Oleh: Manzaidi Mohd
Amin
KUALA LUMPUR: “Selagi
kumpulan ini ada, jangan harap Umno dapat bersatu dengan Pas,” tegas Pengerusi
Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai
perkembangan terbaru usaha parti itu mengajak Pas bersatu.
Katanya, sukar bagi
kedua-dua parti majoriti Melayu itu duduk semeja kerana ada individu tertentu
dalam Pas tidak suka kepada penyatuan ini dan mereka akan sentiasa mencari
jalan untuk mengelak daripada berlaku perundingan.
“Selagi Pas
dipimpin oleh golongan yang tidak sedar akan perpecahan yang berlaku dalam
kalangan masyarakat Melayu ini, usaha Umno untuk bersatu dan memastikan Melayu
jadi kuat tidak akan tercapai.
“Ini kerana, individu-individu
berkenaan akan menghalang apa saja usaha yang dilakukan oleh Umno untuk melihat
orang Melayu bersatu melalui penyatuan kedua-dua parti yang mewakili orang Melayu
dan Islam ini,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiagazette di sini.
Mustapa yang juga
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, beliau turut sedih
kerana harapan rakyat hendak melihat Umno dan Pas bersatu dalam masa terdekat
ini tidak menjadi kenyataan.
Katanya, perpecahan
dalam kalangan Melayu hari ini sudah sampai tahap serius, tetapi malangnya pemimpin
Pas tidak menjadikan keadaan itu sebagai sesuatu yang membimbangkan mereka,
sebaliknya masih dengan takuk lamanya, menabur fitnah dan menanam kebencian
rakyat terhadap Umno.
Beliau berkata, adalah
mustahil rakyat hendak melihat Umno dan Pas bersatu dalam masa terdekat ini
kerana ramai dari kalangan pemimpin Pas masih tidak sedar akan perpecahan yang
berlaku dalam kalangan Melayu.
“Saya dapat
rasakan, sebarang usaha untuk merealisasikan penyatuan dua parti ini tidak
lebih sekadar omong kosong sahaja selagi pemimpin-pemimpin tersebut masih menguasai
kepemimpinan Pas.
"Sekarang
ini pun ada dalam kalangan pemimpin Pas masih lagi tidak boleh terima hakikat
bahawa Melayu lemah adalah kerana perpecahan. Jadi, selagi mereka ada selagi itulah
kita hanya cakap kosong mengenai perpaduan ini," katanya.
Beliau yang tidak
menyatakan secara spesifik siapakah individu yang dimaksudkan itu memberitahu,
beliau tetap optimis bahawa suatu hari nanti situasi itu akan berubah, tetapi
dengan syarat kelompok tersebut tidak lagi mempunyai peranan dalam Pas.
“Umno akan sentiasa
meneruskan usaha untuk menyatu-padukan masyarakat Melayu berlandaskan keyakinan
akan wujudnya kesedaran di kalangan kelompok tersebut.
"Yang
penting kita kena teruskan usaha ini dan kita yakin suatu hari nanti rakyat
akan sedar," katanya. - 18 Ogos 2013


No comments:
Post a Comment