Friday, 14 September 2012

Menanam tebu di bibir rakyat Kelantan



Tabur janji tidak sepayah tabur benih padi di bendang. Tabur janji hanya perlukan kepintaran otak, kepetahan mulut bercakap dan yang penting mesti pandai auta (putar belit) beri alasan pertahankan diri jika rakyat bangkit membuat tuntutan sekiranya mereka sedar bahawa janji yang ditabur selama ini adalah kosong.

Menabur janji juga tidak perlu dijaga atau dibaja. Cukup sekadar berdiri atas pentas ceramah, pegang pembesar suara, lalu taburlah apa saja kata-kata manis, kata-kata menjerat. Dijamin penyokong yang hadir akan termakan.

Jangan sekali-kali bimbang akan di boo atau orang ramai yang berkerumun di bawah pentas, yang sanggup berembun di atas padang akan lari, kerana yang hadir itu adalah kaum kerabat mereka yang sudah termakan dengan imej dibawa oleh pemimpin Pas selama ini.

Inilah antara strategi digunakan Pas untuk menjerat orang ramai memberikan sokongan kepada mereka atau dengan tujuan mendapatkan undi kemenangan ketika saat-saat negara akan menghadapi pilihan raya umum ketiga belas tidak lama lagi.

Masa semakin suntuk, nak tabur wang ringgit terasa membazir. Takut nanti, beri wang ambil, beri gula kacau, beri kain pakai, masa mengundi pangkah BN. Jadi, ibu segala umpan untuk beroleh kemenangan tanpa perlu menggunakan modal wang ringgit ialah menabur janji. Biarlah janji kosong pun. Asalkan janji. Janji berjanji.

Sejarah menunjukkan Pas tidak pernah takut menggunakan strategi menabur janji. Taktik ini digunakan parti itu sejak sekian lama sebagai senjata untuk menarik sebanyak mungkin sokongan, sekali gus memberi kemenangan besar untuk mereka terus memerintah Kelantan. Itulah antara impian dan matlamat Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam.

 Mereka memerintah Kelantan bukan untuk membela atau menjaga kebajikan rakyat, sebaliknya mengkayakan tembolok sendiri, ahli keluarga dan kroni-kroni terdekat. Sebanyak mana yang mereka dapat, sebanyak itulah mereka simpan dan ‘menabung’ untuk masa depan.

Ada yang diagihkan kepada anak beranak, isteri-isteri, ayah, mak, abang, kakak, adik, datuk, nenek, mak saudara, bapa saudara, mak-mak mertua, bapak-bapak mertua, sepupu, dua pupu, tiga pupu dan waris-waris yang berbau bacang. Itu belum termasuk ‘isteri-isteri’ yang bakal dijerat dalam kalangan bini-bini orang.

Bagi kerajaan negeri seperti ini, apalah sangat nak difikirkan pasal masalah rakyat. Sepanjang 22 tahun memerintah pun rakyat tidak pernah merungut, apatah lagi mendesak kerajaan negeri menyediakan rumah kos rendah, bantuan persekolahan anak-anak, peluang pekerjaan dan itu ini, kerana itu semua sudah disediakan oleh kerajaan Pusat, kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tugas, amanah dan tanggungjawab Pas ialah menabur janji. Turun ke penempatan Orang Asli, tabur janji nak berikan tanah adat jika menang. Turun ke daerah-daerah, cucuk jarum halus dengan janji-janji lapuk kononnya akan dapatkan royalti minyak jika menang. Pergi ke DUN dan Parlimen janji akan bekalkan air bersih secukupnya kalau menang dan hari ini tabur lagi janji-janji manis nak anugerahkan tanah kepada bekas-bekas anggota tentera berjumlah 17,000 orang di Kelantan. Itu pun jika menang.

Itulah kebijaksanaan Pas dalam merancang untuk beroleh kemenangan pada pilihan raya umum ini. Mereka tidak perlu keluarkan wang ringgit yang banyak-banyak untuk mendapatkan undi. Cukup dengan menjanjikan bulan dan bintang, rakyat akan mudah terpikat.

Begitulah keadaannya dengan segelintir bekas anggota tentera yang juga anak jati Kelantan. Sebaik sahaja Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman mengumumkan kerajaan negeri bersetuju menganugerahkan tanah sekurang-kurangnya 0.8 hektar, maka terlocorlah (meleleh) air liur, tanda minat dengan janji itu.

Ada yang sudah memasang angan-angan akan beroleh tanah yang dijanjikan kerajaan negeri sekiranya Pas menang dalam pilihan raya umum kali ini. Ada yang sudah membuat perkiraan memujuk rakan-rakan sepencen supaya memberi undi kepada calon Pas.

Dalam laman sosial Facebook, tidak sedikit bekas-bekas tentera negeri lain membatu apikan bekas-bekas tentera di Kelantan. Mereka ini memuji-muji langkah kerajaan Pas, kononnya prihatin akan nasib bekas-bekas tentera. Ada yang tidak putus-putus memuji-muji kononnya kerajaan pimpinan tok guru Nik Aziz cukup cakna akan perjuangan mereka, yang sanggup berkorban mempertahankan negara.

Dipihak masyarakat Orang Asli pula, setelah empat tahun kerajaan negeri berjanji akan memberikan tanah adat kepada mereka, dan sepanjang tempoh itu, tidak ada seinci tanah pun diberikan, maka berduyung-duyunglah mereka datang ke Bangunan Kota Darul Naim untuk menuntut hak mereka.

Malangnya, kehadiran mereka hanya setakat di luar pintu pagar Kota Darul Naim sahaja. Mereka tidak dibenarkan masuk berjumpa tok guru dengan alasan kumpulan seramai 400 orang itu bukan penduduk tempatan, sebaliknya penduduk luar yang datang membua kacau.

Apa yang Nik Aziz ulas pasal kehadiran kumpulan Orang Asli dari 26 pos penempatan dalam jajahan Gua Musang ini? “Kerajaan Kelantan tidak akan melayan tuntutan lebih 400 penduduk Orang Asli dari Hulu Kelantan yang mengadakan demonstrasi secara aman Ahad lalu kerana demonstrasi itu didalangi pihak luar.

Tok guru kata, tindakan Orang Asli itu yang mengadakan tunjuk perasaan hanya berdasarkan kepada perasaan iri hati dengan kejayaan Kelantan yang selama ini melaksanakan tuntutan seperti yang diminta.
"Ini (demonstrasi) dilakukan oleh Jaringan iaitu pihak luar yang bukannya di bawah Kelantan. Kita dah buat di Kelantan.

"Ini semua kerana iri hati kerana penyelesaian yang telah dibuat di Kelantan. Nak jumpa buat apa. Kalau rakyat Kelantan saya jumpa,” katanya.

Itu yang penulis maklumkan dari awal. Nak jadi pemimpin, kalau hendak gunakan strategi janji, mesti bijak auta (putar belit) memberi alasan supaya janji yang ditabur dulu akan dianggap oleh Orang Asli sebagai bukan janji sebaliknya syarat-syarat yang perlu dipatuhi mengikut Kanun Tanah.

Kesian masyarakat Orang Asli ini. Sejak beratus-ratus tahun nenek moyang mereka menjadi warganegara dan mendiami tanah-tanah di pedalaman Kelantan, apabila tiba pada generasi mereka yang datang menuntut janji, mereka dinafikan hak sebagai rakyat Kelantan.

Cukup mudahkan alasan diberikan tok guru untuk mengelak daripada menunaikan janji yang beliau tabur tidak lama dulu. Cukup dengan memberi alasan tuntutan kumpulan itu didalangi pihak luar. Habis cerita. Apa yang masyarakat Orang Asli nak kata lagi? Baliklah dengan penuh kehampaan.

Kerana bimbang bekas anggota tentera menerima nasib yang sama seperti kumpulan 400 masyarakat Orang Asli itu, Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) tampil meminta kerajaan negeri supaya mempunyai niat yang baik dalam janjinya untuk menganugerahkan tanah kepada ahli-ahlinya.

Presidennya, Datuk Muhammad Abdul Ghani yang menyambut baik usaha kerajaan Pas Kelantan itu berkata, janji itu perlu ditunaikan dan tidak sewajarnya tinggal janji sahaja kerana ia dilihat akan menghampakan harapan bekas anggota tentera.

Sekiranya janji itu menjadi kenyataan, lebih 10,000 ahli di Kelantan akan menikmati anugerah dan pemberian dari kerajaan Pas, jika benar mereka ini mahu menghargai jasa-jasa bekas tentera.

“Cadangan ini perlu dilaksanakan supaya ia tidak menghampakan bekas-bekas tentera dan saya amat gembira dengan pengumuman serta keprihatinan ini,” katanya.

Bagaimanapun, dalam hal ini kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mendapatkan laporan tepat mengenai status dan taraf hidup bekas anggota tentera. Pembentukan jawatankuasa tidak dinyatakan bila. Mungkin tahun depan atau menjelang pilihan raya umum keempat belas.
Pokoknya, janji hanya tinggal janji. - Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 18 April 2012)

No comments:

Post a Comment