HASRAT penulis untuk menamatkan tulisan mengenai sikap Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meredhai perhimpunan haram anjuran Bersih yang dinamakan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, tidak kesampaian.
Kenyataan terbaru tok guru berhubung isu itu mendorong penulis menyambung sedikit lagi ulasan berkaitan dengan demonstrasi haram itu yang mencetuskan kekecohan sehingga berlaku pertumpahan darah dan kerosakan teruk pada harta benda awam.
Pada Selasa, tok guru dilaporkan berkata, “… kalau ada dua tiga lagi perhimpunan seperti itu (Bersih 3.0), saya sedia biayai penyokong yang ingin hadir.
Nampaknya tok guru seronok kalau berlaku huru hara di ibu negara. Astagfirullah halazim… Rupanya dia suka kalau kejadian rusuhan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu bermula dan berakhir dengan anggota polis serta penunjuk perasaan cedera.
Apa jenis pemimpin tok guru ni? Sepatutnya dalam usia 81 tahun, iaitu antara pemimpin paling tua dalam kalangan pemimpin parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) yang masih gilakan pangkat dan jawatan, beliau menjadi seorang tua yang dihormati, disanjung dan disegani.
Tetapi bukan itu yang beliau mahu dan cari ketika badan masih dikandung nyawa dan kesihatan diri sentiasa bermasalah, sebaliknya beliau cuba membangkitkan semangat rakyat di negeri ini dan negeri-negeri lain supaya tidak duduk diam. Beliau hasut rakyat supaya bangun menentang kerajaan dipimpin oleh BN sehingga hancur dan musnah.
Selain membiayai penunjuk-penunjuk perasaan, beliau menggunakan status ulamak yang ada padanya dengan mengeluarkan fatwa. Kononnya, menghadiri ke perhimpunan haram Bersih 3.0 di ibu kota minggu lalu adalah wajib.
Memang sesetengah alim ulama ada mengatakan, tunjuk perasaan diharuskan selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak. Malah ada ketikanya ia menjadi wajib sekiranya tiada cara lain untuk mengubah kemungkaran melainkan dengannya (demonstrasi). Perkara ini juga pernah dilakukan oleh segelintir para ulama pada zaman silam tanpa sebarang bantahan daripada pihak lain yang seakan-akan bersetuju dengan tindakan itu.
Akan tetapi - mungkin tok guru lupa atau tidak belajar agama sampai habis – jika tunjuk perasaan itu bertukar menjadi ganas sehingga berlaku pertumpahan darah dan merosakkan harta benda awam, ia (rusuhan) menjadi haram untuk dianjurkan. Demostrasi itu patut dihentikan seberapa segera bagi mengelak pelbagai kemungkinan yang tidak terduga akan berlaku.
Malangnya, dalam kejadian Bersih 3.0 itu, berpuluh anggota polis dicederakan penunjuk perasaan, beratus-ratus kenderaan seperti kereta dan motosikal dirosakkan. Itu tidak termasuk bangunan-bangunan kedai, gerai-gerai peniaga kecil dan infrastruktur serta kemudahan awam yang ada di tempat perhimpunan haram dianjurkan.
Tok guru tahu keadaan itu, tetapi beliau tidak pun mengeluarkan arahan kepada penganjur supaya menghentikan kejadian itu daripada terus berlaku dan merebak. Sebaliknya, menyatakan kegembiraannya dengan peristiwa berkenaan dan siap membuat kenyataan mahu membiayainya jika perhimpunan sama diadakan lagi.
Penulis hendak bertanya kepada tok guru: Bagaimana kalau perhimpunan haram atau demonstrasi haram itu berlaku di Kelantan, negeri yang ditadbirnya selama 22 tahun ini? Bagaimana kalau dalam perhimpunan itu penunjuk perasaan mencederakan anggota keselamatan, merosakkan harta benda awam?
Apakah jenis fatwa yang akan dikeluarkan oleh tok guru berhubung peristiwa itu nanti? Adakah ia wajib sebagaimana yang tok guru fatwakan pada perhimpunan haram Bersih 3.0 di Kuala Lumpur? atau ianya haram?
Bagaimana dan apakah keadaan tok guru kalau demonstrasi yang pada mulanya dijanjikan berlangsung dalam keadaan aman, tiba-tiba bertukar menjadi ganas dengan penunjuk perasaan ‘naik angin’, ‘lupa’ dan ‘gila’ membuat kecoh, membaling batu ke arah bangunan-bangunan kedai, menterbalikkan, mengemek atau meremukkan kenderaan orang awam? Apa komen dan perasaan tok guru?
Kalau tok guru berasa takut, marah, kutuk dan caci perbuatan itu, begitulah perasaan orang yang berada di Kuala Lumpur. Mereka takut, marah dan mencacinya. Tidak ada seorang pun warga Kuala Lumpur suka, gembira atau menyatakan kesediaan mereka mahu membiayai jika pihak penganjur mahu mengadakan perhimpunan haram itu lagi.
Sudah lupakah tok guru dengan hukum rimba? Hukum karma? Kalau kita berbuat jahat kepada orang, orang akan membalas dengan perbuatan jahat kepada kita? Kalau kita menuduh orang lain tidak berlaku adil, adakah diri kita berlaku adil kepada rakyat sendiri?
