Sunday, 15 September 2013

Khalid kata penggunaan kalimah ‘Allah’ bukan masalah besar



Oleh: Manzaidi Mohd Amin

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengejutkan hadirin yang hadir pada program Wacana Mysuara tengah hari tadi, dengan melontarkan pandangannya bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam kitab Bible versi Melayu bukan masalah besar.

“Isu ini bukan masalah besar pun, tetapi apa yang perlu dibahaskan ialah bagaimana kita, orang Islam memberi kefahaman kepada orang bukan Islam sama ada kalimah ‘Allah’ ini boleh digunapakai atau tidak oleh mereka.

“Lagipun setakat ini saya lihat tidak pernah ada usaha daripada mana-mana pihak untuk memberi kefahaman kepada penganut Kristian dengan mengatakan kalimah ‘Allah’ tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam,” katanya.

Hujah beliau itu bagaimanapun dibantah oleh Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr Yusri Mohamad dengan berkata, jika tidak dibendung dari sekarang konsep Kristianisasi mungkin akan berlaku secara berleluasa dan tanpa kawalan sekiranya orang bukan Islam menggunakan kalimah itu dalam majalah mingguan The Herald.

Khalid yang tampil sebagai ahli panel pada wacana bertajuk, ‘Penggunaan Kalimah Allah-Nama Allah Eksklusif Atau Tidak’ itu meneruskan hujahnya dengan berkata, pihaknya sudah sedia maklum jika itu berlaku di negara ini dan akan menghalangnya, tetapi mengganggap ia secara orang bukan Islam mengadaptasikan agama Islam.

“Seperti yang saya kata berulang kali sebelum ini, tidak ada masalah mereka nak guna kalimah ‘Allah’, tetapi apa yang perlu dibahaskan ialah konsep yang berbeza untuk orang Islam dan bukan Islam,” katanya sambil menjelaskan bahawa Islam perlu kembali kepada asas, di mana hukum menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi  orang bukan Islam adalah harus.

Katanya, penggunaan perkataan secara dasar adalah harus dan perlu bermula dari gambaran serta kefahaman yang besar sebelum pergi kepada pengkhusususan.

“Kalau kita nak kata tak benarkan, kita sendiri perlu berbalik kepada fahaman asal dan iktiraf ‘waqi’ yang ada,” katanya.

Wacana itu turut mengundang Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris dari Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (Casis) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin sebagai moderator.- 4 Sept 13

Anwar mahu rundingan meja bulat bincang isu berbangkit



Oleh: Manzaidi Mohd Amin

KUALA LUMPUR: “Meski pun kami membantah sekeras-kerasnya mengenai kesahihan keputusan pilihanraya (Pilihan Raya Umum Ke 13) yang lepas, kami bersedia untuk mengetepikan perbezaan kami demi negara kesejahteraan dan masa depan,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan nada lembut, tetapi penuh makna tersirat itu beliau berkata, pakatan pembangkang percaya adalah penting bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk segera mengadakan rundingan meja bulat antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) bagi membincangkan isu-isu dibangkitkan serta merumuskan penyelesaian menyeluruh.

“Meraikan Merdeka semestinya dengan mengiktiraf kebaikan yang telah dilakukan dan tidak mengulangi kesilapan masa lalu. Iltizam untuk melakukan apa yang baik untuk negara perlu menjadi agenda utama kita semua.

“Semangat Merdeka bukan sahaja toleransi atau kompromi. Ianya adalah mengenai pemahaman yang lebih besar, menerima perbezaan kita dan meningkatkan persamaan kita serta menggerakkan negara ke hadapan untuk menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya dalam perutusan Hari Merdeka peringkat pakatan pembangkang di sini, semalam.

Menurut Anwar, 31 Ogos adalah hari yang cukup gemilang dan bermakna untuk seluruh rakyat Malaysia dengan menghimbau kembali pencapaian serta kegagalan, dan memandang ke depan untuk hari atau bulan yang mendatang.

Katanya, kini adalah masa untuk bermuhasabah dan bertanya apakah sebenarnya erti Merdeka dan apa yang boleh rakyat pelajari dari masa silam serta harapan pada masa akan datang.

Bagaimanapun kata beliau, ketika kerajaan seharusnya meraikan perpaduan sebagai sebuah negara pelbagai kaum dan agama yang telah menjangkau 56 tahun usia kemerdekaan, sebaliknya kini melihat polarisasi masyarakat yang dahsyat dan (berlaku) perpecahan dalam hal berkaitan agama.

“Tanggungjawab dan peranan pemimpin politik sewajarnya menjernihkan keadaan ini, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Terdapat segelintir daripada mereka yang mengeruhkan lagi keadaan dengan mengeksploitasi hal-hal agama dan isu sensitif untuk kepentingan mereka sendiri.

“Kini wujud perkembangan yang membimbangkan bila mana terdapat parti politik yang mengupah kumpulan-kumpulan ‘hak istimewa’ dan media untuk meneruskan agenda mereka memecahbelah dan menyemai perbezaan di kalangan rakyat,” katanya merujuk kepada pemimpin tertentu yang menyokong penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang bukan Islam dan NGO Islam yang berdiam diri ketika penganut agama lain menghina Islam.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, kesan daripada perbuatan itu, setelah 56 tahun mencapai Merdeka, berlaku lebih banyak provokasi perkauman, hasutan yang menjurus kepada kebencian terhadap agama. - 01 Sept 2013

Wanita UMNO perlu calon latarbelakang agama



Oleh: Manzaidi Mohd Amin

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim tidak bersetuju dengan cadangan sesetengah pihak agar mengekalkan calon yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) untuk menerajui kepemimpinan sayap parti itu bagi penggal akan datang.

Beliau yang mengumumkan akan bertanding jawatan Exco pergerakan itu pada Oktober ini berkata, parti seharusnya menyerahkan kepada rakyat untuk memilih siapa pemimpin UMNO menerusi sistem demokrasi yang diamalkan.

Katanya, sebagai calon payung terjun, beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana parti perlu melihat kepada beberapa perkara seperti keadaan, keperluan masyarakat, pemilih dan pengundi yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

“Kaedah itu tidak relevan sama sekali. Kita serahkan kepada rakyat seperti sebelum ini kerana mereka sudah bijak menilai. Tambahan pula dalam masa lima tahun, keadaan mesti berubah dan sudah tentu kehendak pemilih dan pengundi juga berubah.

“Ada calon muka baru yang tidak mempunyai masalah dalam masa singkat untuk meraih sokongan daripada masyarakat. Saya rasa pucuk pimpinan tidak perlu mengekalkan sistem yang dicadangkan itu, sebaliknya boleh mencari muka-muka baru untuk menambah nilai dan juga memberi kekuatan dalam saf kepimpinan yang ada sekarang,” katanya kepada wartawan pada sidang media di sebuah restoran di sini, hari ini.

Dr Mashitah yang mendapat pendidikan tinggi dari Universiti Al-Azhar dan Universiti Cairo di Mesir serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah seorang agamawan yang terlibat dalam parti sejak tahun 2004.

Beliau menawarkan diri bertanding jawatan Exco Pergerakan Wanita UMNO berikutan desakan daripada ahli parti peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat yang berpandangan bahawa sayap UMNO itu perlu mempunyai pemimpin berlatarbelakangkan agamawan sebagai formula terbaik berdepan dengan pembangkang pada PRU 14 ini.

Menurutnya, golongan berprofesional agama perlu diberi peluang berganding bahu dalam kepemimpinan parti bagi membolehkan UMNO berdepan dengan pelbagai agenda dan dakyah pembangkang terutama Muslimah Pas, Wanita DAP dan PKR.

