Friday, 14 September 2012

Sakit, uzur – sudah sampai masa tok guru letak jawatan



Bukan doa, bukan minta. Jauh sekali mengharap. Tetapi apabila mendapat tahu tok guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat masuk wad lagi, hati tiba-tiba jadi sayu. Sayu bukan kerana sedih tok guru sakit, tapi sayu dan sedih kenangkan kedegilan tok guru yang masih juga mahu mentadbir kerajaan negeri dan parti walaupun diri sentiasa dalam keuzuran.

Sepatutnya, apabila umur sudah melebihi 80 tahun, elok saja tok guru habiskan masa di rumah, buat amal ibadat. Habiskan sisa hidup bersama isteri tercinta, anak-anak tersayang dan cucu cicit yang dikasihi, tetapi ini tidak berlaku kepada menteri besar Kelantan. Masih juga menganggap diri mampu menjaga negeri, rakyat dan parti.

Nik Abdul Aziz boleh memegang apa saja jawatan sehingga ke akhir hayatnya, tetapi dalam bab menjaga negeri dan rakyat, ia adalah suatu amanah dan tanggungjawab besar lagi berat, yang mana jika gagal menunaikannya, maka berdosa besarlah ia. Begitu juga dengan tok guru Nik Abdul Aziz.

Bukan nak mengata, bukan nak mengutuk. Tetapi tok guru harus faham isi hati dan perasaan rakyat. Bukan rakyat tak nak lagi kepada tok guru, tetapi sudah sampai masanya tok guru memikirkan sendiri, “apakah aku yang sering sakit dan keuzuran ini masih mampu lagi menjaga negeri, parti dan rakyat? Walhal aku dah tak secergas dulu lagi? Banyak program dan acara negeri serta parti telah aku tolak kerana ‘tak cekak’ (letih) dan penat, sedangkan kehadiran aku adalah amat penting sekali untuk membela kebajikan mereka…”

Tidak terlintaskah persoalan sedemikian dalam benak fikiran tok guru di ketika saat terlantar atas katil hospital, kemudian dibenarkan keluar dan sambung berehat atas katil di rumah? Sedangkan rakyat di bawah menunggu-nunggu apakah bentuk skim bantuan, apakah bentuk pembangunan, apakah bentuk bantuan dan apakah bentuk kebajikan yang akan dilaksanakan atau diumumkan oleh menteri besar?

Besannya, Abdul Fatah Harun, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku berkata, tok guru dinasihatkan oleh doktor yang merawatnya supaya berehat di hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

Tok guru yang ketika ini sudah berusia 81 tahun telah dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit dada selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco dan dinasihatkan berehat di wad CCU bagi mengelakkan banyak menggunakan tenaga apabila berada di luar.

"Seperti biasa, perutnya selalu meradang apabila tersalah makan dan penat akibat banyak pergerakan," kata besannya lagi.

Tergamakkah tok guru Nik Aziz iaitu seorang yang alim ulama kononnya (hanya penyokong Pas yang beri gelaran itu) melihat pentadbiran negeri berjalan tanpa jurupandu atau kemudi? Atau tahukah dia, tanpa menteri besar (yang diberi rehat atau cuti kerana sakit atau uzur) pentadbiran kerajaan negeri boleh terbantut.

Apapun, itu tidak menghairankan, kerana ketika dia sihat dan cergas dulu pun pentadbirannya berjalan seperti siput. Jadi, tidak memberi kesan sangat kalau dia sakit dan berada dalam wad berminggu-minggu lamanya, sebab memang prestasi pentadbirannya lembab, jauh ke belakang.

Pas sebenarnya mempunyai ramai pemimpin berwibawa. Pemimpin yang kalau ditilik pada mukanya, ada kelayakan menjadi menteri besar dan mursyidul am. Tetapi malangnya, tok guru Nik Aziz dari dulu sehingga hari ini tidak pernah nampak atau sengaja buat-buat tak nampak akan adanya muka yang boleh diberi tanggungjawab menggantikan tempatnya.

Nampak sangat pemimpin-pemimpin Pas yang lain tidak ada kelayakan untuk dilantik sebagai menteri besar. Patutlah tok guru Nik Aziz mahu pegang semua jawatan tertinggi kerajaan dan parti sehingga mati, rupanya beliau sudah membuat perkiraan tidak ada seorang pun layak menggantikannya.

Baginya, pemimpin-pemimpin yang ada hanya mampu dan layak dinaikkan pangkat setakat Exco sahaja, manakala yang lain-lain diberi jawatan sebagai Timbalan Exco, Speaker dan Timbalan Speaker. Ini simbolik tok guru Nik Aziz nak tutup prasangka rakyat terhadap kewibawaan pemimpin Pas bawah pimpinannya.

