Monday, 17 September 2012

Lebuh raya rakyat, bila siap?

Hari Raya Aidilfitri dah tak lama lagi dah. Ada lagi dua minggu lebih kurang. Tok Janggut dan seluruh warganegara Kelantan yang berada di perantauan dah mula rancang nak balik kampung. Walaupun balik berperingkat-peringkat, kalau lebih 5 juta pakat balik, tentu jalan raya tersumbat.

Lima juta perantau ni bukan berada di Kuala Lumpur saja. Mereka berada di mana-mana negeri yang menjanjikan rezeki. Ada yang bekerja di Perlis. Ada yang mencari rezeki di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Terengganu. Malah bekerja di Sabah dan Sarawak pun ada.

Mereka ini semua dah pakat rancang nak balik beraya di kampung. Nak cium tangan mak, ayah. Nak bagi hadiah pada adik, abang, kakak, buah hati, sahabat taulan dan jiran tetangga. Ada yang balik nak jenguk tanah kubur ahli keluarga. Nak sedekah bacaan Al-Fatihah dan Yaasin. Nak cabut rumput dan lalang sekeliling ‘belindan’.

Tok guru jangan ingat warganegaranya ini yang dulu pergi merantau ke ibu kota dan negeri-negeri lain dengan bas atau kereta api, akan balik dengan pengangkutan sama. Itu dulu tok guru wehh. Sejak bekerja di luar, mereka dah dapat kumpul duit. Yang mampu sikit, beli kereta. Yang kurang mampu, beli motosikal. Kalau berada di Kelantan, jangan harap mereka dapat merasakan ini semua. Kerja 10 tahun pun belum tentu dapat beli motosikal, apatah lagi berangan nak beli kereta.  

Dengan kereta dan motosikal inilah mereka akan jadikan kenderaan untuk balik kampung. Mereka nak tunjuk pada adik beradik, buah hati, sahabat taulan dan jiran bekerja di luar gajinya lumayan. Dapat sara keluarga. Minda dan otak pun aktif dan segar sikit berbanding tinggal di Kelantan yang diserapkan dengan politik kotor pemerintah.

Untuk pengetahuan tok guru, yang balik kampung naik kereta api dan bas kebanyakannya anak-anak muda yang cuti sekolah dan universiti. Mereka bukan lagi golongan dewasa macam Tok Janggut. Kalau tok guru tak percaya, cuba pergi ke stesen kereta api Wakaf Bharu dan Tumpat serta stesen bas SKMK Kota Bharu, Pasir Puteh dan Jeli.

Tok guru boleh tengok yang turun dari dua pengangkutan itu semuanya anak-anak muda. Kalau ada pun seorang dua orang tua yang sama baya dengan tok guru, yang takut naik kereta atau kapal terbang. Ke mana perginya orang-orang dewasa yang suatu ketika dahulu berebut-rebut naik bas dan kereta api nak ke ibu kota cari pekerjaan? Mereka semua balik melalui jalan raya dari Gua Musang, Gerik dan Pasir Puteh.

Mereka akan melalui jalan raya yang sempit selepas masuk sempadan Gua Musang. Mereka akan melalui jalan raya yang bengkang bengkok selepas berada di sempadan Batu Melintang, Jeli dan mereka akan melalui jalan raya yang berlubang-lubang selepas memasuki Pasir Puteh. Hatta orang buta yang menumpang kereta pun, bila merasakan badannya mula tergolek kiri kanan, punggungnya terhenjut-henjut, boleh 
mengagak dia sudah masuk ke sempadan Kelantan.

Inilah fenomena luar biasa yang berlaku setiap kali musim perayaan, yang tok guru kena ambil tahu. Kena ambil berat. Kena cari jalan macam mana nak bantu lancarkan perjalanan rakyat. Jangan ingat, perantau yang duduk kat luar hanya bekerja kilang, bekerja sebagai pembantu restoran, sebagai pekerja am di pasar raya-pasar raya tak mampu beli kenderaan. Mereka, apabila sampai di ibu kota, bukan lagi macam katak di bawah tempurung.

Tok guru tak boleh tengok perkara ini dengan pandangan kosong. Atau mengambil  kesempatan memasang banner, kain rentang di segenap ceruk jalan dengan kata-kata, “Selamat Hari Raya Aidilfitri Kepada Perantau”. “Hati-hati Memandu, Biar Lambat Asalkan Selamat”. “Sayangilah Keluarga Anda”. Jika Hendak Tengok Mak Ayah Anak Isteri, Pandulah Dengan Berhati-Hati”. “Kami Doakan Anda Selamat Dalam Perjalanan”. Dan macam-macam ayat lagi untuk mengingatkan pemandu.

Seolah-olah jika berlaku kemalangan, pemandulah yang salah sebab memandu tak berhati-hati. Siapa suruh pandu lanju-laju? Tok guru langsung tak ambil kira faktor jalan raya yang sempit dan berlubang-lubang. Inilah punca berlaku kemalangan, walaupun memandu dalam beringat dan lambat macam kura-kura.

Tok guru kata, biar lambat asalkan selamat. Lambat macam mana lagi yang tok guru nak? Cermat macam mana lagi yang tok guru mahukan. Tok guru tahu ke tidak, perjalanan balik dari Kuala Lumpur ke Kelantan kalau pada hari biasa hanya enam ke tujuh jam sahaja. Itu pun sudah lengguh dan penat.

Ini pula musim perayaan. Perjalanannya mencecah mengambil masa antara 13 jam hingga 15 jam. Dua kali ganda. Mahu badan tidak penat dan letih. Mata makin mengantuk. Bulan puasa pula tu. Itu belum diambil kira kesesakan di Lebuh Raya Karak-Bentong, kemudian masuk Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh.

Pendek kata, pemandu yang imannya tebal bagai kulit kura-kura pun akan hilang sabar. Nak memotong kereta depan, jalan sempit. Satu lorong sahaja. Terpaksalah jalan berdikit-dikit. Paling menakutkan bila sampai di Gua Musang atau Jeli atau Pasir Puteh. Semua laluan sudah penuh dan tersumbat. Belum lagi keadaan di Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat dan Kota Bharu.

Apa yang tok guru buat untuk sekurang-kurangnya menyingkatkan tempoh terperangkap dalam kesesakan? Tak ada apa-apa pun. Melainkan tok guru melarikan diri dari memikirkan keadaan ini. Atau kalau nak lepaskan tengkoknya, tok guru akan salahkan kerajaan pusat kerana tak bina lebuh raya. Itulah yang tok guru tahu. Tuding tuding dan terus menuding jari kepada orang lain.

Langsung tidak mahu mempersalahkan diri sendiri. Patutlah dapat pegang menteri besar sampai ke tua. Dan mungkin sampai ke liang lahad. Insya-Allah. Kerjanya menyalahkan orang lain dalam semua hal. Dalam semua bentuk pentadbiran, pengurusan dan penyelenggaraan kerajaan.

Seolah-olah sepanjang pemerintahan 22 tahun, tok guru tak pernah buat silap. Tak ada pembangunan pun tok guru salahkan kerajaan pusat. Jalan raya sempit pun tok guru salahkan kerajaan pusat. Berlaku kesesakan lalu lintas sehingga perantau terpaksa tidur dalam kereta pun kerajaan pusat dipersalahkan. Hatta, sekecil-kecil isu seperti tandas kotor pun, tok guru salahkan kerajaan pusat.

Ini, rakyat sedang menunggu projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat menghubungkan Kuala Krai ke Kota Bharu yang dijanjikan tok guru. Batu asas dah hampir tiga bulan tok guru tanam di Kampung Berangan Mek Nab, Machang. Harap-harap projek ni bukan projek angan-angan.

Tok Janggut sentuh pasal lebuh raya rakyat ni sebab Tok Janggut dapat rasakan tok guru dan geng-gengnya cuba menyembunyikan daripada rakyat. Tok guru tak mahu rakyat bangkit isu lebuh raya bila dekat dengan musim perayaan. Sebab itu tok guru main isu tuntutan royalti petroleum.

Sebut pasal isu royalti, Tok Janggut ada baca kenyataan tok guru dua tiga hari lepas yang mengingatkan kepada pemimpin Umno supaya jangan bercakap bohong pasal isu itu. Lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan sekarang ini.

Kata tok guru lagi, “berkatalah sesuatu yang benar di bulan Ramadan.” Wahh… bukan main alim dan warak lagi tok guru di bulan Ramadan ni. Pada tok guru, kalau nak berbohong dan menipu, buatlah macam tok guru berbohong dan menipu pada bulan lain selain Ramadan.

Pada orang lain, semua tok guru anggap cakap bohong dan menipu. Hanya tok guru saja yang maksum, tak pernah berbohong dan menipu. Tok guru tak tunaikan janji pun dikatakan bukan berbohong dan menipu. Tok guru berdolak dalih pasal projek pembangunan pun tak dikatakan bohong atau menipu.

Kalau orang lain tunai janji melalui KR1M, BR1M, KWAPM, bonus setengah bulan gaji, bayar dividen kepada peneroka dan macam-macam bantuan lagi dihulurkan, dikatakan menipu dan berbohong. Memang tok guru Tok Janggut ni dah benar-benar tua dan dah ada tanda-tanda diserang penyakit nyanyuk. Busuk hati.

Sebagai tok guru dan ketua kepada kerajaan negeri Kelantan, bila dah dekat musim perayaan sekurang-kurangnya bila perantau nak balik, tok guru kenalah fikirkan sesuatu yang baik untuk rakyat. Kalau berlaku kesesakan jalan raya yang teruk tahun lepas, sekurang-kurangnya tahun ini dapat dikurangkan. Sekurang-kurangnya ada beberapa jalan alternatif disediakan bagi melancarkan perjalanan pulang perantau.

Takkan tok guru tak nak sumbat dalam kepala otak tok guru atau tak nak guna otak dengan idea-idea atau kaedah-kaedah terbaik untuk mengatasi masalah ini. Kalau tok guru dah rasa otak tu tak boleh nak digunakan sangat, tok guru boleh minta tolong anak-anak buah fikirkan. Takkan sejak Abby Abadi masuk Pas, semua anak-anak buah tok guru lara dan hanyut dalam mimpi memperisterikan Abby.

