Oleh: Manzaidi Mohd Amin
KUALA LUMPUR: Pas
menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula prosedur memberi taraf
penduduk tetap (PR) kepada mana-mana pemohon dengan memastikan mereka
benar-benar memahami konsep, prinsip dan perundangan negara.
Naib Presidennya,
Datuk Mahfuz Omar berkata, parti itu tidak akan menyalahkan pemegang status PR sekiranya
mereka melakukan kesalahan yang menyalahi perundangan seperti terkandung dalam
perlembagaan negara kerana mereka tidak diberikan penjelasan untuk memahami
konsep itu.
Bagaimanapun, katanya,
dalam kes penarikan semula status PR pemilik resort Tanjung Sutera Beach Resort
yang membenarkan penganut Buddha menggunakan surau di situ untuk bermeditasi,
Pas tidak akan berkompromi dan menyokong tindakan kerajaan itu.
“Dalam soal
sensitiviti agama dan kalau dia melalukan sesuatu yang bertentangan dengan
perundangan negara kita, memang wajar tindakan itu diambil. Kita tidak ada
masalah untuk menyokong apa saja tindakan diambil kerajaan.
“Malah tindakan
itu memang wajar diambil. Cuma kita hendak mempersoalkan kepada kerajaan,
sejauhmana mereka yang mendapat taraf warga penduduk tetap memahami konsep perlembagaan
negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Semalam, Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, Putrajaya berhak
menarik balik status PR mana-mana individu sekiranya bertindak menyentuh
sensitiviti agama seperti pemilik resort berkenaan.
Ahmad Zahid dilaporkan
berkata, tindakan ke atas Syed Ahmad Syed Salim Alkaff itu diambil berlandaskan
undang-undang dan atas kuasa Kementerian Dalam Negeri serta tidak akan
mengeruhkan hubungan dua hala dengan negara jiran Singapura.
Syed Ahmad
sebelum ini membenarkan penganut agama Buddha menggunakan surau di dalam
resortnya untuk mengadakan ritual agamanya.
Tindakan Syed
Ahmad yang berasal dari Singapura itu mengundang rasa tidak puas hati banyak
pihak sehingga status PRnya ditarik balik.
Mahfuz yang juga
Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, tindakan Syed Ahmad itu jelas menghina Islam dan
bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.
Mahfuz dalam pada
itu, menggesa kerajaan supaya tidak sewenang-wenangnya memberi PR kepada
mana-mana individu.
"Jangan ikut
suka hendak bagi PR kepada siapa-siapa, hendak bagi taraf kerakyatan kepada
siapa-siapa, apatah lagi untuk tujuan politik," katanya. - 19 Ogos 2013


No comments:
Post a Comment