“Saya mengharapkan sokongan semua perwakilan, dari Kedah dan seluruh negara serta menyerahkan selebihnya kepada Allah dan perwakilan. Saya yakin dan percaya saya mempunyai kelayakan untuk memberi sumbangan bermakna serta perkhidmatan berkesan kepada Pergerakan Wanita UMNO berdasarkan latarbelakang dan pengalaman saya.

Mengenai pendiriannya terhadap Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dijangka dicabar pada pemilihan Oktober ini, Dr Mashitah berkata, beliau memberi sokongan kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu atas kepentingan sedia ada.

Menurutnya, beliau melihat pertandingan yang bakal berlangsung itu sebagai satu penghormatan terhadap demokrasi dan pertandingan yang sihat, selain sejarah Pergerakan Wanita yang menyaksikan beberapa kali pertandingan sebelum ini.

“Pertandingan ini bukan yang pertama kali dan perwakilan akan memilih seorang ketua, seterusnya mampu membawa nilai-nilai perjuangan yang dibawa oleh pergerakan itu sendiri,” katanya.

Ditanya kenapa beliau tidak menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Pusat, Dr Mashitah memberitahu, beliau tidak perlu sampai ke peringkat terlalu tinggi kerana padanya, kepemimpinan yang dibawa oleh Shahrizat masih satu penggal dan perlu diberi peluang lagi.

“Kehadiran saya adalah nilai tambah kepada sayap parti kerana saya melihat Wanita ini bukan sekadar untuk memilih pemimpin dalam kalangan ahli wanita sahaja, tetapi memilih pemimpin yang mampu berdepan dengan pembangkang, mampu berdepan dengan Muslimah Pas, DAP dan PKR juga,” katanya. - 26 Ogos 2013

DAP terdesak ahli digantung, dipecat boleh mengundi



Oleh: Manzaidi Mohd Amin

KUALA LUMPUR: Penggunaan semula senarai 17 ahli, yang ada antaranya telah dipecat atau digantung sebagai perwakilan dan layak mengundi dalam pemilihan terbaru jawatankuasa kerja pusat (CEC) DAP pada 29 September ini, menunjukkan parti itu cuba bersandiwara dengan Pertubuhan Pendaftar (ROS).

Selain itu, tindakan DAP mahu menggunakan senarai pengundi sebelum ini iaitu yang dibatalkan oleh ROS adalah untuk memastikan semua calon mereka yang menang pada pemilihan CEC tahun lalu, akan kekal menang tahun ini.

Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, DAP sebelum ini sedaya mungkin berusaha untuk menggelakkan daripada mengadakan semula pemilihan CEC, tetapi sebijak-bijak mereka memutar belit fakta dan berdolak dalik, akhirnya terpaksa akur juga dengan arahan ROS.

“Melihat perkembangan semasa yang berlaku dalam DAP, mereka cuba menggunakan segala kepakaran yang ada termasuk akta-akta dan peruntukan tertentu dalam perlembagaan parti bagi mengekalkan pemenang yang dipilih secara tidak sah pada CEC Disember 2012.

“Pemimpin yang memang itu yang mereka hendak sekarang ini, sebab itu mereka tidak dapat menerima kenyataan pemilihan terdahulu dibatalkan oleh ROS dan proses kali ini pun tidak lebih sebagai menyindir ROS,” katanya kepada Malaysiagazette di sini, hari ini.

Dalam sidang akhbar di ibu pejabat DAP baru-baru ini, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa semua ahli, sama ada yang telah dipecat atau digantung oleh CEC yang dipertikaikan itu, selepas Disember 2012, akan dibenar mengundi mengikut senarai perwakilan lama.

Bagaimanapun, katanya, pemilihan semula CEC yang dijadualkan 29 September ini akan berlangsung di lokasi yang belum disahkan, tetapi di sekitar Lembah Klang.

Bagi memastikan pemilihan itu ‘berjalan lancar’ Lim berkata, parti itu akan mendapatkan perakuan pos untuk semua jemputan yang dihantar kepada para perwakilan supaya tidak lagi dituduh tidak memaklumkan mengenainya kepada mereka.

"(Tetapi) kami tidak akan memberi Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebab untuk mencari alasan yang sama terhadap DAP," kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman meminta DAP supaya menjadikan UMNO sebagai contoh terutama ketika parti itu berdepan dengan keputusan mahkamah yang mengharamkan pendaftarannya pada tahun 1988.

Menurut beliau, UMNO tidak pernah mempertikaikan keputusan itu, sebaliknya mendaftar satu pertubuhan baru yang dinamakan UMNO Baru pada 13 Februari 1988.

“UMNO mengambil masa selama sembilan hari dari tarikh parti itu diharamkan oleh mahkamah pada 4 Februari untuk mendaftar parti baru. Tetapi DAP, mengambil masa hampir setahun untuk mengadakan semula pemilihan CEC, setelah pemilihan pada 2012 dibatalkan ROS.

“Nampak sangat DAP bukan sebuah parti demokrasi sebagaimana dilaung-laungkannya selama ini. Demi kemenangan pemimpin yang mereka pilih, mereka sanggup menipu.

“Mereka boleh tipu ahlinya, tetapi mereka tidak boleh tipu ROS,” katanya ketika dihubungi.  - 23 Ogos 2013

Kaji semula prosedur beri status PR - Mahfuz



Oleh: Manzaidi Mohd Amin

KUALA LUMPUR: Pas menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula prosedur memberi taraf penduduk tetap (PR) kepada mana-mana pemohon dengan memastikan mereka benar-benar memahami konsep, prinsip dan perundangan negara.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, parti itu tidak akan menyalahkan pemegang status PR sekiranya mereka melakukan kesalahan yang menyalahi perundangan seperti terkandung dalam perlembagaan negara kerana mereka tidak diberikan penjelasan untuk memahami konsep itu.

Bagaimanapun, katanya, dalam kes penarikan semula status PR pemilik resort Tanjung Sutera Beach Resort yang membenarkan penganut Buddha menggunakan surau di situ untuk bermeditasi, Pas tidak akan berkompromi dan menyokong tindakan kerajaan itu.

“Dalam soal sensitiviti agama dan kalau dia melalukan sesuatu yang bertentangan dengan perundangan negara kita, memang wajar tindakan itu diambil. Kita tidak ada masalah untuk menyokong apa saja tindakan diambil kerajaan.

“Malah tindakan itu memang wajar diambil. Cuma kita hendak mempersoalkan kepada kerajaan, sejauhmana mereka yang mendapat taraf warga penduduk tetap memahami konsep perlembagaan negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, Putrajaya berhak menarik balik status PR mana-mana individu sekiranya bertindak menyentuh sensitiviti agama seperti pemilik resort berkenaan.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, tindakan ke atas Syed Ahmad Syed Salim Alkaff itu diambil berlandaskan undang-undang dan atas kuasa Kementerian Dalam Negeri serta tidak akan mengeruhkan hubungan dua hala dengan negara jiran Singapura.

Syed Ahmad sebelum ini membenarkan penganut agama Buddha menggunakan surau di dalam resortnya untuk mengadakan ritual agamanya.

Tindakan Syed Ahmad yang berasal dari Singapura itu mengundang rasa tidak puas hati banyak pihak sehingga status PRnya ditarik balik.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, tindakan Syed Ahmad itu jelas menghina Islam dan bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

Mahfuz dalam pada itu, menggesa kerajaan supaya tidak sewenang-wenangnya memberi PR kepada mana-mana individu.

"Jangan ikut suka hendak bagi PR kepada siapa-siapa, hendak bagi taraf kerakyatan kepada siapa-siapa, apatah lagi untuk tujuan politik," katanya. - 19 Ogos 2013