KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan Lawyers for Liberty (LFL) yang mendakwa mereka sebagai memperjuangkan hak asasi dan reformasi undang-undang diminta tidak masuk campur dalam urusan agama lain.
Tindakan campur tangan secara membuta-tuli termasuk menyamakan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sebagai Taliban merupakan perbuatan biadap dan tidak bertanggungjawab serta boleh menyemarakkan api kemarahan orang Islam yang sejak bulan Ramadan yang lalu telah dihina secara berterusan oleh bukan Islam di negara ini.
Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata, NGO yang dikatakan menjaga hak asasi dan reformasi undang-undang itu juga sebenarnya telah melanggar hak asasi umat Islam melalui kenyataan yang berbaur perkauman dan sengaja mahu mengeruhkan lagi keadaan.

