Saturday, 15 September 2012

Pas dalam zon bahaya, amal akidah salah



Penulis tertarik dengan kenyataan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa kononnya Umno dan Barisan Nasional (BN) berada dalam zon bahaya kerana mengamalkan akidah yang salah.

Selepas membaca kenyataan itu, penulis terfikir, termenung dan tertanya-tanya sejenak, kenapa pula Umno dan BN berada dalam zon bahaya? Apa amalan akidah yang salah diamalkan oleh Umno dan BN?

Betulkah Nik Abdul Aziz yang buat kenyataan itu? Kalau betul ia keluar dari mulut Nik Abdul Aziz, adakah betul Umno dan BN yang disasarkannya? Kadang-kadang sekali fikir, penulis tersenyum seorang diri.

Penulis bertanya pada diri sendiri, waraskah Menteri Besar Kelantan ini? Sedarkah dia siapa yang dia tuduh itu? Tidakkah kenyataan itu sepatutnya dia lontarkan kepada dirinya sendiri, atau setidak-tidaknya kepada rakan-rakan pemimpin dalam parti yang didokongnya?

Setahu penulis, yang berada dalam zon bahaya kerana mengamalkan akidah yang salah adalah Pas. Sejak Umno ditubuhkan tahun 1946 sehingga kini tidak pernah sekali pun mengeluarkan fatwa. Umno juga tidak pernah mengkafirkan orang-orang Pas dan Umno tidak pernah menggalakkan perpecahan, huru hara, merosakkan harta benda awam dan mencederakan anggota keselamatan.

Kalau Umno dan BN melakukan semua perbuatan itu, kira munasabah dan logiklah Nik Abdul Aziz hendak menjadi hero memberi amaran keras kepada parti itu. Tetapi masalahnya yang melakukan perkara menyalahi akidah ialah Pas.

Pas terang-terang melakukan perkara yang menyalahi akidah. Ada beberapa perbuatannya jelas bertentangan dengan al-Quran dan hadis. Justeru, secara logik dan munasabahnya Pas yang berada dalam zon bahaya. Bukan Umno dan BN.

Antara alasan penulis mengatakan Pas berada dalam zon bahaya dan mengamalkan akidah yang salah ialah, siapa yang sewenang-wenangnya berfatwa menyertai perhimpunan haram Bersih 3.0 di Kuala Lumpur adalah wajib, sedangkan demonstrasi haram itu telah menyebabkan berlaku kekacauan, harta benda awam rosak, tiga anggota polis cedera dan tidak sedikit perusuh turut mengalami kecederaan akibat perbuatan sesama mereka? Nik Abdul Aziz dari Pas atau Datuk Seri Najib Tun Razak dari Umno?

Contoh kedua, siapa yang menghalang usaha Pas hendak melaksanakan hukum hudud ciptaannya? Karpal Singh dari DAP atau Najib Tun Razak dari Umno? Kemudian setelah Karpal Singh memberi amaran itu, Nik Abdul Aziz pun tiba-tiba tundur, akur dan bersetuju menangguhkan pelaksanaannya.

Contoh ketiga, siapa yang mula-mula sekali mendabik dada mahu melaksanakan Negara Islam jika pakatan pembangkang memerintah? Anwar Ibrahim dari PKR, Lim Kit Siang dari DAP atau Najib Tun Razak dari Umno? Setelah Anwar memanggil Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi Awang, tiba-tiba keesokkan hari Pas memaklumkan Negara Islam tidak ada dalam al-Quran.

Selama ini pun siapa yang kata pelaksanaan Negara Islam ada termaktub dalam al-Quran? Nik Abdul Aziz dari Pas atau Najib Tun Razak dari Umno?

Nik Abdul Aziz berkata lagi, Umno dan BN mengamalkan sistem pemerintahan yang tidak berlandaskan hukum Islam dan tidak mustahil Umno dan BN akan menerima kesan buruk dalam Pilihan Raya Umum  ke-13 (PRU13) ini.

Penulis hendak mengambil contoh di dua negeri yang diperintah oleh Pas iaitu Kelantan selama 22 tahun dan Kedah selama empat tahun. Apa bentuk pelaksanaan berlandaskan hukum Islam yang telah dilaksanakan di dua negeri itu?

Setakat ini, kalau berlaku kes bunuh, rompak, rogol dan mencuri di Kelantan serta Kedah, pesalah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, penjara, sebat dan denda. Belum ada yang kena rejam sampai mati dan kena potong tangan. Kenapa kerajaan Pas Kelantan dan Kedah tidak menukarkan sistem pemerintahan sekular itu kepada Islam?