Sebelum ini, di tahun akhir 90-an ada disebut-sebut YB Takiyuddin sebagai orang yang layak menggantikan tok guru. Tidak lama kemudian, tenggelam nama Takiyuddin, timbul nama Datuk Husam Musa sebagai pengganti menteri besar.

Tak lama selepas itu pula, tenggelam nama Husam, timbul nama Datuk Nik Amar yang disebut-sebut sebagai pilihan utama tok guru untuk menggantikan tempatnya. Seperti biasa, nama-nama timbalan menteri besar seperti Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Datuk Ahmad Yakub langsung tidak menjadi sebutan atau pilihan sebagai orang yang layak naik pangkat ke jawatan menteri besar.

Padahal timbalanlah paling layak menggantikan tempat ketuanya sebab sepanjang memegang jawatan timbalan, mereka juga turut menjalankan tugas-tugas menteri besar. Timbalan sudah tahu selok belok tugasan dan tanggungjawab menteri besar. Tetapi hal ini tidak berlaku, masih ada juga dalam kalangan Exco-Exco yang tergila-gilakan jawatan nombor satu kerajaan negeri itu.

Bukan nak menghasut, bukan nak melaga. Tetapi inilah hakikat yang berlaku dalam pentadbiran Pas Kelantan. Kemelut kepimpinan berlaku sangat terancang seperti api dalam sekam. Di luar nampak elok, di dalam bergelodak dengan kepanasan. Kemelut ini mula dikesan selepas tok guru Nik Aziz dilihat liat untuk turun takhta kerajaan negeri.

Ditambah pula dengan pengumumannya untuk terus memegang jawatan menteri besar sehingga ke mati, menyebabkan berlaku krisis dalaman yang sukar dibendung. Masing-masing membuat andaian tersendiri, kenapa tok guru tidak mahu lepaskan jawatan. Adakah orang lain tidak ada kelulusan, kepandaian dan kebijaksanaan sebagaimana yang dimiliki oleh tok guru Nik Aziz?

Pandai sangat ke tok guru? Bijak sangat ke tok guru? Sejauhmana kekreatifan dan keinovatifannya dalam mentadbir Kelantan selama 22 tahun ini? Apa bentuk skim yang diperkenalkan? Apa bentuk kebajikan yang dilaksanakan dan apa bentuk misi serta visi yang tok guru rancangkan?

Kalau di Terengganu dan Pahang, rakyatnya dapat lebuh raya, dapat menikmati peluang pekerjaan di sektor perkilangan dan swasta tanpa perlu meninggalkan ahli keluarga dan anak isteri berhijrah ke ibu kota Kuala Lumpur atau ke negeri-negeri lain yang maju dari kita.

Di Kelantan, apa yang rakyatnya dapat? Mana lebuh raya yang dijanjikan? Mana Pelabuhan Darat, Bandar Baru Pengkalan Kubor, Bandar Baru Rantau Panjang, Bandar Baru Pasir Mas, Bandar Satelit Kubang Kerian dan macam-macam lagi?

Yang ada hanya perubahan landskap jalan raya, tanaman pokok-pokok bunga, hiasan lampu ‘lip lap’ yang semua ini langsung tidak membantu ke arah meningkatkan pendapatan dan taraf sosio-ekonomi rakyat. Jika ditanya mana sistem pembangunan ekonomi di Kelantan?

Tok guru akan jawab, cuba datang ke Kota Bharu, ada hotel berpuluh-puluh tingkat. Ada bangunan pejabat bertingkat-tingkat. Ada Tesco, ada KB Mall, ada Billion, ada KFC, ada Mc Donald dan ada Seven-E. Itulah pembangunan yang dilakukan Pas sepanjang 22 tahun memerintah. 19:

Bagaimana dengan bekalan air bersih yang menghantui rakyat Kelantan sejak sekian lama? Kegagalannya tok guru menanganinnya mendorong sebuah NGO, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) bangkit mendesaknya supaya meletakkan jawatan sebagai menteri besar kerana kegagalan kerajaan negeri pimpinannya menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat.

Presiden MTRK, Azmi Ali berkata, walaupun kerajaan Pusat sudah meluluskan peruntukan pinjaman mudah sebanyak RM600 juta bagi tujuan itu, sehingga kini kerajaan negeri masih gagal melaksanakannya.
Terdapat kalangan penduduk di kawasan hulu Kelantan terutama di Gua Musang dan Kuala Krai terpaksa menggunakan air dari sungai tercemar, manakala di kalangan penduduk bandar seperti Kota Bharu dan Bachok terpaksa menggali perigi.

Tidakkah tok guru Nik Aziz berasa bersalah dan berdosa dengan fenomena yang berlaku sepanjang pemerintahannya? Tidakkah beliau takut kepada Allah kerana gagal menunaikan janjinya untuk memikul amanah dan tanggungjawab menjadi menteri besar? - Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 11 April 2012)

No comments:

Post a Comment