Fikirkanlah. Fikir bagaimana nak beri keselesaan kepada rakyat yang jarang-jarang sekali balik kampung. Jangan terus bebankan mereka dengan benda-benda macam ni. Dahlah di ibu kota mereka penat bekerja. Balik raya nak bersuka ria, tetiba bertukar jadi murung atau pemarah sebab lama sangat terperangkap dalam jem. - Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 21 Julai 2012)

Abby masuk Pas, isteri YB kawal suami



Seminggu dua ni Tok Janggut tengok tok guru Tok Janggut senyum sokmo. Kecek sikit, senyum. Kecek sikit, senyum. Air suara tok guru pun nampak berubah. Ada seri. Tak macam dulu. Tanya sikit, masam. Tegur sikit, masam. Masam sokmo. Tok Janggut pun hairan.

Kehairanan dan tanda tanya yang membelenggu Tok Janggut ni mendorong Tok Janggut untuk mencari sebab dan punca. Di Takdirkan, masa Tok Janggut sedang lepak di Starbuck The Mall depan PWTC, lalulah seorang YB Pas Kelantan dekat dengan Tok Janggut sedang minum tu.

Mulanya Tok Janggut tak perasan. Maklum, tengah nak nikmati keenakan dan keaslian ‘kopicino’. Mahal sikit pun tak apalah. Janji dapat hirup kopi segar. Cuma setakat ni Tok Janggut tak mampu nak hirup kopi taik musang. Mahal sangat. Sampai RM180 secawan. Tu pun airnya tak penuh.

Dalam keasyikan Tok Janggut menikmati ‘kopicino’ tu, tiba-tiba ada suara tegur Tok Janggut. Suaranya memang biasa sangat dengan Tok Janggut. Sinonim sangat-sangat, tapi enam lapan tahun dululah, bukan empat lima tahun kebelakangan ni.  

Tok Janggut terkejut, tetapi gembira dengan sapaan tu. Tok Janggut pun persilakan YB tu duduk bersama. Tok Janggut bunyikan isyarat mulut panggil budak Starbuck untuk ambil order. YB tu tanya Tok Janggut minum apa, sambil matanya memadang ke cawan Tok Janggut.

Belum Tok Janggut jawab, YB dah jawab. “Ooo…kopicino. Minta yang nilah satu…,” kata YB tu kepada budak Starbuck.

“Apa ceriter sekarang ni? Lama tak dengar dan tak nampak Tok Janggut di Kota Bharu?” YB tu mulakan bualan. Sambil-sambil tu dia membetulkan duduk punggungnya di kerusi aluminium.

“Ceriternya, biasa-biasa saja YB. Saya dah lama dipindahkan ke KL. Dalam lima tahun adalah,” jawab Tok Janggut, juga turut membetulkan duduk punggung di kerusi.

“Err... YB dari mana ni dan nak ke mana?” Tanya Tok Janggut.

Bla bla bla bla bla…

Gitulah perbualan antara Tok Janggut dengan YB Pas tu. Sebenarnya, hubungan atau komunikasi Tok Janggut dengan YB-YB Pas ni tak ada masalah. Kita orang bergaduh dalam kerjaya saja. YB orang politik. Tok Janggut pula pengamal media. Tentulah kita orang tak ngam antara satu sama lain kan, lebih-lebih lagi laporan Tok Janggut yang tidak memihak kepada Pas atau pembangkang.

Tetapi itu adalah kerjaya. Kita kena profesional antara kerjaya dengan hubungan persahabatan di luar kerjaya. Kawan tetap kawan. Kalau kawan nak dijadikan lawan, itu hanya berlaku dalam politik saja. Dalam profesion pengamal media, tak ada lawan. Tak ada musuh. Semuanya kawan walaupun teruk kena ‘hentam’.

Dalam perbualan itu, Tok Janggut tanyalah YB ni pasal perubahan watak tok guru. Dulu wajahnya keduh. Sekarang dah nampak ceria. Dulu mukanya monyok. Sekarang dah nampak berseri-seri.

YB tu pun tersenyum. Senyumnya pun berseri-seri macam muka tok guru jugak. Ini menambahkan lagi kehairanan Tok Janggut. “Hai… YB pun senyum nampak berseri-seri jugak. Lain macam je ni. Ada apa-apa ke ni? YB yakin sangat ke dapat ke Putrajaya akhir tahun ni?” Tanya Tok Janggut dengan nada dan kelibat kehairanan.

“Bukan… bukan pasal nak tawan Putrajaya. Yang tu kita tahu tak akan dapat pun,” kata YB tu mengaku. Terkejut beruk Tok Janggut dengan pengakuan YB itu. Tahu pun pembangkang tak dapat menang besar pada PRU ke 13 ini, tetapi masih tetap mahu cakap besar. Sengaja nak menakut-nakutkan rakyat. Nak timbulkan suasana panik dalam kalangan rakyat.

