Sebagai rakyat Kelantan, Tok Janggut rasa amat bertuah sekali
kalau nak dibandingkan dengan rakyat-rakyat di negeri lain, kerana Datuk Seri
Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yasin tak pernah berat punggung nak datang ke sini
lagi dan lagi, semata-mata nak jumpa rakyat dan nak sampaikan amanatnya sebagai
pentadbir negara.
Kalau tak silap Tok Janggut, sudah tiga kali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak datang ke Kelantan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ni. Biasanya kalau pemimpin nombor satu dan dua negara acap datang ke sesebuah negeri, adalah tu petandanya.
Tok Janggut faham kenapa PM sanggup datang dua tiga kali ke
Negeri Serambi Mekah ini, walaupun dia sibuk dengan urusan negara. Tok Janggut juga
faham apa yang tersirat dan tersurat di hati PM apabila dia dapat berjumpa
dengan rakyat jelata dan dapat menyatakan harapannya. Dan Tok Janggut tak
pernah tak faham kenapa Kelantan menjadi pilihannya.
Tok Janggut pernah termenung seorang diri, memikirkan nasib
kaum kerabat Tok Janggut di Kelantan dan Tok Janggut pernah bersendirian memikirkan
apa akan jadi pada negeri kelahiran Tok Janggut kalau berterusan begini untuk
dua tiga penggal akan datang.
Apa yang Tok Janggut boleh katakan, Tok Janggut adalah antara
jutaan rakyat Kelantan, baik dari golongan warga emas, dewasa, remaja dan
kanak-kanak yang terpaksa merantau dan berjauhan dengan ahli keluarga
masing-masing, hanya kerana nak mencari rezeki untuk sara anak bini, mak, ayah
yang uzur di kampung halaman.
Tok Janggut juga antara jutaan manusia yang memegang kod 03
pada Mykad, yang berulang alik hampir dua kali sebulan sejauh 500 kilometer
dari Kuala Lumpur untuk bertemu anak-anak dan bini-bini, di samping merindui
ciuman tangan mak dan ayah yang kesihatannya sudah terjejas di kampung.
Sebagaimana harapan PM, begitulah juga harapan Tok Janggut. Tetapi
Tok Janggut sedar bukan kerja mudah untuk mengajak dan menyedarkan jutaan
rakyat Kelantan yang lain agar berubah. Hanya rambut yang sama hitam, hati
lain-lain arah tujuan.
Namun begitu, Tok Janggut sentiasa berdoa dari sejak tahun
1990 sehingga semalam, supaya Allah memberi hidayah-Nya kepada rakyat Kelantan
yang lain supaya hati mereka, pilihan mereka dan harapan mereka sama seperti hati,
pilihan dan harapan Tok Janggut. Melihat Kelantan maju dan dipimpin oleh mereka
yang berwawasan dan berinovatif.
Walaupun Tok Janggut tahu, harapan untuk melihat kesenangan
akan wujud bukan lagi untuk Tok Janggut nikmat dan kecapi, tetapi
sekurang-kurangnya sebelum mata Tok Janggut tertutup rapat atau sudah tertutup
rapat nanti, Tok Janggut mahu melihat atau Tok Janggut mengharapkan, anak, cucu,
cicit, ciak, ciok, piok dan generasi akan datang tidak akan menempuhi kesukaran
hidup sebagaimana yang dilalui oleh orang-orang yang segenerasi dengan Tok
Janggut.
Tok Janggut tahu, Tok Janggut bukan selama-lamanya akan menongkat
langit. Sampai masa, Tok Janggut akan tinggalkan dunia yang fana ini untuk
bertemu dengan Allah SWT. Di situ, Tok Janggut akan diadili dan ditanyai akan
tanggungjawab yang Tok Janggut sudah lakukan sebagai pemimpin dan ketua
keluarga. Kalau Tok Janggut jawab, Tok Janggut tidak melakukan apa-apa kerana
berpegang kuat kepada Qada dan Qadar Allah, tanpa berusaha untuk mengubah
nasib, Tok Janggut akan dijatuhi hukuman setimpal. Bentuknya amat azab.
Bagaimana azabnya, hanya Allah sahaja yang tahu.
Ini yang Tok Janggut selalu fikirkan sejak bergelar ketua
keluarga 23 tahun lalu. Kalau anak-anak dan bini-bini memprotes atau
memberontak, itu tandanya ada sesuatu yang tidak kena yang Tok Janggut lakukan.
