Dua minggu lalu Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasratnya mahu bersara
daripada politik sekiranya Pakatan Rakyat (PR) yang dipimpinnya gagal menawan
Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) ini.
Selepas mendapat maklum
balas 50-50 daripada pelbagai pihak, dua hari lalu beliau sekali lagi
mengulangi dan menegaskan bahawa pendiriannya untuk berhenti jika kalah dalam
pilihan raya umum ini adalah muktamad.
Ada sesiapa percaya
dengan kata-kata Anwar itu? Tentulah ada. Orangnya ialah Menteri Besar
Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau antara pemimpin PR yang dilihat
seolah-olah tersentak dan terkejut dengan perkhabaran itu.
Mursyidul Am Pas itu khabarnya
akan bertemu dengan Anwar untuk menasihatkannya supaya tidak bersara lagi, atau
jangan berhenti lagi kerana kononnya pembangkang masih memerlukan Penasihat PKR
itu dalam politik untuk mengatur dan menyusun strategi menjatuhkan Barisan
Nasional (BN).
Ada pun pada penulis,
Nik Abdul Aziz tidak mahu Anwar bersara lagi bukan kerana pembangkang masih
memerlukan akal fikirannya, tetapi kerana mahu Anwar menemaninya yang masih
mahu kekal dalam politik dan berterusan memegang jawatan menteri besar.
Jika Anwar bersara, tinggalkan
Nik Abdul Aziz seorang diri sebagai pemimpin yang paling lama memegang jawatan
dalam parti dan kerajaan, sedangkan pemimpin seangkatannya seperti Tun Mahathir
Mohamad sudah berhenti, Tun Abdullah Ahmad Badawi sudah bersara.
Kalau boleh Nik Abdul
Aziz mahu juga ada seorang dua pemimpin pembangkang seperti Anwar, Lim Kit
Siang dan Karpal berada kekal dalam parti. Sekurang-kurangnya beliau tidak
kekok berseorangan, atau mengelak daripada desakan rakyat supaya beliau
berhenti.
Setakat ini belum ada
seorang pun pemimpin PR seperti Kit Siang, Karpal, Lim Guan Eng, Azmin Ali, Mat
Sabu, Mahfuz Omar dan pemimpin dari BN menyokong hasrat Anwar. Kebanyakan
daripada mereka mengambil sikap berdiam diri dan tidak mahu campur tangan atau
bersuara.
Ini kerana mereka tahu,
apa yang diperkatakan oleh Anwar itu hanyalah retorik, atau dengan kata lain,
sebagai usaha hendak menguji pasaran (test market). Harapan Anwar, selepas
kenyataan itu dikeluarkan akan ada yang mendesaknya menarik balik hasrat itu.
Tetapi hajatnya tidak
kesampaian. Semuanya senyap, melainkan Nik Abdul Aziz seorang yang bersuara.
Itu pun kerana ada kepentingan diri. Bukan kerana ikhlas hendak Anwar
meneruskan perjuangannya dalam politik pembangkang.
Pemimpin, kalau terlalu
lama mentadbir tidak akan memberikan apa-apa pembaharuan. Fikirannya sudah
mati. Beliau tidak tahu nak cipta atau bawa perubahan apa lagi kerana semua
yang difikirkannya sudah dilaksanakan dalam angan-angan, bukan realiti.
Hendak bina jambatan? Jambatan
yang merentangi Sungai Kelantan sudah ada empat batang. Hendak menyediakan
rumah kepada rakyat? Banyak pemaju perubahan sudah bina rumah yang berharga
RM180,000 hingga RM500,000 seunit. Hendak majukan tanah pertanian? Semua tanah
sudah habis digadai dan dipajakkan kepada syarikat-syarikat bukan Melayu.
Nik Abdul Aziz hendak
membantu rakyat melalui skim-skim bantuan? Semua yang ada adalah yang diilhamkan
oleh Kerajaan Pusat. Hatta skim khairat kematian yang Pas Kelantan perkenalkan
pun hidup segan, mati tidak mahu.
Pendek kata, sepanjang
22 tahun Nik Abdul Aziz menjadi menteri besar, beliau gagal sepenuhnya memikul
tanggungjawab dan amanah rakyat. Beliau juga gagal sepenuhnya melaksanakan
tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan kepadanya menjadi khalifah.
Disebabkan banyak
kegagalan daripada kejayaan, mendorong Nik Abdul Aziz merayu kepada Anwar
supaya jangan berhenti lagi. Jadilah temannya. Beliau masih memerlukan Anwar
untuk menerajui dan membawa hala tuju parti pembangkang.
Apa saja yang Anwar
hendak, Nik Abdul Aziz sedia tunai. Jangan laksanakan hukum hudud Pas? Nik
Abdul Aziz sudah berhenti daripada bercakap mengenainya. Jangan sahut ajakan BN
yang hendak menganjurkan Perpaduan Nasional? Nik Abdul Aziz sudah beri amaran
kepada presidennya, Abdul Hadi Awang dan sisihkan bekas timbalannya,
Nasharuddin Mat Isa.
Jadi, apa saja yang
Anwar hendak, Nik Abdul Aziz turuti. Oleh itu, sebagai balasannya, Anwar
perlulah akur dengan permintaan Nik Abdul Aziz… jangan berhenti lagi dari
politik.
“Saya kurang setuju dengan hasrat beliau (Anwar)
untuk bersara. Saya begitu mengharapkan supaya Anwar akan terus berjuang di
medan politik, sekali gus berjuang untuk mengajar rakyat,” katanya dalam
Facebooknya.
Apapun, Anwar seorang
politikus yang cerdik. Beliau tidak sebodoh Pak Pandir yang akan menelan
bulat-bulat apa yang diperkatakannya itu. Beliau telah berhabisan ratusan juta
ringgit untuk mencapai hajat dan cita-citanya. Takkan semudah itu beliau mahu
berhenti.
Kalau Anwar mahu
berhenti, beliau sudah melakukannya ketika dibebaskan daripada penjara lagi. Tetapi
beliau memilih untuk bertanding di Parlimen Permatang Pauh dan beroleh
kemenangan. Itu sudah membuktikan Anwar akan berpolitik sehingga ke akhir
hayatnya.
Nik Abdul Aziz jangan
bimbang. Beliau ada regu untuk berpolitik selagi nyawa dikandung badan. Yang
pasti, beliau tidak keseorangan. Beliau boleh meneruskan aktiviti hariannya berceramah
menabur fitnah dan membohongi rakyat. Beliau boleh meneruskan agenda merangka
dan memikirkan apakah bentuk projek-projek mega lain yang akan dirasmikannya
dan diletakkan batu asas.
Beliau boleh berterusan
membohongi rakyat tanpa perlu memikirkan rasa bersalah kerana yang pastinya,
beliau tidak akan dikecam, dikritik, disindir dan dimaki hina oleh para
penyokongnya disebabkan ketaksuban yang keterlaluan.
Nik Abdul Aziz bertuah.
Beliau tidak seperti Tun Mahathir, yang jika bercakap silap sedikit terus
mendapat kecaman. Nik Abdul Aziz boleh bercakap apa saja pasal hukum hudud.
Sama ada hendak diteruskan, ditangguh atau dibatalkan. Rakyat tidak akan marah
atau menegurnya kerana apa yang beliau buat adalah betul dan benar pada
pandangan masyarakat yang cetek ilmu serta pengetahuan.
Nik Abdul Aziz boleh
sewenang-wenangnya mempermainkan hukum hakam. Beliau boleh haramkan hiburan
hari ini dan boleh halalkan esok. Beliau boleh haramkan penyertaan Qariah hari
ini dan boleh halalkan penyertaannya esok. Beliau juga boleh haramkan dikir
barat dan wayang kulit hari ini dan halalkannya esok. Tidak ada sesiapa pun
berani tegur kerana gerun dengan title tok guru yang melekat pada dirinya.
Tetapi katakanlah, kalau
Tun Mahathir atau pemimpin Umno seperti Datuk Dr Mashitah yang bercakap
berbelit-belit seperti Nik Abdul Aziz, tidak sampai 24 jam, berbakul-bakul
sumpah seranah dihamburkan oleh para pengikut dan penyokong pembangkang.
Contohnya, Sultan
Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V ketika merasmikan Tilawah Al-Quran peringkat
Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada malam 6hb Julai lalu
memuji usaha Kerajaan Pusat menganjurkan tilawah itu, pun masih ada yang
memberi ulasan berbaur sinis dan sindir.
Padahal, sultan mereka sendiri
yang menghamburkan kata-kata pujian itu. Itu pun masih ada yang tidak berpuas
hati. Kenapa boleh jadi begitu? Sebab yang dipuji adalah Kerajaan Pusat, musuh
ketat PR. Walaupun apa yang dilakukan itu adalah baik dan menepati syiar Islam,
golongan ini tetap tidak bersetuju. Tidak berlaga angin.
Kalau Mat Sabu angkat
komunis sebagai pejuang pun mereka setuju dan mengiyakan sehingga ada yang
mengangkat dan mengagung-agungkan Chin Peng, apatah lagi kalau Perdana Menteri cuba
melakukan yang terbaik untuk rakyat. Sudah tentu akan dipandang hina. - Manzaidi Mohd Amin (Siaran 06 Jul 2012)





No comments:
Post a Comment