Apa yang YB Pas itu kata tadi, Tok Janggut sempat cover-cover muka Tok Janggut supaya tidak nampak terkejut sangat. Takut nanti kalau YB tu perasan, tentu dia tak akan cakap benda-benda macam ni pada Tok Janggut. Lagipun YB tu bukan tak tahu dan tak kenal Tok Janggut. Fanatiknya Tok Janggut pada Umno tak boleh nak dipertikaikan dan tak boleh dirahsiakan lagi. YB Pas ni tahu sangat-sangat.

“Habis tu?” tanya Tok Janggut. Cuba memasang perangkap. Bla bla bla bla bla bla…

“Oooo… begitu. Patutlah. Ada peluanglah kot…,” angguk Tok Janggut sambil kami ketawa berdekah-dekah. Dalam ketawa mengilai-ngilai tu Tok Janggut perasan ada dua tiga orang yang duduk berhampiran, juga menikmati minuman di Starbuck, memandang ke arah kami. Orang Umno. Mereka pun datang ke majlis yang sama dengan Tok Janggut di PWTC.

“Kalau ada rezeki… ada jodoh, nak buat macam mana kan…” jawab YB tu. Kuat betul dia ketawa. Lucu dan senang hati barang kali. Stop. Habis di sini.

Tok Janggut dah tahu jawapannya akan perubahan ketara tok guru. Tok Janggut nak kongsikan dengan pembaca sekaliannya begini….

Kenal tak Abby Abadi? Pelakon dalam drama bersiri Roda-Roda Kota Raya tu… atau lebih tepat lagi, janda Norman Hakim. Selepas bergelar ibu tunggal, Abby ‘couple’ pulak dengan ayam muda, Zulkifli Ariffin, juga sama pelakon dengannya dalam drama yang sama.

Gambar mesra Abby dengan Zul Ariffin ini ada dalam internet. Taip saja nama Abby Abadi di injin pencarian Google.com, akan terpaparlah aksi-aksi Abby dalam pelbagai gaya. Malas Tok Janggut nak gambarkan keadaannya.

Apa kaitan Abby dengan cerita yang Tok Janggut nak kongsikan ini? Tak ada apa-apa pun. Cuma Tok Janggut nak maklumkan, tok guru nampak ceria dan gembira sepanjang masa sejak seminggu dua ni kerana artis inilah.

Kan dah heboh Abby Abadi masuk Pas. Siap pergi menghadap tok guru di pejabatnya di Kota Darul Naim lagi. Bersalam dan berbual-bual mesra lagi. Inilah pertama kali tok guru berpandang mata dengan Abby dan Abby pun inilah kali pertama dapat bersua muka dengan tok guru. Boleh tahan jugak bodi Abby walaupun dah beranak tiga. Itu yang membuatkan muka tok guru sentiasa ceria.

Khabarnya Abby kini telah dijadikan buah limau oleh Pas. Abby dikelek, diusung dan dibawa ke hulu ke hilir, siang dan malam untuk membantu Pas melariskan usaha mengutip derma. Nak ceramah, Abby tak pandai nak menyusun ayat. Lalu dijadikan maskot pada ceramah-ceramah Pas untuk menarik orang ramai datang ke program politik.

Jadi, apa kaitan tok guru dengan Abby? Tak ada kaitan apa-apa pun. Cuma, Tok Janggut nak bagitahu pada pembaca sekalian, tok guru sekarang ni makin hari makin ceria sebab beberapa artis pilih Pas sebagai jalan terakhir mereka untuk ke ‘syurga’.

Kan sebelum ini dah ada artis masuk Pas? Takkan tok guru tak gembira? Ya, betul tu. Sebelum ni memang ada, tapi penyanyi bernama Aisyah, pelawak bodoh, Bob Lokman dan beberapa lagi yang tak tersohor masuk Pas. Cuma mereka-mereka ini tak menarik seperti Abby. Tak gebu, tak putih melepak macam Abby.

Dengan kemasukkan Abby dapat Pas juga menyebabkan isteri-isteri YB-YB Pas berada dalam keadaan cemas dan kebimbangan. Cemas kalau-kalau suami mereka yang sebelum ini tak pernah aktif, tiba-tiba aktif nak anjurkan ceramah.Ceramah pula nak kena jemput Abby.

Ada yang bimbang kalau-kalau suami mereka kerap berulang alik ke Kuala Lumpur, sedangkan sebelum ini 
amat jarang terbang atau berkereta ke ibu kota. Alih-alih hari ni kena acap pula ke KL. Kononnya ada ‘meeting’lah. Ada ‘perjumpaan’lah dan macam-macam lagi.

Tak dinafikan, ada YB-YB Pas memasang angan-angan. Maklum, Abby kan janda. Dah lama berpisah pulak tu, tentulah Abby kesepian dan kesunyian dan perlukan ‘teman’ bila sakit demam nanti.

Kalau sebelum ini YB-YB Pas tidur bermimpinkan Putrajaya. Tapi kali ini mimpinya agak lain. Mimpikan pipi gebu Abby. Mimpikan senyum manis Abby. Dan macam-macam lagi mimpi atas tubuh badan Abby. Ini yang menyebabkan isteri-isteri YB-YB Pas rimas dan takut.

