Friday, 14 September 2012

Tarik balik muzakarah sudah dijangka


Seperti dijangkakan. Cuma menunggu masa dan ketikanya sahaja. Muzakarah yang dicadangkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tiga minggu lalu tidak akan menjadi kenyataan. Kesudahan atau pengakhiran kepada hasrat itu sudah diduga dari mula-mula kenyataan itu disiarkan lagi.

Cuma disebabkan tidak mahu mendahului ramalan kerana takut dicap sebagai tok dukun bermulut masin, hari ini penulis sudah siap siaga untuk memberi sedikit kupasan kepada jawapan Nik Abdul Aziz yang menarik balik cadangannya hendak bermuzakarah dengan Umno.

Kalau tidak silap penulis, lebih daripada tiga kali Pas mengajak Umno bermuzakarah selepas parti itu yang dipimpin oleh arwah Datuk Mohd Asri keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada Disember 1977. Semua ajakan itu berakhir dengan dibatalkan, ditolak dan ditarik balik.

Kali pertama dulu Pas yang ajak. Tidak lama kemudian Pas yang batalkan. Kali kedua Pas yang ajak. Tidak sampai sebulan Pas yangmenolaknya. Kali ini pun Pas yang ajakjuga. Kesudahannya Nik Abdul Aziz yang menarik balik. Semuanya dengan alasan bodoh. Suka melihat Melayu dan umat Islam berpecah belah.

Ketika Pas ajak Umno bermuzakarah, Pas meletakkan bermacam-macam syarat. Tujuannya supaya Umno menolaknya. Tetapi sebaliknya pula yang Umno berikan. Jawapannya sentiasa bersetuju dan bersedia pada bila-bila masa, di mana-mana saja termasuk dengan syarat-syarat yang Pas tetapkan itu.

Terperangkap dengan jerat sendiri, kerana Pas yang sebenarnya belum bersedia, terpaksa berdolak dalik. Kononnya, ahli-ahli tidak bersetuju. Kononnya Mursyidul Am membantah. Dan terkini, kononnya bercanggah dengan pandangan presiden parti.

Dalam kes mengajak dan menolak ini, siapa yang patut dipersalahkan? Pas atau Umno? Kalau mengikut logik akal, memang Pas lah yang bersalah kerana terang-terang mereka menarik balik. Tetapi, seperti biasa, bagi menutup rasa malu dan takut dituduh rakyat sebagai parti tidak ada telur, Pas lekas-lekas menyalahkan Umno. 

Walaupun majoriti rakyat tahu Pas yang patut dipersalahkan, tetapi dalam kalangan ahli dan penyokong pembangkang, tetap termakan dengan dakyah pemimpin mereka. Menuding jari kepada Umno sebagai punca muzakarah tidak dapat diteruskan. Umno lagi dipersalahkan. Inilah taktik lapuk Pas. Sama dan akan serupa sejak dari dulu, kini dan selama-lamanya.

Alasan digunakan Nik Abdul Aziz untuk menarik balik ajakannya bermuzakarah dengan Umno kerana disebabkan ia bertentangan dengan keputusan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Katanya, sebagai Mursyidul Am, beliau harus mengikut pendirian Abdul Hadi dan mematikan jawapannya, “isu itu tidak harus dipanjangkan lagi.”

Kenapa kali ini Nik Abdul Aziz akut dengan pendirian presiden? Tidakkah sebelum ini ketika presidennya menyahut Perpaduan Nasional yang dianjurkan Umno, Nik Abdul Aziz yang paling lantang membantah? Melawan hasrat presiden? Kenapa tiba-tiba saja hari ini beliau kena ikut keputusan presiden?

Apa motif Nik Abdul Aziz sekejap mahu ikut ketua, sekejap melawan cakap ketua? Sekejap meletakkan dirinya seperti ketua, sekejap merendah diri akur dengan keputusan ketua? Adakah muzakarah itu sengaja dijadikan alat atau isu untuk menarik sokongan? Atau semata-mata dijadikan perangkap untuk beliau melihat reaksi daripada rakan-rakan gabungannya dalam pakatan pembangkang?

Nik Abdul Aziz memang seorang politikus tua yang bijak. Majoriti rakyat kata, beliau seorang tua yang bijak memutar belit. Bercakap tidak serupa bikin. Cakap lain buat lain. Suka berjanji tetapi tidak suka mengotakannya.

Nampaknya orang Melayu dan umat Islam akan berterusan dalam keadaan berpecah belah. Ketika Umno bersedia dan berusaha keras untuk menautkan kerengangan ini, Pas pula masih dengan sikap dinginnya. Kata memperjuangkan Islam. Kata perjuangannya berlandaskan al-Quran dan hadis.

Kalau Pas benar-benar berfahaman Islam, fahaman Islam yang mana satu cuba diamal dan diterapkan oleh Pas? Penganut Sunnah Wal Jamaah sudah tentu sukakan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan sebagaimana yang dibawa dan dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Kalau hanya bercakap sahaja memperjuangkan Islam. Kalau hanya meletakkan saja slogan Membangun Bersama Islam, sedangkan perbuatannya dan amalannya tidak condong kepada Islam sebenar ajaran Nabi Muhammad SAW, adalah lebih baik Pas buang perkataan Islam yang digunakan pada nama penuh parti itu, Parti Islam SeMalaysia.

Yang benar-benar memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu ialah Umno. Banyak dasar-dasar yang dibawa dan dilakukan Umno berasaskan al-Quran dan hadis. Umno melarang pemimpinnya mengeluarkan fatwa. Umno tidak menggalakkan pemimpin kata mengata, kutuk mengutuk dan caci mencaci.

Perjuangan Umno ialah membela rakyat. Berbuat kebajikan kepada rakyat. Siang malam memikirkan program dan perancangan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat sebagaimana dituntut Islam. Pas tidak pernah melakukan apa yang Umno buat. Kerja Pas siang malam langsung tidak mencerminkan parti itu memperjuangkan Islam. Kerjanya asyik mengutuk, mencaci, memfitnah dan mendustai orang-orang Umno.

Ketika Umno berbuat kebajikan dan kebaikan di dunia, di samping mengumpul pahala untuk bekalan di akhirat. Pas pula berlumba-lumba berbuat kemungkaran, mengumpul dosa untuk bekalan mereka di akhirat.  

Pas perlu terima hakikat Umno sebuah parti yang memperjuangkan Islam, manakala parti itu parti yang penuh dengan nahi mungkar. Umno tidak menggalakkan perpecahan. Pas menganjurkannya. Umno benci kepada perbuatan jahat, Pas menggalakkannya. Umno menerima hukum melalui Majlis Fatwa Kebangsaan, Pas meletakkan kepada Mursyidul Amnya. Jauh berbeza.
Mengikut sejarah politik, Pas sebelum ini adalah sub-group Umno. Tetapi kerana ghairah hendak menegakkan cita-cita Islam, makanya sekumpulan ahli parti itu bertindak keluar dari Umno lalu membentuk Pas pada tahun 1955. Parti itu berjuang bersendirian selama 17 tahun sehingga akhir 1972.

Selepas itu pada Januari 1973, Pas kembali semula ke pangkuan parti asalnya, Umno. Namun begitu, tidak semua ahli-ahlinya menyertai Umno. Ada yang kekal dalam Pas. Salah seorang daripadanya, Nik Abdul Aziz. Sejak itu, ketokohan arwah Datuk Mohd Asri yang menyertai Umno ketika itu mula diperlekehkan. Kewibawaannya sebagai seorang pejuang Islam tulen telah diperkecilkan.

Pada masa itu, kumpulan serpihan dalam Pas memainkan peranan ‘mencuri’ semula ahli-ahlinya yang berada dalam Umno, sehingga pada 17 Disember 1977, selepas empat tahun bersama Umno, Pas membuat keputusan menarik diri daripada menjadi parti komponen Barisan Nasional.

Dengan perpisahan itu bererti bercerailah Pas dengan Umno dan Barisan Nasional. Mungkin ia satu kejayaan besar kepada kumpulan serpihan Pas, tetapi ia berita buruk atau tragedi malang bagi orang-orang Melayu.
Apabila sudah bercerai, ertinya runtuhlah sebuah rumah tangga. Yang menjadi mangsa kepada keruntuhan itu ialah anak-anak Melayu/Islam yang tidak tahu apa-apa. Mereka terkapai-kapai membawa diri, sedangkan ibu dan ayah (Umno dan Pas) tidak ada masalah.

Inilah babak hitam dalam sejarah politik orang Melayu. Selepas itu, orang Melayu kembali bertegang leher, bercakaran, tuduh menuduh dan bergomol sesama sendiri hanya untuk idealism politik, bukan untuk kesejahteraan rakyat. Tenaga pemimpin Melayu kucar kacir, hanya berjuang untuk perkara-perkara yang membazir.

Pemimpin Melayu kian pupus lantaran menjadi mangsa kebuasan hawa nafsu politik. Macam mana perpaduan hendak wujud, padahal individu yang melaung-laungkan perpaduan itu sendiri saling bercakaran.
Mulai 17 Disember 1977, setelah Pas keluar dari Umno dan Barisan Nasional, Umno tidak lagi memerlukan Pas dan Pas ketika itu mula membawa diri.

Sejak itu, muncul parti DAP yang dipimpin oleh Lim Kit Siang. Beliau mengambil kesempatan di atas krisis yang berlaku pada parti Melayu itu mencucuk jarum ‘mempelawa’ Pas bekerjasama dengannya.

Adakalanya meragui apakah muslihat Kit Siang hendak berganding bahu dengan Pas kerana ura-ura untuk bekerjasama itu dibuatnya sebaik sahaja Pas keluar daripada BN. Orang ramai mungkin menyangka DAP ketika itu merasa bimbang kedudukannya sebagai pembangkang di Dewan Rakyat sudah tidak sekuat sebelumnya.

Kesabaran DAP menunggu untuk bersama Pas akhirnya menjadi kenyataan selepas 31 tahun, yang mana menyaksikan Pas yang ketika itu berada dalam keadaan terdesak bersetuju bergabung dengan pakatan pembangkang yang dibarisi PKR dan DAP.

Hasilnya pembangkang memenangi empat negeri pada pilihan raya umum ke-12 tahun 2008. Bagaimanapun, pemerhati politik meramalkan pembangkang gagal mempertahankan negeri yang dimenangi mereka seperti Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 ini.- Manzaidi Mohd Amin (27 Mei 2012)

No comments:

Post a Comment