Kalau Umno dan BN mengamalkan sistem pemerintahan sekular, kenapa boleh wujud Bank Islam, Tabung Haji, sistem perbankan berasaskan Islam, sistem pajak gadai Ar-Rahnu, mewajibkan murid dan pelajar perempuan memakai tudung, membina masjid, surau dan madrasah di setiap lingkungan satu kilometer persegi?

Kalau Umno dan BN mengamalkan sistem pemerintahan sekular, kenapa Umno dan BN meletakkan syarat kepada tauke kompleks beli belah supaya wajib menyediakan surau. Tidak ada surau, maka tidak luluslah permohonan untuk pembinaan kompleks itu.

Umno dan BN sekular ini juga yang menganjurkan Forum Perdana, seminar Ulama dan Umara serta banyak lagi program-program berbentuk keagamaan untuk tatapan rohani dan jasmani puluhan juta rakyat Malaysia.
Bahkan, anak-anak Nik Abdul Aziz, cucu cicit pemimpin, ahli serta penyokong Pas juga memulakan pelajaran di sekolah rendah, sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan universiti kerajaan sekular, sehingga berakhir dengan mendapat pekerjaan yang dikawal dan diselia oleh kerajaan sekular ini.

Tidakkah Nik Abdul Aziz dan Pas berasa malu? Menuduh kerajaan pimpinan Najib Tun Razak sebagai sekular, tetapi pada masa sama mereka menurut, mengikuti amalan dan corak pentadbiran sekular itu?
Manusia jenis apakah Nik Abdul Aziz dan Pas ini? Di mana mereka letak muka tak malu? Di kepala lutut?

Satu lagi yang seharusnya Nik Abdul Aziz dan Pas harus berasa malu… mereka dakwa, “akhirnya Umno dan BN  mengakui berada dalam zon bahaya, kerana menolak Islam dan mengutamakan sistem kebangsaan yang digunakan oleh pihak Inggeris.”

Setakat ini, tidak ada seorang pun daripada 27 juta rakyat Malaysia mendengar kerajaan Umno dan BN pimpinan Najib Tun Razak membuat pengakuan itu. Yang ada ialah pengakuan daripada Pas. Oleh presidennya, Abdul Hadi Awang yang mengakui Pas tidak boleh menjanjikan syurga kepada mereka yang mengundi parti itu.

Pengakuan daripada Abdul Hadi itu membawa makna yang jelas iaitu Nik Abdul Aziz telah memesongkan akidahnya sendiri dengan menjanjikan syurga kepada orang yang mengundi parti itu, sedangkan ramai dalam kalangan pengundi itu adalah kaki dusta, makan harta anak yatim, derhaka kepada kedua ibu bapa, makan duit riba, berhutang tidak bayar, menipu, rasuah dan macam-macam lagi kejahatan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Mereka-mereka ini kalau hendak menghapuskan dosa perlu bertaubat nasuha dan minta ampun daripada Allah. Itu pun belum tentu dosa mereka terhapus sepenuhnya kerana mungkin mereka berhutang dosa dengan orang Umno dan BN yang dituduh kafir selama ini.

Mereka-mereka ini (Umno dan BN) sudah tentu tidak akan memaafkan Nik Abdul Aziz dan Pas kerana menuduh mereka kafir dan mengamalkan akidah yang salah. Adakah golongan derhaka dan pendusta ini akan dibenarkan masuk syurga oleh Allah hanya kerana mereka mengundi calon Pas?

Bagaimana pula janji Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW bahawa golongan yang berdusta, menderhaka kepada pemerintah, kedua-dua ibu bapa dan mengubah ayat suci al-Quran untuk kepentingan diri ini? Adakah mereka ini dikecualikan daripada masuk syurga kerana mereka akan memangkah calon Pas pada pilihan raya umum?

Jika benar, bermakna Nik Abdul Aziz dan Pas yang berada dalam zon bahaya dan mengamalkan akidah yang salah kerana pandai-pandai menjanjikan syurga neraka. Berfatwa wajib kepada perusuh Bersih 3.0 supaya hadir beramai-ramai ke ibu kota Kuala Lumpur untuk berbuat kekacauan.

Nampak sangat Nik Abdul Aziz dan Pas tersalah cakap atau media yang tersalah memetik kenyataan menteri besar Kelantan itu. Kerana pihak yang sepatutnya berada dalam zon bahaya dan mengamalkan akidah yang salah ialah Pas, bukan Umno dan BN.- Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 05 Jun 2012)

No comments:

Post a Comment