Sebenarnya isteri-isteri YB-YB Pas ni ada hak untuk rimas, risau, takut dan bimbang dengan feel perangai suami-suami mereka. Al-maklum, suami mereka kan pejuang Islam. Tentulah setiap gerak geri kehidupan bersandar dan berasaskan al-Quran dan Hadis.

Paling ditakuti kalau suami kata, kaum lelaki kena ikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Habislah. Nabi kan kahwin sampai empat. Sedangkan suami baru ada dua. Jadi, dua lagi kuota perlu diisi.

Di sinilah si isteri YB-YB demam tak kebah. Siang malam asyik terbayangkan wajah Abby dan yang terbaru Yatt Hamzah yang manis manja. Siapa tak takut. Bukan mereka tak kena sikap dan perangai suami masing-masing. Lebih-lebih lagi sejarah yang dicipta oleh Mat Sabu, ditangkap khalwat dengan isteri kawannya sendiri… lagi mengerikan isteri-isteri YB.

Tok guru bolehlah senyum riang dengan kemasukan Abby Abadi dan Yatt Hamzah dalam Pas, tetapi pada masa sama tok guru langsung tidak prihatin dengan masalah yang membelenggu isteri-isteri YB mereka. - Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 18 Julai 2012)

Tok guru serba tak tahu



“Saya tak tahu… dia orang bagi nasi sepinggan untuk saya makan dan sehelai kertas kosong untuk saya sain (tanda tangan).” Itulah alasan tok guru berikan berhubung kesilapannya menyerahkan projek bekalan air bersih kepada sebuah syarikat konsesi air, Thames Water kira-kira lebih 18 ke 15 tahun lalu.

Tok Janggut dapat rasakan keadaan tok guru masa tu. Sayu dan sedih bila dia kata dia tertipu sebenarnya dengan perjanjian penyerahan Jabatan Bekalan Air Kelantan (JBAK) kepada Thames Water. Rasa macam nak menitis air mata Tok Janggut lihat wajah tok guru masa tu. Dia dikerumuni puak media untuk dapatkan jawapan.

Memang ketika tu keduh (bermuka sedih) dan hiba sekali. Apa tidaknya, diawal pentadbirannya sebagai menteri besar pada tahun 1990, tok guru telah ‘diserang’ bertubi-tubi, habis-habisan oleh rakyat Kelantan kerana kegagalannya menangani masalah air.

Elok-elok air diurus dengan baik oleh kerajaan negeri (masa tu bawah pemerintahan BN), tok guru gatal tangan nak mengswastakannya. Kononnya kalau JBAK diswastakan, bekalan air kepada rakyat dapat ‘diuruskan’ dengan ‘lebih sistematik dan tersusun’.

Lagipun, kalau Kerajaan Pusat yang ditadbir oleh Tun Dr Mahathir ketika itu boleh sewenang-wenangnya mengswastakan beberapa agensi kerajaan menjadi syarikat konglomerat dan GLC, mengapa kerajaan Pas Kelantan tak boleh buat? Mana adilkan. “Kalu mu (pusat) boleh buat (swasta)… aku (Pas Kelantan) pun boleh (swasta) buat jugok.”

Iya… tok guru boleh buat. Tok guru boleh buat apa saja sebab tok guru kan dah jadi menteri besar. Segala kuasa ada di tangan tok guru. Cakap je… semua akan jadi. Tapi tok guru kena ingat. Sebelum Tun Mahathir nak swastakan beberapa agensi kerajaan menjadi syarikat konglomerat, Tun Mahathir guna semua kepakaran yang ada. Dia panggil semua pakar-pakar ekonomi. Dia panggil semua pakar-pakar pentadbir. Dia panggil semua pakar-pakar pengurusan duduk semeja, bincang.

Keputusan dalam perbincangan itu pulak bukan dicapai dalam satu hari dari meeting jam 9 pagi sampai jam 5 petang. Perbincangan itu mengambil masa. Semua pandangan, pendapat, nasihat, teguran diambil kira. Semua aspek dari atas sampai bawah. Dari kanan sampai ke kiri dikaji. Diselidik. Kemudian tengok apa kesan kalau buat begini… dan apa hasilnya kalau buat begitu.

Bukan Tun Mahathir kata, “Kun (jadilah) fayakun (maka jadilah)”. Semua yang dibuatnya menggunakan akal fikiran. Berusaha. Dicapai melalui mesyuarat. Perbincangan. Bukan macam tok guru. Diberikan kertas kosong sekeping dan sepinggan nasi, terus tanda tangan. Tanpa bertanya, kertas apa ni? Kosong. Kenapa tak ada apa-apa tulisan?

Esok, bila dapat tahu kertas kosong yang ditanda tangani itu rupanya dokumen perjanjian penyerahan JBAK kepada sebuah syarikat dari Britain, mulalah menyesal. Lebih-lebih lagi rakyat ditekan dan ditindas semahu-mahunya oleh syarikat itu.

Bila pengswastaan itu gagal, tok guru tak dapat buat apa-apa melainkan buat muka sedih… beri alasan, “Saya tak tahu”.

