KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan Lawyers for Liberty (LFL) yang mendakwa mereka sebagai memperjuangkan hak asasi dan reformasi undang-undang diminta tidak masuk campur dalam urusan agama lain.
Tindakan campur tangan secara membuta-tuli termasuk menyamakan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sebagai Taliban merupakan perbuatan biadap dan tidak bertanggungjawab serta boleh menyemarakkan api kemarahan orang Islam yang sejak bulan Ramadan yang lalu telah dihina secara berterusan oleh bukan Islam di negara ini.
Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata, NGO yang dikatakan menjaga hak asasi dan reformasi undang-undang itu juga sebenarnya telah melanggar hak asasi umat Islam melalui kenyataan yang berbaur perkauman dan sengaja mahu mengeruhkan lagi keadaan.
“Kenyataan balas NGO ini (LFL) sangat tidak bertanggungjawab dan biadab. Kalau tidak tahu hukum agama orang lain (Islam), lebih baik tidak masuk campur atau buat kenyataan yang lebih positif dan bertanggungjawab,” katanya kepada Malaysiagazette di sini, hari ini.
Semalam dalam kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya yang dipetik portal Malaysiakini, LFL dilaporkan sebagai mendakwa, pihak berkuasa agama Johor bersikap seperti `Taliban' kerana merancang untuk merobohkan sebuah surau kontroversi di negeri itu yang didakwa dibina dengan tidak menepati arah kiblat.
NGO berkenaan turut mempersoalkan sekiranya arah kiblat tersebut perlu dipatuhi oleh manusia dan bukan oleh surau.
Abdul Rahman berkata, sesebuah bangunan yang dibina khas sebagai surau perlu memastikan secara tepat kedudukan mimbar imam dengan arah kiblat yang betul.
Ini kerana, kata beliau, pembinaan bangunan surau bukan seperti ruangan khas untuk umat Islam menunaikan solat di kompleks beli belah atau pejabat, yang mana arah kiblatnya ditentukan serta ditunjukkan berbentuk anak panah di siling atau dinding ruangan berkenaan.
“Komen LFL bahawa bukan surau yang patut tentukan arah kiblat, sebaliknya mereka yang hendak solat itu perlu tentukan kiblat jelas satu kenyataan membabi buta dan tidak tahu hujung pangkal daripada NGO berkenaan.
“Sebab itu Perkasa minta lebih baik LFL tidak membuat sebarang komen atau masuk campur mengenai hal ehwal agama Islam jika tidak tahu, bagi mengelakkan pihak lain marah,” katanya.
Beliau bagaimanapun, meminta MAIJ mempertimbangkan semula keputusannya hendak merobohkan bangunan surau itu, sebaliknya buat pengubahsuaian bagi membetulkan kedudukannya supaya bertepatan dengan arah kiblat.
“Perkasa juga menggesa semua Majlis Agama Islam Negeri mewajibkan mana-mana pihak yang secara sukarela hendak membina bangunan khas untuk surau perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa terlebih dahulu agar ia dapat ditauliahkan sebagai surau yang menepati aspek ditetapkan,” katanya.
Sehubungan itu, menurut beliau, Perkasa memohon Majlis Raja-Raja Melayu melihat dengan serius penghinaan demi penghinaan terhadap Islam yang semakin serius sejak kebelakangan ini.
Katanya, banyak pihak tidak lagi takut kepada undang undang dan peraturan serta pihak berkuasa.
“Dengan itu Perkasa merafak sembah ke Bawah Duli-Duli Tuanku Raja-Raja Melayu supaya dapat bertegas menjaga kesucian Islam seperti mana yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung peranan dan kuasa-kuasa yang ada pada Raja-Raja Melayu,” katanya. - MalaysiaGazette.

No comments:
Post a Comment