Membaca laporan-laporan akhbar mengenai Ketua KITA, Datuk Zaid Ibrahim hendak bertanding dalam pilihan raya umum, mengingatkan kepada penulis mengenai kisahnya dengan Datuk Ibrahim Ali kira-kira lapan tahun lalu.
Ketika itu, Ibrahim Ali menerima berita buruk - namanya
digugurkan sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Pasir Mas - daripada pucuk
pimpinan parti. Penggugurannya tanpa alasan menyebabkan Ibrahim ‘mengamuk’.
Dalam amukan itulah tetiba muncul beberapa orang ‘desperado’
dalam UMNO, yang mengambil kesempatan atas keadaan genting antara Ibrahim
dengan pucuk kepimpinan parti, memburuk-burukkan keadaan kononnya untuk
mempertahankan keputusan UMNO terhadap Ibrahim.
Mereka-mereka ini yang tidak laku dalam parti
sebelum ini, menonjolkan diri dengan harapan menjadi hero baru kepada UMNO
Kelantan. Mereka mempertikaikan tindakan Ibrahim kononnya sebagai pembelot dan
pengkhianat kepada perjuangan parti.
Antara desperado itu ialah Ketua Penaja UMNO
Bahagian Kota Bharu, Zaid Ibrahim. Dalam kenyataan akhbarnya, beliau
menyatakan, “mana-mana bekas Ketua UMNO Bahagian yang tidak akur dengan
keputusan parti dianggap sebagai pengkhianat dan pembelot”.
Umum tahu, Zaid cuba merujukkan makna pengkhianat
dan pembelot itu kepada Ibrahim. Ini kerana, daripada lima Ketua UMNO Bahagian
yang dipecat, hanya Ibrahim yang tidak menerima keputusan itu dan dilihat
seperti melawan arus.
Selepas itu, Zaid mula mendapat tempat dalam UMNO
Negeri. Namanya mula menjadi sebutan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain kerana
lantang dan berani membela parti daripada ‘amukan’ dan ‘kecaman’ Ibrahim.
Namun, Allah Maha Adil. Tidak sampai dua minggu
beliau membuat kenyataan ego dan sinis terhadap Ibrahim, dengan tidak
semena-mena hukum karma menimpa ke atas dirinya sendiri. Pada hari pengumuman
calon untuk pilihan raya umum kesebelas, kira-kira jam 3 petang, sekumpulan
lebih 100 penyokong Zaid berhimpun di hadapan Bangunan UMNO Kelantan.
Sambil mengangkat-gangkat poster Zaid – ada dua
jenis poster, satu poster Zaid memakai kot dan satu poster lagi Zaid memakai
songkok. Ia adalah poster calon pilihan raya – dan kain sepanduk menyindir,
mengutuk dan mendesak Datuk Mustapa Mohamed, orang-orang Zaid melaung-laung,
menjerit-jerit macam orang histeria menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu.
Kisahnya, UMNO Kelantan tidak menamakan Zaid
sebagai calon Parlimen – sedangkan Zaid sudah mencetak beratus ribu keping
poster beliau sebagai calon Parlimen (memakai kot) - sebaliknya meletakkan
Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) – Zaid
juga telah mencetak beratus ribu keping poster beliau sebagai calon DUN (memakai
baju Melayu dan bersongkok).
Maknanya, Zaid telah memasang angan-angan dari
awal lagi akan dicalonkan bertanding di dua kerusi iaitu kerusi Parlimen Kota
Bharu dan kerusi DUN Bunut Payung, sedangkan Pengerusi UMNO Kelantan belum lagi
mengumumkan nama-nama calon untuk menghadapi pilihan raya umum kesebelas.
Pengumuman nama calon bagi BN Kelantan yang
sepatutnya diumumkan pada jam 12 tengah hari tertangguh lebih tiga jam
berikutan gangguan daripada kumpulan penyokong desperado itu. Sehingga jam 3
petang barulah Tok Pa boleh mengumumkannya.
Dalam pengumuman itu, nama Zaid diletakkan di DUN
bersama-sama dengan Datuk Norzahidi Omar (DUN Pengkalan Kubor), Mohd Zain
Ismail (DUN Bukit Tuku), Datuk Hashim Safin (Allahyarham – DUN Gual Ipoh),
Kamaruddin Mohd Noor (DUN Semerak), Datuk Annuar Musa (DUN Kok Lanas) dan Tok
Pa sendiri yang diberikan dua kerusi iaitu DUN Air Lanas dan Parlimen Jeli.