Kalau tok guru tak tahu, Tok Janggut nasihatkan tok guru berhenti saja jadi menteri besar. Beri kepada orang yang serba tahu. Sebab nak jadi menteri besar, tok guru kena tahu. Tanggungjawabnya amat besar dan dosa yang ditanggung pun amat besar juga. Semua urusan, baik dari segi pentadbiran, pengurusan, penyelarasan, penyelenggaraan, teknikal, komunikasi, teknologi, tok guru kena tahu. Matematik kena bijak. Geografi kena pandai. Sejarah kena peka. Sains kena cerdik. Kimia, Fizik, ilmu Perdagangan, ilmu Sastera pun tok guru kena mahir.

Tahu ceramah saja tak cukup. Hari-hari hentam. Siang malam maki hamun pihak lawan tak boleh membangun dan memajukan negeri. Itu tok guru kena tahu. Dan Tok Janggut pun yakin tok guru tahu. Tapi, mungkin tok guru sengaja buat-buat tak tahu, maka semua jenis jawapan atas kesilapan dan kegagalan yang tok guru lakukan, jawabnya, “Saya tak tau”. Tujuannya nak elak daripada dipersalahkan.

Ingatan kepada tok guru. Kalau selalu kata, “saya tak tau”, lama kelamaan diri akan jadi nyanyuk. Kalau diri dah nyanyuk, jangan salahkan sesiapa. Sebab Allah akan menjadikan seseorang itu sebagai nyanyuk kerana setiap hari kata, “saya tak tau”. Setiap kata-kata atau ucapan harian adalah berupa doa. Bila kata, “saya tak tahu…”, “saya tak tahu…”, “saya tak tahu…”  maknanya seperti berdoa, minta pada Allah supaya menyanyukkan diri.

Begitu juga dalam kes pelaksanaan mata wang dinar (emas) dan mata wang dirham (perak). Elok-elok negara dah ada mata wang sendiri. Ringgit Malaysia. Tok guru nak jugak memperkenalkan mata wang sendiri untuk Kelantan. Dinamakan dinar dan dirham. Kononnya, guna dinar dan dirham nampak sikit Kelantan lebih Islamik banding negeri lain.

Tok guru ni macam tikus baiki labulah. Dapat jadi menteri besar, semua benda nak ditukarnya. Kononnya, semua yang ada di Kelantan sebelum ini tidak Islamik. Lalu nak diIslamikkan. Caranya ialah tukar papan-papan tanda bertulisan rumi kepada papan-papan tanda bertulisan Arab dan Jawi.

Tak cukup dengan itu, bumi Kelantan dipadang-pasirkan. Tanah-tanah yang subur dengan tanaman ditambun pasir. Tujuannya supaya nampak macam padang pasir. Nak mengarabkan lagi Kelantan, pokok-pokok kurma ditanam di beberapa kawasan strategic di Kota Bharu sehinggakan Kota Bharu sekarang dipanggil ‘Bandaraya Islam’.

Begitulah suasananya dalam tempoh dua tahun pertama pemerintahan kerajaan Pas. Unta-unta dari negara-negara eropah diimport masuk. Dijadikan haiwan korban pada Hari Raya Aidiladha. Menggantikan lembu, kerbau dan kambing. Maka berebut-rebutlah rakyat Kelantan jual beli unta.

Dulu boleh jual beli dalam Ringgit Malaysia. Sekarang dalam perancangan nak ditukar dalam bentuk dinar atau dirham. Apa maknanya semua ini? Maknanya nak nampakkan kepada umum bahawa Pas telah ‘mengIslamkan’ Kelantan iaitu sesuai dengan perjuangannya yang kononnya berlandaskan al-Quran dan Hadis.

Tak lama lagi, kalau dinar dan dirham dilaksanakan, Tok Janggut dapatlah merasai zaman lakunan Allahyarham Tan Sri p Ramlee. Dapat hidup macam ‘pak arab’ dalam filem Ahmad Albab dan Tiga Abdul. Dapat tengok lelongan hamba abdi di pasar-pasar pagi. Dengar pelelong melaung-laungkan harga hamba abdi yang nak dilelong, “Seratus dirham…. seratus dirham… seratus dirham…”

Tok guru boleh buat apa saja yang dia nak. Tok guru boleh didik rakyatnya memakai jubah, egar dan bercakap telor (loghat) arab. Tapi pada masa sama tok guru tak boleh kecewakan rakyatnya. Kalau nak laksanakan Islam, tok guru kena benar-benar laksanakannya. Bukan menunggu orang lain. Bukan mengharapkan orang lain buat.

Orang lain tak akan buat, sebab orang lain sudah anggap pentadbiran yang ada sekarang sudah lebih daripada Islam. Fardu kifayah dan fardu ain tidak pernah dilupakan. Tidak pernah ditinggalkan. Sentiasa ada dalam apa saja pengurusan dan pentadbiran. Cuma tidak keterlaluan seperti yang Pas lakukan di Kelantan.