Dengan itu, Tok Janggut akan cepat-cepat muhasabah diri. Tok Janggut tak akan
cepat melenting dengan sikap memberontak mereka, kerana mungkin Tok Janggut ada
buat kesilapan yang mereka tak suka.
Mungkin mereka dapat kesan sikap tidak adil Tok Janggut
dalam memberi kasih sayang kepada mereka. Dalam mengagihkan perbelanjaan
harian, mingguan dan bulanan kepada mereka dan dalam pengurusan serta
pentadbiran kepada mereka. Walhal pada penilaian Tok Janggut, sudah tentulah
tidak ada satu kesilapan pun atau apa yang Tok Janggut buat itu semuanya
perfect.
Begitu jugalah dengan kepimpinan sesebuah negeri. Nak jadi
pemimpin, pertama, kena utamakan kepentingan rakyat yang berada di bawah
naungan dan pentadbirannya. Jangan syok sendiri dan jangan fikir atau anggap
diri seorang pemimpin yang sempurna.
Juga seseorang pemimpin tidak boleh sekali-kali meletakkan
kesalahan kepada takdir sekiranya mereka gagal menyelesaikan sesuatu masalah. Segala
kemudahan dan keperluan rakyat harus diutamakan. Harus dipastikan segala
masalah dapat diatasi atau diselesaikan, walaupun tidak mencapai penyelesaian
100 peratus.
Sekurang-kurangnya sebagai pemimpin, mereka sudah berusaha
dengan mengerahkan idea dan buah fikir untuk mengatasinya, bukan hanya duduk di
kerusi empuk dalam bilik berhawa dingin dan kereta besar, lalu berserah kepada
Allah untuk menurunkan ilham atau memberi kenyataan bagi melepaskan diri dengan
menyalahkan takdir.
Walaupun Allah telah menetapkan tarikh mati seseorang itu di
Luh Mahfuz, tetapi kalau hamba-Nya seorang yang sentiasa berusaha dan berdoa,
Allah akan mengubah tarikh yang sudah ditetapkan itu kepada tarikh lain. Itulah
yang Tok Janggut faham sepanjang belajar agama di pondok-pondok dan mendengar
ceramah agama di masjid-masjid. Wallahualam.
Kita tidak boleh memeluk tubuh dan melarikan diri kalau
rakyat ditimpa musibah atau masalah. Kita kena cepat dan pantas bertindak bagi
meringankan penderitaan rakyat. Allah akan memberi ganjaran yang besar kepada
hamba-Nya yang menghiburkan jiran yang hidup dalam kesusahan.
Di Kelantan tidak berlaku begitu. Kalau rakyat hidup susah,
rakyat kena tanggung sendiri. Rakyat kena berusaha sendiri. Dan usaha yang
dilakukan oleh rakyat yang dalam kesusahan itu ialah dengan berhijrah, meninggalkan
keluarga.
Betullah hijrah itu satu kebaikan. Tetapi adakah satu
kebaikan kalau hasil mashyur dalam negeri sendiri dirompak, disembunyikan dan
dimakan oleh para pemimpinnya tanpa mahu berkongsi dengan rakyat jelata?
Satu kebaikankah kalau tanah-tanah yang sekian lama
diusahakan oleh rakyat dengan bercucuk tanam, tiba-tiba dirampas dan diserah
pajakkan kepada orang lain yang bukan sebangsa dan seagama dengan kita? Dan
orang itu pula bukan bumiputera?
Kalau di waktu hidup Tok Janggut pun tak dapat merasainya,
apatah lagi di kala waktu anak-anak, cucu-cucu, cicit-cicit Tok Janggut yang
bakal dilahirkan di dunia ini?
Ini yang menjadi kebimbangan Tok Janggut. Sebab itu Tok
Janggut selalu berharap kedatangan PM dan TPM yang lebih kerap dan acap ke Kelantan
dapat mengubah segala-galanya. Dapat mengeluarkan rakyat Kelantan yang senasib
dengan Tok Janggut dari kepompong kesempitan hidup kepada kesenangan. Ia adalah
untuk masa depan generasi akan datang.
Tok Janggut tak mahu pada masa akan datang, kalau kepimpinan
Kelantan yang ada sekarang tidak ditukar, Kelantan akan jadi macam Nigeria, Somalia,
Myanmar, Kemboja dan Lombok. Kenapa empat negara dan satu daerah di Indonesia
ini yang Tok Janggut ‘highlight’kan? Sebab rakyat di negara ini dan di daerah
ini yang merantau mencari rezeki di Malaysia.


No comments:
Post a Comment