Wednesday, 13 May 2015

MAIJ seperti Taliban

Oleh Manzaidi Mohd Amin - 13 Aug 2013


KUALA LUMPUR: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi dan reformasi undang-undang, Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menyamakan tindakan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) ke atas surau milik sebuah resort di Kota Tinggi, Johor, seperti Taliban.

NGO itu menerusi Twitter miliknya mempersoalkan kenapa surau yang digunakan oleh sekumpulan penganut Buddha untuk bermeditasi itu perlu dirobohkan hanya kerana tidak menghadap kiblat, sambil menekankan arah kiblat perlu dipatuhi oleh manusia, bukan oleh surau.

"Taliban dah bertapak di Malaysia - syabas BN (Barisan Nasional),

"MAIJ (Majlis Agama Islam Johor) macam Taliban, @PDRMsia (polis) salah guna kuasa tangkap/reman pemilik resort, majistret (pula) bersekongkol benarkan empat hari reman.

"Agaknya @PDRMsia dah jadi penguatkuasa Taliban Msia (Malaysia) lupa kerja sebenar – sibuk tangkap 'penghina' Islam bila (ketika) hari-hari orang kena tembak/letupan," kata LFL dalam tulisan berkenaan.

Tulisan bertajuk, `Surau meditasi Buddha tidak menghadap kiblat, kata Mufti Johor… Dah gila - surau kena hadap kiblat bukan manusia?' itu turut mendapat maklum balas daripada orang ramai yang ada daripadanya meminta NGO berkenaan tidak campur tangan urusan agama Islam.

Seorang pengulas, Azi Nang meminta LFL tidak mencampuri urusan orang Islam secara membuta tuli dan perbuatan NGO itu memaparkan ‘status’ berkenaan boleh mencetuskan pergaduhan kaum.

"LFL tidak boleh atas nama hak asasi manusia secara membuta tuli mencampuri urusan orang Islam. Apakah kita mahu membenarkan pergaduhan kaum dan agama berlaku di Malaysia kerana mahu mengizinkan kebebasan bercakap.

"Kita di Malaysia ini agak pelik, kaum, agama minoriti membuli kaum dan agama majoriti. Tidak pernah berlaku di mana-mana seperti ini. Biasanya yang majoriti membuli minoriti. Kita terbalik,” ulas Azi Nang merujuk kebiadapan LFL yang disiarkan portal berita propembangkang hari ini.

Beliau turut meminta pihak berkuasa agama dan Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara agar tidak mempedulikan komen NGO berkenaan.

“Sesiapa juga… saya ulang, sesiapa juga yang berani untuk cuba menggugat keamanan negara perlu dihumbankan ke penjara kerana jika takut, mereka akan semakin berani, kerajaan BN jangan jadi bacul dan mementingkan diri sendiri semata-mata,” ulasnya.

Seorang lagi pengulas, Raja Mohd Shahrim berkata, Sultan Johor yang bertitah mahukan surau berkenaan dirobohkan dan sepatutnya ia tidak dipolitikkan.

Ladin Osama pula meminta LFL tidak membuat tuduhan jahat ke atas MAIJ dan umat Islam serta menggunakan kebebasan bersuara untuk mengeluarkan `suara' tidak elok kerana ada telinga yang akan terasa.

Selain itu, LFL mempertikaikan tempoh tahanan reman selama empat hari ke atas pemilik resort berkenaan.

Warga Singapura itu ditahan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan mencemarkan tempat sembahyang dengan nita hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

Sementara itu, Penasihat MAIJ, Datuk Noh Gadut dalam kenyataan kepada Sinar Harian Online semalam, mengandaikan surau itu mungkin akan dirobohkan kerana tidak menepati arah kiblat.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam masa sebulan lagi.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi, Hasrin Kamal Hashim hari ini, mengakui pihaknya telah meluluskan pelan bangunan berkenaan.

Dalam laporan sama, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd Noorazam Osman pula berkata, surau itu dibina atas tanah persendirian dan tidak dimiliki atau diwakaf kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Sami Buddha Malaysia, Datuk K Sri Dhammaratana Nayake dikatakan telah memohon maaf kepada penganut agama Islam atas tindakan kumpulan penganut fahaman Buddha dari Singapura yang bermeditasi dalam surau resort berkenaan.

"Kami memohon maaf kepada saudara Muslim kami dengan tindakan sekumpulan penganut Buddha dari Singapura yang mengadakan sesi meditasi di surau sebuah resort di Kota Tinggi," kata Dhammaratana dalam kenyataannya.

Beliau turut menasihat penganut Buddha agar menghormati sensitiviti agama lain dalam menunaikan kewajipan agama itu.

No comments:

Post a Comment