Tok guru kena ingat. Dunia makin berubah. Semua orang mahu maju dan terus maju ke hadapan. Bukan mundur dan undur kebelakang. Nak buat Islam, boleh buat. Tetapi bukan dengan meniru atau mengambil gaya hidup di zaman jahiliah. Kita sudah bergelar bertamadun. Tok guru kenalah bertamadun. Bukan mundur dan terkebelakang.

Orang yang mundur dan terbelakang macam tok guru lah menyebabkan pelaksanaan mata wang dinar dan dirham jadi haru biru. Pengurusannya tidak betul. Wujud penyelewengan, penipuan dan helah muslihat. Apa tujuannya? Tujuannya kerana kepentingan diri.

Tok guru kena tahu anak buahnya bukan seorang yang boleh dibanggakan dalam hal ehwal ekonomi. Lebih-lebih lagi hal ehwal ekonomi Islam. Pakar ekonomi di zaman Nabi Muhammad SAW dahulu kalau nak buat sesuatu, mereka buat kerana Allah Taala. Mereka takut pada hukuman Allah. Mereka buat sesuatu tak ada unsur penipuan atau kepentingan diri. Mereka buat untuk Allah dan rakyat.

Hampir dua tahun dinar emas dan dirham perak diperkenalkan. Tok guru dikatakan langsung tidak tahu dalam pelaksanaan itu ada unsur penipuan. Sehinggalah ia didedahkan oleh seorang blogger yang mengatakan wujud skandal dalam pengeluaran dirham dan dinar emas Kelantan. Blogger berkenaan, Syed Azidi mengemukakan 10 soalan itu untuk mengetahui masalah yang berlaku dalam syarikat yang diberi tanggungjawab mengeluarkan dinar dan dirham itu.

Bagaimanapun, setiap kali timbul masalah dalam pentadbirannya, tok guru kata dia tidak tahu masalah yang berlaku. Katanya, dia tak pernah diberikan sebarang maklumat mengenai berlaku penyelewangan dalam pengeluaran dirham dan dinar emas Kelantan itu.

Tak perlulah Tok Janggut kemukakan apa 10 soalan yang diberikan Syed Azidi kepada tok guru, tetapi tok guru kena ambil seriuslah akan persoalan itu kerana semuanya berkaitan ekonomi Islam yang Pas canang-canangkan.

Nasib baiklah Tok Janggut tak mudah terpengaruh dengan apa saja program ‘Islam’ yang Pas Kelantan anjur dan laksanakan. Tok Janggut bukan budak baru. Bukan budak hingusan dalam mengenali politik Pas Kelantan. Apa saja yang dilakukan, hanya 0.005 peratus sahaja untuk rakyat. Selebihnya untuk kepentingan pemimpinnya. - Oleh Manzaidi Mohd Amin (Siaran 14 Julai 2012)

Saturday, 15 September 2012

Umno mahu hudud, Pas tumpang sekaki



Nampaknya semua pihak sudah setuju supaya hukuman hudud dilaksanakan di negara ini. Mereka daripada Pas, Umno, Perkim, Abim, Persatuan Ulama Malaysia, GPMS, pensyarah-pensyarah universiti dan banyak lagi sudah menyatakan persetujuannya.

Tinggal lagi parti gabungan Pakatan Rakyat iaitu PKR yang belum menyatakan keputusannya. Anwar Ibrahim, Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Azmin Ali dan yang lain-lain masih berdiam diri.

Sebelum ini pun, Pas bising, heboh di seluruh pelosok bumi Malaysia mencanangkan mahu melaksanakan hukum hudud yang dirangkanya. Tetapi sampai sekarang mereka belum memulakannya walaupun Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kata, “Buatlah di Kelantan dahulu, kalau berkesan dan berjaya, kita akan perluaskan.”

Tun Dr Mahathir pada mulanya menolak kerana mengambil kira masyarakat majmuk di negara ini. Tetapi oleh kerana Pas bising dan menuduh Tun Mahathir menolak hukum Allah, maka bekas perdana menteri itu memberi izin kepada Pas untuk melaksanakan di Kelantan dahulu.

Namun apa sudah jadi dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat? Ketika Tun Dr Mahathir beri lampu hijau, Nik Abdul Aziz pula berdolak dalik. Hukum hudud ciptaannya tidak dilaksanakan sehingga sekarang. Walhal Sultan Kelantan (ketika itu Tuanku Sultan Ismail Petra) pun sudah bersetuju.

Untuk menutup malunya, Pas mencari jalan lain. Mereka masih menuding jari kepada Kerajaan Persekutuan. Mereka masih dan tetap menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) menolak hudud Pas. Inilah yang berlaku sehingga sekarang.

Persoalannya, betulkah Nik Abdul Aziz benar-benar faham mengenai hudud? Benarkah Nik Abdul Aziz betul-betul hendak laksanakan hukum hudud yang dirangka dan didrafkannya itu? Atau beliau menggunakan hukum hudud untuk menggugut pemimpin Umno/BN? Atau beliau sebenarnya tidak tahu hendak memulakan dari mana? Seolah-olah dia seorang wali Allah yang tahu menahu mengenai pelaksanaan hudud?

Untuk makluman. Tidak ada seorang pun umat Islam di negara ini termasuk Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet, timbalan menteri-timbalan menteri, menteri besar-menteri besar, pembesar-pembesar negeri, mufti-mufti, para alim ulama menolak hukum Allah, hudud.

Malah semua mereka bersetuju hudud dilaksanakan. Tetapi oleh kerana negara ini sudah ada undang-undang bagi semua kesalahan jenayah, sivil dan syariah, maka untuk diubah kepada hudud perlulah mengambil masa.

Hukum hudud tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya. Ia tidak boleh diubah hari ini. Ia perlu dilakukan kajian mendalam dengan mengambil kira semua aspek supaya tidak berlaku kekhilafan dalam menjalankan hukum Allah.

Manakala Pas pula, apabila hendak melaksanakan hudud, enakmen yang didrafkan itu langsung tidak mengambil kira pandangan, nasihat dan rujukan daripada kerajaan persekutuan, para ulama, ilmuwan dan mufti-mufti. Mereka merasakan mereka cukup pandai dan cukup mahir dalam Islam.

Hudud Pas didraf secara bersendirian. Diberikan kepada seorang peguam yang juga pemimpin Pas untuk merangkakannya. Didraf mengikut pengetahuan cetek mereka bersandarkan title ustaz, tuan guru dan tok guru politik. Semuanya orang-orang politik yang merangka hudud itu.

Sebab itu, apabila para ulama melihat draf undang-undang jenayah syariah yang dirangka Pas itu ada banyak kepincangan dan kelemahan, mereka menasihatkannya supaya memperbaikinya. Tetapi Pas tidak baiki sampai sekarang. Draf itu masih dalam keadaan lemah.

Pas sepatutnya duduk berbincang dengan semua pihak termasuk kerajaan persekutuan yang memerintah. Bincang, kupas, buang yang lemah, masukkan yang terbaik. Bila sudah baik dan elok, rancang masa yang sesuai untuk laksanakannya.

Tetapi Pas sombong dan riak. Mereka tidak mahu berbincang dengan para ulama dan ilmuwan. Mereka menganggap golongan ini tidak layak untuk bercakap mengenai hudud. Ini bermakna niat Pas tidak ikhlas. 

Mereka mahu memerangkap kerajaan persekutuan dengan enakmen jenayah syariah yang dirangkanya.
Kalau Pas benar-benar nekad mahu melaksanakan hudud, kenapa mereka tidak kecam, tidak caci Anwar Ibrahim yang menolak dan menghalang hukuman itu dilaksanakan? Kenapa mereka tidak mengutuk Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Guan Eng yang membantah cadangan itu?

Sebaliknya, Pas mendengar dan akur apa yang Anwar tolak. Pas kecut perut setiap kali Karpal, Kit Siang dan Guan Eng menolaknya. Beginikah rupa perangai Pas? Kalau Umno tolak mereka bising hampir nak kiamat dunia, tetapi kalau Anwar dan rakan kapirnya bersuara, mereka diam membisu? Pengecut?

Sekarang, pemimpin Umno yang mahu hudud dilaksanakan. Pas pun tumpang sekaki untuk memanaskan isu ini. Pas mengambil kesempatan itu kerana mereka tahu kalau Anwar marah menentang hudud, mereka akan kata, Umno yang mahu hudud dilaksanakan. Pas sudah senyap daripada menyuarakannya.

Pas memang cerdik. Lebih cerdik lagi para pengikut dan penyokongnya. Pelbagai spekulasi dan komen yang buruk-buruk dilemparkan kepada pemimpin Umno. Seolah-olah Umnolah yang jahat kerana menolak hukum Allah, walaupun Umno yang ketika ini menyatakan persetujuannya supaya hudud dilaksanakan.

Setakat ini Anwar, Karpal, Kit Siang dan Guan Eng masih berdiam diri. Mereka mahu melihat sejauhmana anak-anak buahnya dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu Nik Abdul Aziz dan Hadi Awang bersuara dalam hal ini.
Nampak jelas, Nik Abdul Aziz dan Hadi Awang mengeluarkan kenyataan yang boleh menyelamatkan tengkoknya. Kedua-duanya sudah ada jawapan sekiranya Anwar, Karpal, Kit Siang dan Guan Eng melenting dan mempersoalkan kenapa hukum hudud ditimbulkan semula?

Seluruh rakyat tahu sejarah politik Pas. Pelbagai lapisan masyarakat tahu kepesongan pemimpin Pas. Sebelum ini beriya-iya mahu menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam sekiranya PR memerintah, tetapi apabila Anwar ‘batuk’ sikit, pemimpin Pas cepat-cepat tukar kenyataan. Negara Islam tidak ada dalam al-Quran.

Hudud ciptaan Pas pun seperti itu juga. Apabila Anwar ‘bersin’ sikit. Sepantas kilat isu hudud didiamkan. Semua pemimpin Pas tutup mulut. Tidak ada seorang pun berani menyuarakannya. Takut Anwar mengamuk.
Di mana keikhlasan Pas hendak memperjuangkan Islam? Hanya retorik semata-mata. - Manzaidi Mohd Amin (Siaran 09 Julai 2012)