Wednesday, 13 May 2015

Isteri mati selepas tiga hari dibakar suami

Oleh Manzaidi Mohd Amin - 09 Aug 2013


KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang suami durjana yang bertindak membakar isterinya akibat cemburu dalam kejadian di rumah sewa mereka di Medan Kraftangan, Setapak dekat sini, tiga hari lalu.

Bagaimanapun, isteri lelaki itu, Aruba Kumara, 34, yang terbakar seluruh badan, mati kira-kira jam 9.20 malam tadi ketika menerima rawatan di Unit Kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian 5 Ogos lalu, suspek yang bekerja sebagai pengangkut sampah dikatakan pulang ke rumah dan berlaku pertengkaran antara mereka yang berakhir dengan mangsa disimbah petrol, sebelum dibakar.

Katanya, dalam keadaan api marak di seluruh badan, mangsa sempat menjerit minta tolong yang kemudian didengari beberapa jiran serta orang ramai.

"Seorang jiran yang membuka bengkel berhampiran rumah mangsa terdengar jeritan itu lalu meluru ke arah mangsa dan berusaha memadam api yang membakar tubuh Aruba, sebelum beberapa orang awam yang menyaksikan kejadian itu menghubungi ambulan.

"Sebelum jiran itu sampai ke tempat mangsa yang mengelupur kesakitan, jiran berkenaan nampak suami mangsa bersama seorang anak angkat mereka cuba meninggalkan lokasi itu sambil memadamkan api yang turut membakar tangan dan kakinya selepas bertindak membakar isteri beliau," katanya di sini, semalam.

Menurut Chin Wah, mangsa kemudian dihantar ke HKL untuk menerima rawatan, tetapi mati tiga hari kemudian.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sikap cemburu suspek terhadap isterinya yang ketika itu berada bersama anak angkat mereka di rumah berkenaan.

"Mayat mangsa akan dibedah siasat hari ini, manakala suaminya yang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan ditahan reman hingga 12 ogos ini," katanya. --MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment