mengambil masa tiga tahun. Mulanya projek tu pada 28hb Mei
2012 bersamaan Isnin dan akan siap pada 28 Mei 2015 Khamis. Maknanya pada 29hb
Mei 2015 bersamaan Jumaat, rakyat Kelantan, termasuk Tok Janggut dah dapat guna
lebuh raya rakyat ni. Alahai seronoknya.
Tok Janggut harap,
pembinaan lebuh raya rakyat ni tak tergendala sebagaimana projek pembinaan
jambatan Sultan Yahya Petra Kedua yang menghubungkan Pasir Pekan, Tumpat ke
Wakaf Siku, Kota Bharu. Dah lebih empat tahun kerja pembinaannya, masih tak
siap-siap juga lagi. Padahal ini projek Kerajaan Persekutuan dan kosnya tak
sampai pun RM200 juta.
Nampaknya tok guru
komited dengan projek mahamega ini. Tok guru yakin benar rakyat akan berikan
sumbangan dalam bentuk kewangan nak cukupkan jumlah RM1.8 bilion.
Tok
Janggut petik kata-kata tok guru kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis
pecah tanah pembinaan projek lebuh raya itu. "Kita yakin dapat
melaksanakan projek bernilai RM1.8 bilion ini walaupun tidak sepenuhnya melalui
sumbangan rakyat.
“Saya
berharap rakyat Kelantan khususnya bersama-sama kerajaan negeri
bergotong-royong merealisasikan pembinaan lebuh raya itu. Setiap derma yang
dihulurkan bakal memberi manfaat yang besar, di samping memperoleh ganjaran
pahala.
"Tidak
kisahlah hendak menderma berapa pun, RM10, RM100 atau RM1,000 dan saya sendiri
telah menderma RM5,000," katanya. - Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 30 Mei 2012)




No comments:
Post a Comment