Saturday, 15 September 2012

Umno mahu hudud, Pas tumpang sekaki



Nampaknya semua pihak sudah setuju supaya hukuman hudud dilaksanakan di negara ini. Mereka daripada Pas, Umno, Perkim, Abim, Persatuan Ulama Malaysia, GPMS, pensyarah-pensyarah universiti dan banyak lagi sudah menyatakan persetujuannya.

Tinggal lagi parti gabungan Pakatan Rakyat iaitu PKR yang belum menyatakan keputusannya. Anwar Ibrahim, Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Azmin Ali dan yang lain-lain masih berdiam diri.

Sebelum ini pun, Pas bising, heboh di seluruh pelosok bumi Malaysia mencanangkan mahu melaksanakan hukum hudud yang dirangkanya. Tetapi sampai sekarang mereka belum memulakannya walaupun Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kata, “Buatlah di Kelantan dahulu, kalau berkesan dan berjaya, kita akan perluaskan.”

Tun Dr Mahathir pada mulanya menolak kerana mengambil kira masyarakat majmuk di negara ini. Tetapi oleh kerana Pas bising dan menuduh Tun Mahathir menolak hukum Allah, maka bekas perdana menteri itu memberi izin kepada Pas untuk melaksanakan di Kelantan dahulu.

Namun apa sudah jadi dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat? Ketika Tun Dr Mahathir beri lampu hijau, Nik Abdul Aziz pula berdolak dalik. Hukum hudud ciptaannya tidak dilaksanakan sehingga sekarang. Walhal Sultan Kelantan (ketika itu Tuanku Sultan Ismail Petra) pun sudah bersetuju.

Untuk menutup malunya, Pas mencari jalan lain. Mereka masih menuding jari kepada Kerajaan Persekutuan. Mereka masih dan tetap menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) menolak hudud Pas. Inilah yang berlaku sehingga sekarang.

Persoalannya, betulkah Nik Abdul Aziz benar-benar faham mengenai hudud? Benarkah Nik Abdul Aziz betul-betul hendak laksanakan hukum hudud yang dirangka dan didrafkannya itu? Atau beliau menggunakan hukum hudud untuk menggugut pemimpin Umno/BN? Atau beliau sebenarnya tidak tahu hendak memulakan dari mana? Seolah-olah dia seorang wali Allah yang tahu menahu mengenai pelaksanaan hudud?

Untuk makluman. Tidak ada seorang pun umat Islam di negara ini termasuk Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet, timbalan menteri-timbalan menteri, menteri besar-menteri besar, pembesar-pembesar negeri, mufti-mufti, para alim ulama menolak hukum Allah, hudud.

Malah semua mereka bersetuju hudud dilaksanakan. Tetapi oleh kerana negara ini sudah ada undang-undang bagi semua kesalahan jenayah, sivil dan syariah, maka untuk diubah kepada hudud perlulah mengambil masa.

Hukum hudud tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya. Ia tidak boleh diubah hari ini. Ia perlu dilakukan kajian mendalam dengan mengambil kira semua aspek supaya tidak berlaku kekhilafan dalam menjalankan hukum Allah.

Manakala Pas pula, apabila hendak melaksanakan hudud, enakmen yang didrafkan itu langsung tidak mengambil kira pandangan, nasihat dan rujukan daripada kerajaan persekutuan, para ulama, ilmuwan dan mufti-mufti. Mereka merasakan mereka cukup pandai dan cukup mahir dalam Islam.

Hudud Pas didraf secara bersendirian. Diberikan kepada seorang peguam yang juga pemimpin Pas untuk merangkakannya. Didraf mengikut pengetahuan cetek mereka bersandarkan title ustaz, tuan guru dan tok guru politik. Semuanya orang-orang politik yang merangka hudud itu.

Sebab itu, apabila para ulama melihat draf undang-undang jenayah syariah yang dirangka Pas itu ada banyak kepincangan dan kelemahan, mereka menasihatkannya supaya memperbaikinya. Tetapi Pas tidak baiki sampai sekarang. Draf itu masih dalam keadaan lemah.

Pas sepatutnya duduk berbincang dengan semua pihak termasuk kerajaan persekutuan yang memerintah. Bincang, kupas, buang yang lemah, masukkan yang terbaik. Bila sudah baik dan elok, rancang masa yang sesuai untuk laksanakannya.

Tetapi Pas sombong dan riak. Mereka tidak mahu berbincang dengan para ulama dan ilmuwan. Mereka menganggap golongan ini tidak layak untuk bercakap mengenai hudud. Ini bermakna niat Pas tidak ikhlas. 

Mereka mahu memerangkap kerajaan persekutuan dengan enakmen jenayah syariah yang dirangkanya.
Kalau Pas benar-benar nekad mahu melaksanakan hudud, kenapa mereka tidak kecam, tidak caci Anwar Ibrahim yang menolak dan menghalang hukuman itu dilaksanakan? Kenapa mereka tidak mengutuk Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Guan Eng yang membantah cadangan itu?

Sebaliknya, Pas mendengar dan akur apa yang Anwar tolak. Pas kecut perut setiap kali Karpal, Kit Siang dan Guan Eng menolaknya. Beginikah rupa perangai Pas? Kalau Umno tolak mereka bising hampir nak kiamat dunia, tetapi kalau Anwar dan rakan kapirnya bersuara, mereka diam membisu? Pengecut?

Sekarang, pemimpin Umno yang mahu hudud dilaksanakan. Pas pun tumpang sekaki untuk memanaskan isu ini. Pas mengambil kesempatan itu kerana mereka tahu kalau Anwar marah menentang hudud, mereka akan kata, Umno yang mahu hudud dilaksanakan. Pas sudah senyap daripada menyuarakannya.

Pas memang cerdik. Lebih cerdik lagi para pengikut dan penyokongnya. Pelbagai spekulasi dan komen yang buruk-buruk dilemparkan kepada pemimpin Umno. Seolah-olah Umnolah yang jahat kerana menolak hukum Allah, walaupun Umno yang ketika ini menyatakan persetujuannya supaya hudud dilaksanakan.

Setakat ini Anwar, Karpal, Kit Siang dan Guan Eng masih berdiam diri. Mereka mahu melihat sejauhmana anak-anak buahnya dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu Nik Abdul Aziz dan Hadi Awang bersuara dalam hal ini.
Nampak jelas, Nik Abdul Aziz dan Hadi Awang mengeluarkan kenyataan yang boleh menyelamatkan tengkoknya. Kedua-duanya sudah ada jawapan sekiranya Anwar, Karpal, Kit Siang dan Guan Eng melenting dan mempersoalkan kenapa hukum hudud ditimbulkan semula?

Seluruh rakyat tahu sejarah politik Pas. Pelbagai lapisan masyarakat tahu kepesongan pemimpin Pas. Sebelum ini beriya-iya mahu menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam sekiranya PR memerintah, tetapi apabila Anwar ‘batuk’ sikit, pemimpin Pas cepat-cepat tukar kenyataan. Negara Islam tidak ada dalam al-Quran.

Hudud ciptaan Pas pun seperti itu juga. Apabila Anwar ‘bersin’ sikit. Sepantas kilat isu hudud didiamkan. Semua pemimpin Pas tutup mulut. Tidak ada seorang pun berani menyuarakannya. Takut Anwar mengamuk.
Di mana keikhlasan Pas hendak memperjuangkan Islam? Hanya retorik semata-mata. - Manzaidi Mohd Amin (Siaran 09 Julai 2012)

No comments:

Post a Comment