Setiap tahun sejak 20 tahun yang lalu, petani,
peladang, pekebun dan nelayan sungai di Kelantan mula berdepan dengan masalah
ketiadaan air, kehabisan bekalan air dan kekering-kontangan tanah-tanah pertanian,
kebun-kebun sayur, ladang-ladang buah dan kepupusan ikan.
Masalah itu mula timbul selepas beberapa tahun Kelantan
diambil alih oleh Pas pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang dianggap dan
diangkat oleh kebanyakan pemimpin, ahli serta penyokongnya yang taksub sebagai
manusia wali.
Dari situlah, pemimpin-pemimpin Pas yang bergelar
YB bersama konco-konconya meredah hutan belantara. Meratah segala hasil masyhur
seperti balak, tanah dan bukit bukau tanpa belas kasihan sehingga licin. Hasilnya
telah memberi kesan teruk kepada sistem alam terutama sungai.
Air Sungai Kelantan sebelum tahun 1990 amat jernih.
Jika kita berdiri di tebing sungai, kita boleh melihat ikan berenang di dasar. Malah
setiap tahun pada musim kemarau seluruh rakyat berpakat turun ke sungai
berpesta mencari ikan, etak, siput dan kerang.
Di tengah-tengah sungai juga ada beting pasir yang
membentuk seperti pulau. Di situ, penduduk mengambil kesempatan menanam
tembikai, sayur dan jagung. Aktiviti itu dihentikan sehingga tiba musim
tengkujuh kerana paras air sungai meningkat dan menenggelamkan beting
berkenaan.
Begitulah keseronokan dan kegembiraan kehidupan
rakyat Kelantan terutama mereka yang tinggal berhampiran Sungai Kelantan pada
masa itu. Sumber airnya yang pelbagai dijadikan rezeki untuk menyara keluarga.
Ikan-ikan pula bersaiz besar. Setiap kali nelayan
sungai turun ke sungai, mereka berpuas hati kerana peroleh rezeki yang lumayan.
Begitu juga bagi kaki pancing. Mereka boleh berbangga dengan hasil pancingannya
kerana ikan yang diperolehi mencecah berat satu kilogram paling kecil.
Kini, selepas tahun 1990, air sungai bertukar
warna. Dari jernih kepada teh susu yang berkedadak. Ikan bersaiz besar sudah
pupus. Yang ada hanya anak-anak ikan dari spesies kecil. Etak, kerang dan siput
pula jarang jumpa yang berwarna kekuningan, sebaliknya kulit telah bertukar menjadi
hitam dan isi bertukar kepada lumpur yang kotor dan busuk.
Beting pasir yang timbul di tengah-tengah sungai
yang dijadikan penduduk untuk bercucuk tanam suatu ketika dahulu, telah hilang disedut
oleh kerakusan YB-YB yang laparkan duit. Keadaan ini menyebabkan ekologi sungai
tidak stabil.
Bila tiba musim kemarau, rakyat tidak lagi berani
turun ke sungai berpesta disebabkan dasarnya yang semakin dalam dan
membahayakan. Manakala paras air semakin susut. Ini menyukarkan dua Rumah Pam
milik Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menyedut air dari sungai itu
untuk disalirkan ke sepanjang tali air untuk kegunaan petani, peladang, pekebun
dan penternak.
Bukan itu saja, kekotoran Sungai Kelantan berada
pada tahap yang amat membimbangkan. Setiap hari yang mengalir bersama air ke
muara dan kuala ialah sampah sarap dan sisa-sisa kayu yang dibuang oleh pembalak
haram di ulu Kelantan.
Kerajaan negeri tahu hal ini. Tetapi tidak ada
usaha dilakukan. Bukan kerajaan tidak mahu lakukan. Tetapi kerajaan negeri
tidak mempunyai pemimpin yang berpengalaman dalam hal-hal sedemikian. Mereka
ibarat, “Besar di bawah tebu berlingkar, besar di bawah pisang goyangan”, iaitu
kerajaan negeri yang dipimpin oleh golongan tidak berpengalaman.
Bukan hendak memperkecilkan kebolehan Nik Abdul
Aziz dan anak-anak buahnya. Tetapi itulah hakikat yang nyata. Setiap hari,
bermula daripada ketua sehingga ke anak-anak buahnya, sibuk dengan berceramah menabur
fitnah kepada parti lawan (UMNO/BN) dan berpolitik dengan rakyat.
Saban bulan, saban tahun berulang alik ke China,
Hong Kong, Kemboja, Thailand dan negara-negara Eropah kononnya untuk ‘bertukar-tukar
pandangan’ dan ‘mencari pelabur’. Sebaliknya adalah untuk makan angin bersama
keluarga. Berjoli dan menghabiskan duit rakyat yang dikebas daripada hasil
masyhur hutan.