Berikutan itulah Zaid, yang mempunyai cita-cita
tinggi, apabila mendapat tahu namanya tidak disenaraikan sebagai calon Parlimen
terus membuat bantahan. Para penyokongnya berhimpun di depan Bangunan UMNO
Kelantan membantah tindakan Tok Pa meletakkan ketua mereka di kerusi DUN.
Akibat daripada perbuatan itu, semua ketua-ketua
penaja UMNO bahagian hadir di pejabat UMNO Negeri untuk bermesyuarat dan berbincang
kali terakhir sebelum nama-nama calon yang diluluskan oleh UMNO Pusat
diumumkan. Hanya Zaid tidak hadir.
Beliau tidak hadir kerana dikatakan malu kepada
rakyat dan rakan-rakan sejawatan sebab sebelum ini beliau lantang mengkritik
Ibrahim Ali dengan menyifatkan bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas itu sebagai
pengkhianat kerana tidak mahu menerima kenyataan digugurkan daripada parti.
“Ketika saya digugurkan beliaulah (Zaid) yang
menjadi hero mengkritik, menghina dan menuduh saya sebagai pengkhianat. Beliau
mengecam saya kerana tidak akur dengan keputusan pimpinan parti yang
menggugurkan saya dari jawatan Ketua UMNO Bahagian. Siapa sebenarnya
pengkhianat dan tidak akur kepada ketua?” kata Ibrahim Ali ketika mengulas
peristiwa yang berlaku kepadanya pada tahun 2004.
Menurut Ibrahim, apabila namanya digugurkan,
beliau tidak pernah mengarahkan anak-anak buahnya mengadakan perhimpunan haram
di depan Bangunan UMNO Kelantan. Beliau tidak membuat protes. Beliau tidak
mengancam untuk membakar mana-mana bangunan atau harta UMNO.
“Saya hanya mengatakan saya tidak akur dengan
keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Saya mahu MT mengemukakan apakah alasan
mereka memecat saya. Saya tidak menjerit-jerit seperti beruk digigit kerengga,
sepertimana yang dilakukan kumpulan Zaid di hadapan Bangunan UMNO Negeri,”
katanya.
Padahal, mengikut hukum logik, sepatutnya Ibrahim
Ali yang bertindak demikian kerana dia digugurkan daripada jawatan yang beliau
menang secara demokrasi. Pemecatan tanpa sebarang alasan. Tetapi lain pula jadinya,
Zaid yang namanya hanya ditukar ke kerusi DUN bukan kerusi Parlimen, telah
merajuk seperti kanak-kanak tidak mendapat barang mainan yang dikehendakinya.
Pak Lah, ketika mula-mula memegang jawatan Perdana
Menteri telah memberitahu kepada seluruh pemimpin UMNO bahawa beliau benci
kepada pemimpin yang apabila bercakap, cakapnya tak serupa bikin. Kata-kata
itu, walaupun ringkas, tetapi mempunyai makna mendalam dan wajar diambil
peringatan oleh Zaid yang menunjukkan contoh tidak wajar sebagai seorang pemimpin
profesional.
Sekarang ini Zaid sudah keluar dari UMNO dan PKR.
Beliau ‘membeli’ sebuah parti lama bernama AKIM dan diberi nama baru, KITA.
Dalam KITA, Zaid adalah ketua dan penasihat. Beliau boleh lakukan apa saja
termasuk mencalonkan namanya bertanding di Parlimen atau di DUN atau
kedua-duanya sekali. Beliau juga boleh mencalonkan namanya di mana-mana
Parlimen atau DUN di negeri-negeri lain sesuka hatinya, tanpa ada sesiapa
halang.
Pada Jumaat lalu, Zaid telah
melancarkan
jenteranya sebagai persiapan bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu pada
PRU13. Katanya, mereka kena mulakan dari sekarang kerana KITA bukan parti yang
besar. KITA hanya bergantung pada sukarelawan-sukarelawan yang akan membantunya
dalam pilihan raya umum kali ini. Pelancaran
itu dibuat di rumahnya di Kampung Pasir Hor, Kota Bharu.
Pada sidang media sebelum ini, Zaid dilaporkan berkata, KITA akan bertanding atas tiket parti itu sendiri walaupun ada laporan media mengatakan beliau akan mengadakan perundingan dengan PAS untuk menurunkan calon partinya.
Kepada Zaid, ambil peringatan Ibrahim Ali kepadanya ini: “Sebelum hendak menegur orang lain, beliau perlu menilik dan mencerminkan diri sendiri terlebih dahulu. Kencing dalam tempurung dan tengok muka sendiri. Kalau cantik, cantiklah perangai. Kalau buruk, buruklah sifat dan sikap”. - Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 18 Mac 2012)



No comments:
Post a Comment