Pemimpin Umno Kelantan boleh saja memprovokasi kenyataan-kenyataan tok guru mengenai perhimpunan haram dengan mengajak semua ahli-ahlinya, para penyokongnya dan rakyat keluar beramai-ramai berdemonstrasi di Kota Bharu atau mana-mana jajahan di Kelantan mendesak tok guru meletakkan jawatan. Tetapi mereka tidak berbuat demikian.
Bukan kerana mereka takut atau bimbang tidak mendapat sambutan, tetapi mereka lebih matang dalam berfikir, berbanding tok guru yang memimpin parti dan mentadbir kerajaan negeri mengikut hati dan perasaan dendam.
Pemimpin Umno Kelantan juga boleh memprovokasi kenyataan tok guru itu dengan melaung-laungkan kepada rakyat negeri itu, mengatakan kenyataan itu adalah berita baik bagi seluruh rakyat untuk berdemonstrasi, menuntut keadilan.
Mereka boleh saja berdemonstrasi seperti yang dianjurkan pembangkang dalam Bersih 1.0, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 di negeri ini, tetapi mereka tidak buat. Mereka ini yang dicopkan oleh tok guru sebagai berfikiran sekular, tidak Islam sebagaimana islamnya tok guru, Anwar Ibrahim, Kit Siang, Guan Eng dan Ambiga, masih mempunyai sikap sabar dan semangat cintakan keamanan.
Sedangkan pemimpin Umno boleh menghasut rakyat Kelantan berdemonstrasi menuntut beberapa janji tok guru yang tidak ditunai sehingga ke hari ini seperti keutamaan melantik anak Kelantan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan wakil rakyat. Ini tidak berlaku apabila Pas mengambil calon dari luar untuk bertanding di Kubang Kerian, Bachok, Kuala Krai dan Machang.
Begitu juga sehingga kini tok guru sengaja melengah-lengahkan penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, menyediakan peluang pekerjaan untuk golongan belia, menyegerakan pembayaran bantuan RM100 kepada warga emas, menyelesaikan masalah bekalan air.
Juga tok guru masih gagal menunaikan janjinya untuk menghapuskan cukai pintu dan bayaran tempat meletak kereta, menyegerakan pembinaan pelabuhan darat Kuala Krai dan menyediakan tapak kepada golongan miskin di Bukit Tok Ali di Jeli, Pantai Mek Mas di Pengkalan Chepa, Alor dan Kampung Bukit Tok Ewel di Bachok.
Jika Umno Kelantan mengumpul semua golongan ini, yang masih menunggu janji-janji tok guru yang tidak ditunaikan sehingga kini, rasanya ratusan ribu orang akan keluar berhimpun berdemonstrasi dan boleh menjatuhkan pentadbiran kerajaan Pas dalam sekelip mata. Tetapi mereka tidak buat. Iman mereka masih tebal. Sabar mereka masih ada batasannya.
Tidak malukah tok guru kepada pemimpin Umno, walaupun PR yang turut disertai tok guru sibuk menganjurkan demonstrasi, membuat huru hara, merosakkan harta benda awam dan mencederakan anggota polis, tetapi mereka ini (pemimpin Umno) tetap meneruskan amanah dan tanggungjawab Allah dengan berbuat kebajikan kepada rakyat di pedalaman, kampung-kampung, desa-desa dan bandar-bandar? Memperkenalkan bermacam-macam skim untuk meningkatkan taraf hidup rakyat?
Siapa yang lebih Islam daripada tok guru, Pas, PKR dan DAP? Umno dan BN yang dituduh tidak Islam oleh tok guru dengan mudah dan mendapat keredhaan Allah dapat turun padang bertemu masyarakat memerlukan? Sedangkan pemimpin dan parti yang mendakwa mereka lebih islam, langsung tidak melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan Allah sebagai khalifah?
Benarlah firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 120, yang bermaksud: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada mu (wahai Muhammad) sehingga mereka menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)”.
Nampak jelas, pembangkang akan melakukan apa saja untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Umno - parti Melayu dan Islam terbesar di negara ini - supaya hancur. Dengan itu, mudah untuk mereka menjadi pemerintahan dan membawa masuk fahaman pluralism serta liberalisme sewenang-wenangnya.
Ketika itu, sekiranya ia terjadi dan fahaman itu menjadi darah daging rakyat negara ini, sudah terlambat untuk diinsafi. Sebab itu, kalau tok guru benar-benar memperjuangkan Islam, bukan begini caranya menjadi pemimpin. Rujukan al-Quran dan Hadis tidak boleh hanya disebut. Ia perlu dilakukan dengan perbuatan.
Apa yang diperjuangkan oleh Pas selama ini ialah menggunakan al-Quran dan Hadis sebagai umpan untuk menarik kepercayaan rakyat terhadap kepimpinannya, sedangkan kalau kita lihat, al-Quran dan Hadis hanya menjadi barangan hiasan semata-mata, bukan rujukan dan diamalkan. – Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 05 Mei 2012)




No comments:
Post a Comment