Malah Nik Abdul Aziz dan keluarga nak pergi tunai
haji ke Mekah pun berebut-rebut ‘tauke minyak atar’ dan ‘saudagar unta’ yang
kaya raya di Kelantan nak sponsor. Berpakat-pakat nak taja. Bagi mereka, tidak mengapa
sponsor setakat RM50,000 ke RM100,000 sebab pulangan yang bakal diperolehi
nanti 50 ke 100 kali ganda.
Berbalik kepada Sungai Kelantan. Setiap tahun apabila
tiba musim tengkujuh, ia adalah suatu musim yang mencemaskan bagi pegawai-pegawai
KADA. Ia adalah musim yang menakutkan bagi petani-petani, peladang-peladang,
penternak-penternak dan pekebun-pekebun.
Pada musim itu, paras air Sungai Kelantan.
Parasnya amat kritikal. Dua Rumah Pam KADA di Mekasar dan Lemal, Pasir Mas
gagal berfungsi. Injin pam tidak ada masalah, tetapi paip pam itu tidak dapat
menyedut air kerana kedua-dua permukaannya agak jauh berenggang.
Akibatnya tali air tidak mempunyai air. Bendang-bendang,
ladang-ladang, kebun-kebun kering kontang. Ternakan kehausan dan kebuluran.
Segala jenis tanaman tidak dapat mengeluarkan hasil yang subur dan segar.
Hasilnya, petani, peladang, pekebun dan penternak mengalami kerugian.
Kerajaan negeri pimpinan Nik Abdul Aziz sedar
masalah ini. Tetapi apa yang mereka lakukan untuk menanganinya? Setakat ini dan
sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil. Semua YB-YB Pas berdiam diri
dan cuba mengelak daripada bertemu atau bertembung dengan petani, peladang,
pekebun dan penternak.
Bagi mereka, KADA ada. Jabatan Pertanian ada.
Jabatan Haiwan ada. Jabatan Pengairan dan Saliran ada. Biarlah agensi-agensi
ini yang uruskan dan selesaikan. Kenapa perlu libatkan kerajaan negeri.
Bukannya kerajaan negeri ada masa hendak melayan semua masalah itu.
Masalah kemarau bukan kerajaan negeri yang cari.
Ia kerja Allah SWT. Menolak kejadian Allah akan berdosa. Justeru, kerana takut
berdosa, kerajaan negeri tidak berani hendak melawan takdir. Kalau kemarau,
biarlah kemarau. Bukan lama sangat pun, setakat tiga atau enam bulan sahaja.
Selepas itu akan tibalah musim bunga, musim sejuk. Selesailah masalah ketiadaan
bekalan air.
Sebab takut dikatakan melawan takdirlah kerajaan
negeri enggan melayan pelawaan KADA meminta bersama-sama turun padang bergotong
royong menambak Sungai Kelantan bagi membolehkan paras air naik dan Rumah Pam
di Mekasar serta Lemal boleh menyedut air ke tali air.
Setiap tahun, kakitangan KADA bersama penduduk
setempat menambak sungai dengan beg pasir. Mereka bekerja siang malam mengikut
syif. Semuanya semata-mata hendak memberi kemudahan kepada petani, penternak,
peladang dan pekebun.
Menambak sungai. Turun ke sungai bukan kerja
kakitangan KADA. Tetapi mereka tidak ada pilihan demi menyelamatkan tanaman dan
ternakan penduduk. Tidak dapat membekalkan air sepenuhnya, separuh pun sudah
mencukupi daripada tidak ada air langsung.
Ada kerajaan negeri yang mendakwa memperjuangkan
Islam mengucap terima kasih kepada KADA? Ada YB-YB Pas ringan tangan menaja
makan minum kepada pekerja-pekerja dan penduduk yang bertungku-lumus menambak
sungai?
Bukan setakat nak menaja, bayang dan kelibat
batang hidung pun tidak kelihatan. Masing-masing cuba menyembunyikan diri
apabila mendengar berita KADA mengajak penduduk bekerjasama menambak sungai.
Masing-masing melarikan diri dengan berpura-pura sibuk.
“Selama enggang mengeram, selangkas betik berbuah”,
begitulah gambaran yang hendak dinyatakan mengenai tempoh masa yang begitu lama
rakyat Kelantan hidup menderita. Sudah sampai masanya penderitaan itu dihentikan
dan ditukar kepada kebahagiaan dan keceriaan. - Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 26 Jun 2012)

No comments:
Post a Comment