Friday, 30 November 2012
Sokong Nik Aziz, sokong membawa rebah
Hari ini Mursyidul Amnya, Nik Aziz Nik Mat pula menyambut baik dan merestui hasrat Ahli Parlimen Marang, Terengganu itu. Katanya, “Saya sangat menyokong sekiranya Abdul Hadi benar-benar mahu bertanding di Pekan pada pilihan raya umum akan datang untuk menentang mereka yang mengagung-gagungkan perjuangan kebangsaan daripada memilih agama.
Minggu lepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ada cakap secara acah-acah kononnya sedia bertanding di kerusi Parlimen Pekan, Pahang, tempat YAB. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pegang dan menang.
Tok Janggut tak nak komen lebih-lebih pasal telatah kedua-dua pemimpin yang dah tua lanjut ni, sebab bagi Tok Janggut, semua itu hanya mainan mereka yang dah kehabisan idea dan modal berpolitik.
Abdul Hadi cara Abdul Hadi nak cari publisiti murahan. Sekejap nak berundur, sekejap dan bersara, manakala Nik Aziz pula dengan cara dia sendiri nak tunjuk belang kononnya dia seorang tua yang masih hebat dan masih lagi mampu menjadi ketua.
Padahal kedua-dua pemimpin ini sudah lapuk dek hujan, sudah lekang dek panas. Masih menyalak walaupun suaranya sudah tidak didengari sesiapa lagi. Itulah warna-warna kehidupan dua manusia yang dijadikan boneka dalam gabungan pakatan rakyat ini.
Berbalik kepada hasrat Abdul Hadi nak bertanding di Parlimen Pekan. Tok Janggut nak tanya sikit, sudah muktamadkah hasrat itu? Atau hanya sekadar nak uji sokongan pengundinya di Marang?
Kalau benarlah Abdul Hadi nak pergi ke Pekan. Nak lawan Datuk Seri Najib, sudahkah dia bersedia fikizal dan mental? Takut nanti pergi dengan segalas pakaian, seguni beras, balik nanti sehelai sepinggang, melekat nasi di dahi. Almaklum, nak masuk kubu musuh bukan semudah disangka.
Abdul Hadi kena ingat, dia sekarang ni akan dijadikan kambing hitam oleh Pas yang diterajui Nik Aziz. Bimbang nanti yang dikendong di Marang keciciran, yang dikejar di Pekan tak kedapatan. Jadilah sama nasib dengan bekas timbalannya, Nasharuddin Mat Isa.
Pekan adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN), kawasan yang sekian lama dipegang oleh Datuk Seri Najib. Tetiba Abdul Hadi nak tunjuk hero, nak tunjuk jaguh nak masuk kawasan orang. Samalah macam Abdul Hadi letak kaki kat sarang kerengge. Apa rasanya kena gigit dan kena cucuk air bias kerengge? Meraung tak berlagulah nanti.
Oleh itu, Tok Janggut nasihat Abdul Hadi, jangan ghairah sangat nak melawan orang lain. Tilik diri sendiri dulu. Sungguh pun bergelar tuan guru, tidak bermakna diri tu sempurna. Begitu juga dengan Nik Aziz, disanjung dipuja. Itu hanya rakyat Kelantan sahaja, di negeri lain sanjungan sebegitu tak akan didapatinya.
Lagipun Tok Janggut tertanya-tanya kenapa Nik Aziz beriya sangat menyambut baik hasrat Abdul Hadi nak bertanding di Pekan? Ada udang sebalik batu ke? Dan Abdul Hadi jangan lupa, Nik Aziz pernah tidak sukakan dia dulu hanya kerana menyokong Barisan Nasional menganjurkan Perpaduan Nasional.
Kalau mengikut firasat Tok Janggut, kedudukan Nik Aziz lebih selesa berbanding kedudukan Abdul Hadi. Nik Aziz setakat ini belum lagi tewas dalam pilihan raya umum. Abdul Hadi pernah kalah kepada calon BN.
Dan apa saja yang Abdul Hadi berhasrat dan berhajat, sekiranya dilihat boleh mengurangkan beban parti, beliau dialu-alukan pergi tanpa perlu kembali-kembali lagi. Itulah scenario dalam Pas pimpinan Nik Aziz sekarang. Abdul Hadi harus ingat, parti dah lama kata pergi. Cuma kata-kata itu dizahirkan dalam bentuk kiasan.
Nik Aziz tahu, sejauhmana kudrat dan reng Abdul Hadi nak berlawan dengan Datuk Seri Najib di Pekan. Sebab itu, beliau tidak segan silu mengalu-alukan. Sepatutnya Nik Aziz larang Abdul Hadi. Tegah, jangan pergi ke kawasan orang kalau nak kekal lama jadi Ahli Parlimen dan dalam parti.
Bagi Tok Janggut, kedua-dua pemimpin Pas ini ibarat lori kicap tahun 60-an. Sudah tua dan uzur. Injinnya pula bunyi berdaum-daum macam bunyi injin lori hantu. Ekzosnya pula dah keluarkan asap hitam yang tebal pekat dan berbau busuk.
Lori kicap tahun 60-an ini, kalau nak digunakan sekarang hanya layak untuk punggah sampah sekitar bangunan pejabat sahaja. Nak guna untuk bawa pengangkutan di luar, nak hantar barang jauh-jauh dah tak boleh, takut nanti akan menyusahkan orang lain.
Peringatan kepada Abdul Hadi, nak masuk kubu musuh bermakna seperti menyerahkan nyawa. Mustahil musuh akan beri perghormatan dan mengalu-alukan kedatangannya. Musuh tidak akan berbaik dengan musuh. Selagi tidak dikorbankan, bukan musuh namanya.
Yang paling Tok Janggut tertarik dengan kata-kata Nik Abdul Aziz ialah hasrat Abdul Hadi itu adalah sebagai cakap presiden yang perlu dituruti dan disokongi. Nampak sangat ‘sokongan’ Nik Aziz itu akan membawa kepada kerebahan Abdul Hadi.
Nak tikam kawan bukan kerja susah. Hanya beri cadangan dan sambut baik saja sudah menempatkan kawan itu ke ‘tali gantung’ yang akan menjerut leher dan menghembuskan nafas terakhir di situ. Maka berakhirlah karier politik kawan berkenaan.
Si kawan pula hendaklah berhati-hati dengan sokongan kawannya kerana sokongan itu bukan bersifat memberi semangat, sebaliknya lebih kepada mengakhiri tempoh berpolitik. Bila sudah kalah, orang tidak akan memandang hormat lagi. Jadilah kain buruk untuk menyapu air mata.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment